Monday, June 29, 2015

Tahukah kita bahawa harga Oksigen di hospital ialah RM10/­liter?
Tahukah kita bahawa harga Nitrogen di hospital ialah RM3/­liter?
Tahukah kita bahwa dalam sehari manusia menyedut sebanyak
 2,880 liter Oksigen dan 11,376 liter Nitrogen?
Jika dinilai dengan Ringgit, Oksigen dan Nitrogen yg kita hirup,
 ia bernilai RM56,060 sehari untuk setiap manusia.
Jika jumlah RM56,060 X 365 hari setahun, maka jumlah
kos untuk oxigen dan nitrogen untuk seorang manusia
 ialah RM20,461,900 setahun. 20 juta lebih tu!!!
Orang yang paling KAYA sekalipun tidak akan sanggup
 membayar nilai nafas sendiri untuk hidup, jika nikmat Allah SWT
 dirumus dalam bahasa perniagaan.
Masihkah kita MALAS BERSYUKUR ?
Untuk nikmat pernafasan sahaja ia bernilai RM20,461,900 setahun.
Jika dikira purata umur 63 tahun berpandu kepada umur
 Nabi Muhammad SAW, maka kos Oksigen dan Nitrogen yang
 perlu dibelanjakan ialah RM20,461,900 x 63 tahun = RM1,289,099,700
 (hampir 1.3 billion ringgit)!!!!
Namun ALLAH SWT memberinya PERCUMA kepada setiap manusia.
Maka benarlah pertanyaan Allah berkali2 di dalam Al-Quran :
فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
Surah Ar-Rahman.

Tuesday, June 16, 2015

Susulan Isu MSU & Presiden: Jangan Takut Nyatakan Kebenaran!



KENYATAAN RASMI LAJNAH UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI (LUHAM) PAS PUSAT BERKENAAN KUASA MAJLIS SYURA ULAMA DAN PRESIDEN PAS DI BAWAH PERLEMBAGAAN PAS

Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat ( LUHAM ) telah bermesyuarat pada 8hb September 2014 bagi membincangkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Syura Ulama ( MSU ) pada 7 September 2014. Setelah berbincang dan meneliti segala peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan PAS termasuk peruntukan-peruntukan tertentu yang dirujuk oleh MSU di dalam kenyataan rasmi tersebut, LUHAM sebulat suara bersetuju supaya suatu kenyataan rasmi dibuat bagi menyatakan pandangan LUHAM berkenaan isu yang dibangkitkan dalam kenyataan rasmi MSU tersebut.

LUHAM berpendapat bahawa walaupun Fasal 8 (1) (a) Perlembagaan PAS memberi kuasa kepada MSU untuk menghurai, menjelaskan dan menafsirkan mana-mana peruntukan perlembagaan di dalam Perlembagaan PAS sepertimana yang dinyatakan oleh MSU di dalam kenyataan rasmi badan itu, namun terdapat dua (2) prasyarat yang perlu dipenuhi sepertimana yang dinyatakan di Fasal 88 (1) Perlembagaan PAS iaitu perlunya ada perselisihan faham dan adanya rujukan secara rasmi kepada MSU terlebih dahulu.

Kemudiannya, jika dilihat kepada Fasal 8 (1) (a) tersebut, peruntukan itu juga menyebut bahawa kuasa menghurai, menjelas dan menafsirkan mana mana peruntukan Perlembagaan PAS itu hanya timbul jika timbulnya kesamaran mengenai maksud dan tujuan mana-mana peruntukan Perlembagaan tersebut.

Dengan tidak menafikan kewujudan kuasa MSU bagi menghurai, menjelas dan menafsirkan mana mana peruntukan Perlembagaan PAS jika timbulnya kesamaran, LUHAM juga berpendapat menjadi satu keperluan juga bagi MSU benar-benar mengetahui dan memahami kaedah-kaedah penafsiran sesuatu Perlembagan supaya apa-apa tafsiran yang diberikan adalah lebih tepat, munasabah dan memenuhi ruh, matan dan niat perlembagaan itu sendiri.

LUHAM berpendapat tidak salah bagi MSU sepatutnya merujuk kepada LUHAM bagi membantu MSU dalam melaksanakan kuasa yang diberi kepadanya untuk menghurai, menjelas dan menafsir peruntukan dalam Perlembagaan PAS kerana LUHAM adalah lajnah yang telah diamanahkan oleh parti di dalam apa-apa urusan perundangan dan berdasarkan amalan yang berlaku di dalam PAS, segala persoalan undang-undang yang melibatkan parti termasuk dalam memahami peruntukan undang-undang termasuk Perlembagaan parti rujukan lazimnya diajukan kepada LUHAM terlebih dahulu.

Bagi tujuan kenyataan rasmi ini, LUHAM akan menyentuh tentang dua (2) perkara iaitu isu:-

A) Kuasa MSU berdasarkan Perlembagaan PAS; dan
B) Kuasa Presiden PAS yang dikatakan oleh MSU sebagai pihak yang mempunyai kuasa pemutus di bawah Fasal 26 (1) (a) Perlembagaan PAS.

ISU PERTAMA

1. Mengenai isu pertama iaitu berkaitan isu bidangkuasa dan kuasa MSU : LUHAM ingin menyatakan bahawa jika dilihat kepada Perlembagaan PAS,kewujudan MSU adalah terhad bagi melaksanakan hasrat berikut iaitu bagi menjamin kekuasaan PAS yang diperuntukan dalam Fasal 7 (2) dan badan-badan yang diberikan kuasa oleh Muktamar PAS tidak keluar dari kehendak-kehendak yang diperuntukan dalam Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS dan juga tidak berlawanan dengan dasar PAS (Lihat Fasal 8 (1) Perlembagaan PAS). Adapun kuasa-kuasa MSU diperuntukan di dalam Fasal 8 (1) (a) hingga (c) Perlembagaan PAS.

2. Telah menjadi pengetahuan umum bahawa MSU (di atas sebab yang hanya diketahui oleh badan itu) telah turutsama terlibat dalam isu pemilihan calon MB Selangor. Ini boleh dilihat dalam beberapa kenyataan rasmi yang dibuat oleh MSU berhubung perkara tersebut. Persoalan yang timbul adalah, adakah Perlembagaan PAS memberi kuasa kepada MSU untuk berbuat demikian?

3. LUHAM berpendapat MSU, dengan penuh hormat, telah bertindak melampaui kuasanya apabila badan itu membuat keputusan dalam isu yang melibatkan pelantikan MB Selangor. Alasan LUHAM adalah seperti berikut.

4. Isu pelantikan MB Selangor tidak melibatkan perkara yang bertentangan dengan kehendak-kehendak Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS dan juga tidak berlawanan dengan dasar PAS. Satu fakta yang tidak dipertikaikan adalah PAS telah bersetuju mengadakan tahaluf atau kerjasama dengan Pakatan dan kerjasama tersebut telah disahkan oleh Muktamar PAS dan sehingga kini tidak pernah dibatalkan. Menurut Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar PAS. Memandangkan Muktamar PAS, sebagai kuasa tertinggi dalam PAS, telah memutuskan bahawa PAS bertahaluf dengan Pakatan maka tidak dapat tidak, di dalam apa sahaja tindakan dan keputusannya, maka MSU mahupun PAS mesti bertindak selari dengan ketetapan Mukamar PAS tersebut.

5. Isu pokok yang berbangkit dalam isu MB Selangor ini adalah Presiden telah membuat ketetapan untuk menghantar nama daripada PAS sebagai calon MB (yang kemudiannya disokong oleh MSU). Sedangkan, Presiden sendiri sebelum ini telah menyatakan bahawa PAS tidak akan menuntut jawatan MB Selangor memandangkan ia adalah milik PKR. LUHAM percaya ini adalah berdasarkan kepada ketetapan Muktamar yang memutuskan bahawa PAS bertahaluf dengan Pakatan. Justeru, apabila nama ADUN PAS turut dicalonkan sebagai MB Selangor, tidakkah ia menyalahi perjanjian PAS di dalam Pakatan itu sendiri? Tidakkah perlanggaran ini menjurus kepada pelanggaran keputusan Muktamar itu sendiri? Oleh itu, LUHAM berpendapat tidak wujud sebarang perselisihan faham dalam hal keputusan Muktamar ini yang perlu kepada tafsiran oleh MSU.

6. Isu pelantikan MB Selangor juga tidak melibatkan keperluan untuk MSU menghurai, menjelas dan menafsirkan mana-mana peruntukan Perlembagaan PAS. Maka LUHAM tidak nampak apakah keperluan atau justifikasi untuk MSU terlibat dalam perkara yang tidak termasuk dalam bidangkuasa badan tersebut sebagaimana yang digariskan dalam Perlembagaan PAS.

7. Hatta, jika MSU berpendapat isu pelantikan MB Selangor ini melibatkan perselisihan faham dan pendapat tentang tafsiran Perlembagaan PAS berdasarkan Fasal 88 (1) Perlembagaan PAS, badan itu hanya boleh bertindak sekiranya ada rujukan dibuat kepada badan itu.

8. Di dalam bahasa perundangan, kuasa MSU adalah kuasa atas rujukan (“referral”) dan bukan kuasa "of first instance" atau kuasa yang sedia ada (inherent). Dengan ketiadaan perselisihan faham dan pendapat tentang tafsiran Perlembagaan PAS berhubung isu pelantikan MB Selangor dan dengan ketiadaan rujukan dibuat oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat kepada MSU bagi MSU menafsir Perlembagaan PAS, maka, tindakan MSU mencampuri isu pelantikan MB Selangor itu, dengan hormat, adalah “non-starter.

9. Apa yang jelas isu mengenai pelantikan MB Selangor adalah melibatkan isu penyusunan, pengaturan dan perlaksanaan strategi politik yang jelas di bawah bidangkuasa Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sepertimana yang diperuntukan di bawah Fasal 26 (9) (a) Perlembagaan PAS.

10. LUHAM kembali merujuk kepada dua (2) prasyarat di dalam Fasal 88 (1) Perlembagaan PAS yang tidak pun dipenuhi sebelum MSU mengeluarkan penafsiran tersebut. Ini adalah kerana kuasa Presiden adalah jelas dinyatakan secara bertulis di dalam Fasal 26 Perlembagaan PAS. Oleh itu, jika MSU ingin menambah kuasa Presiden yang tidak dinyatakan secara bertulis di dalam perlembagaan, maka perlulah dibuat pindaan perlembagaan bagi tujuan tersebut di dalam Muktamar.

ISU KEDUA

11. Isu ini melibatkan kuasa Presiden dalam kerangka Perlembagaan PAS. LUHAM merasa terpanggil untuk membuat kenyataan rasmi berkenaan isu kedua ini kerana LUHAM berpendapat MSU, dengan penuh hormat, telah membuat kenyataan yang tidak tepat mengenai kuasa Presiden dalam kenyataan rasmi MSU yang dibuat pada 7hb September 2014.

12. Dalam kenyataan rasminya itu, MSU menyatakan bahawa Presiden PAS mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti berdasarkan Fasal 26 (1) Perlembagaan PAS. Dalam konteks isu pemilihan MB Selangor, kenyataan MSU itu boleh difahami bahawa kuasa Presiden sebagai kuasa pemutus termasuk kuasa beliau membuat keputusan memutuskan siapakah calon MB Selangor yang beliau rasakan wajar diangkat kepada D.Y.M.M Sultan Selangor dan keputusan beliau itu adalah mewakili keputusan PAS dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak dalam PAS. Dengan perkataan lain kuasa pemutus Presiden yang ditafsirkan oleh MSU adalah termasuk kuasa membuat apa-apa keputusan tanpa bermesyuarat atau berunding dengan anggota angota permesyuaratan dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

13. Dalam konteks fakta kes yang melatari kenyataan MSU itu, MSU berpendapat meskipun selepas mesyuarat pada 17hb dan 25hb Ogos 2014 Jawatankuasa Kerja PAS Pusat telah bermesyuarat dan membuat keputusan berhubung isu pelantikan MB Selangor, sebarang keputusan oleh Presiden secara bersendiri tanpa merujuk dan tanpa mesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat selepas kedua-dua tarikh tersebut termasuk membuat keputusan yang sama sekali berbeza dari segi matan dan ruh keputusan pada kedua-dua tarikh tersebut adalah sah dan mesti dipatuhi.

14. Lanjutan dari kuasa pemutus Presiden yang ditafsirkan oleh MSU tersebut, maka MSU juga menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan bagi ahli-ahli Jawatankuasa PAS Pusat menjalankan arahan dan tugas oleh Presiden tersebut sebagaimana yang diperuntukan di dalam Fasal 26 (9) (m) Perlembagaan PAS.

15. Dengan penuh hormat, LUHAM berpendapat, tafsiran yang diberikan oleh MSU berkenaan kuasa Presiden tersebut dibuat atas premis yang salah maka kenyataan yang keluar dari premis yang salah itu amat amat sukar untuk dipertahankan.

16. Kenyataan MSU berhubung kuasa pemutus Presiden tersebut dibuat atas premis jawatan Presiden dalam Perlembagaan PAS adalah satu jawatan yang berdiri secara sendiri dan terpisah dengan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Kenyataan MSU malangnya bertentangan sama sekali dengan peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan PAS dan juga bertentangan dengan ruh, matan dan niat Perlembagaan PAS itu sendiri.


17. LUHAM berpendapat tidak wujud apa-apa peruntukan dalam Perlembagaan PAS mengenai jawatan Presiden secara bersendiri. Sebaliknya jawatan Presiden PAS adalah termasuk dalam Fasal 26 Perlembagaan PAS iaitu dibawah kepala "Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat".

18. Jika dilihat kepada Fasal 26 tersebut, adalah jelas bahawa jawatan Presiden diletakkan di bawah satu bumbung Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di mana Presiden adalah salah satu anggota Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tersebut disamping Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausahan Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Pengarah Pilihanraya dan ahli-ahli Jawatankuasa Kerja yang dipilih dalam Muktamar PAS dan dilantik berdasarkan Perlembagaan PAS.

19. Fasal 25 (1) Perlembagaan PAS secara jelas menyatakan keanggotaan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di mana salah seorang anggota Jawatankuasa Kerja tersebut adalah Presiden PAS.

20. Berdasarkan Fasal 25 dan 26 Perlembagaan PAS tersebut, adalah jelas niat penggubal Perlembagaan PAS adalah tidak memisahkan jawatan Presiden dari Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan bertolak dari hal tersebut, idea bahawa Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara dengan mengenepikan anggota-anggota permesyuaratan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat adalah suatu yang amat asing dalam PAS dan secara jelas tidak mengikuti peruntukan jelas, ruh dan niat Perlembagaan PAS .

21. Memandangkan jawatan Presiden termasuk dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Perlembagaan PAS mempromosi prinsip konsultasi dan permesyuaratan dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat maka apa sahaja peruntukan yang menggariskan kuasa dan peranan Presiden dalam Perlembagaan PAS harus dibaca atas prinsip yang dinyatakan tersebut.

22. Apatah lagi, Fasal 27 (5) Perlembagaan PAS sendiri mengesahkan bahawa Dewan Harian (di mana Presiden sendiri adalah termasuk di dalam Dewan Harian) hanya melaksanakan tugas-tugas yang diperturunkan kuasanya oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Oleh itu, mana mungkin ahli-ahli Dewan Harian melangkaui tugas-tugas yang diperturunkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kepadanya.

23. LUHAM juga berpendapat apa sahaja peruntukan mengenai kuasa dan peranan Presiden harus dibaca secara harmoni dengan peruntukan lain dalam Perlembagaan PAS bagi mencapai hasrat dan prinsip yang digariskan tersebut.

24. Oleh itu LUHAM berpendapat bahwa MSU, dengan penuh hormat, telah tersilap menyatakan bahawa kuasa Presiden di bawah Fasal 26 (1) (a) Perlembagaan PAS adalah satu kuasa pemutus yang secara tersiratnya satu kuasa yang bersifat mutlak atau “veto”. Dengan lain perkataan, jika kita menerima tafsiran MSU tersebut, Presiden mempunyai kuasa membuat apa-apa keputusan di luar mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat sekaligus menjadikan peranan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak lagi relevan.

25. Hakikat bahawa Presiden sewajarnya mengamalkan prinsip permesyuaratan dan konsultasi dengan anggota-angota lain dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat boleh dilihat dalam beberapa peruntukan lain dalam Perlembagaan PAS Pusat.

26. Sebagai contoh di dalam Fasal 26 (1) (c), meskipun ia termasuk dalam peruntukan mengenai kuasa Presiden, Fasal tersebut menyatakan bahawa persetujuan mesyuarat Kerja PAS Pusat perlu diperolehi dalam pelantikan jawatan jawatan tertentu dalam PAS.

27. Jika dilihat kepada tugas-tugas yang diamanahkan kepada Timbalan Presiden PAS dan Naib-naib Presiden PAS sepertimana yang diperuntukan masing masing di bawah Fasal 26 (2) (a) dan (3) (a) Perlembagaan PAS adalah bagi membantu tugas-tugas Presiden. Bagaimanakah Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden boleh menjalankan peranan mereka bagi membantu Presiden bagi membuat atau mencapai satu keputusan jika mereka tidak dilibatkan dalam mesyuarat bagi membuat satu-satu keputusan bagi kepentingan parti?

28. Begitu juga jika dilihat kepada Fasal 27 iaitu peruntukan mengenai tugas-tugas Jawatankuasa Harian PAS Pusat, yang mana Presiden salah seorang anggota Jawatankuasa Harian tersebut, adalah jelas di bawah Fasal 27 (6) Perlembagaan PAS, diperuntukan "semua keputusan dan tindakan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini mengikut ceraian (1) , (2), (3) dan (4) fasal ini hendaklah dimaklumkan dan disahkan oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.”

29. LUHAM berpendapat, berdasarkan prinsip-prinsip yang dinyatakan di atas dan juga peruntukan yang dinukilkan di atas, adalah jelas bahawa jawatan Presiden tidak mempunyai kuasa pemutus di luar mesyuarat atau tanpa bermesyuarat dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat terlebih dahulu mengenai apa sahaja perkara sehingga ke tahap Presiden tidak perlu mengendahkan atau memanggil atau mengadakan mesyuarat terlebih dahulu dengan anggota-anggota lain di dalam Jawankuasa Kerja PAS Pusat.

30. Berdasarkan kepada Fasal 27 (6) Perlembagaan PAS yang dinyatakan di atas, adalah jelas dinyatakan bahawa keputusan Dewan Harian yang merangkumi Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung dan sebagainya perlu membawa keputusan mereka kepada Jawatankuasa kerja PAS Pusat untuk kelulusan. Justeru, adalah aneh sekali apabila Presiden secara tiba-tiba boleh bertindak seorang diri melangkaui kuasa Dewan Harian mahupun kuasa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang menurunkan kuasa kepadanya. Lebih-lebih lagi, keputusan mengenai mencalonkan calon MB di kalangan ADUN PAS juga dibuat tanpa memaklumkan perkara itu terlebih dahulu kepada ahli-ahli Dewan Harian

31. LUHAM berpendapat sebarang tafsiran yang membenarkan Presiden bertindak hingga ke tahap yang dinyatakan tersebut adalah bercanggah dengan ruh, matan dan niat Perlembagaan PAS.

32. LUHAM juga berpendapat jawatan Presiden dalam PAS adalah berkonsep "Constitutional Presidency" (Presiden Berperlembagaan) iaitu kuasa dan peranannya dihadkan oleh Perlembagaan maka sebarang tafsiran yang keluar dari konsep atau doktrin tersebut adalah tafsiran yang amat asing dan tidak boleh dipertahankan ("unsustainable").

33. Sayugia dinyatakan di sini, dalam menafsirkan Perlembagaan khususnya yang menyentuh isu kuasa dan bagaimana kuasa itu dilaksanakan nasihat dari Lord Acton yang dinukilkan oleh Almarhum Y.M Raja Azlan Shah dalam kes Sri Lempah Enteprise v Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan amat relevan untuk diperhati "Power corrupts and absolute power corrupts absolutely".

34. LUHAM juga ingin merujuk kepada petikan Kertas Pindaan Perlembagaan PAS pada tahun 1983 di mana pindaan telah dibuat untuk tidak memusatkan kuasa kepada Presiden (secara bersendirian atau tanpa bermesyuarat dan mencapai persetujuan dengan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat terlebih dahulu). Pindaan dibuat untuk mengubahsuai beberapa perkara yang berkaitan dengan tugas Presiden untuk mewujudkan tanggungjawab bersama dan berasaskan syura dalam mengendalikan urusan parti dan menghapuskan pemusatan kuasa kepada individu yang boleh menghalang segala langkah dan tindakan yang boleh diambil melalui syura.

35. Penjelasan yang diberikan oleh LUHAM ini dibuat demi kebaikan parti dalam jangka masa yang panjang. LUHAM khuatir kita akan membuat duluan (precedent) yang tidak baik kepada generasi selepas ini yang memungkinkan mereka mengikut duluan ini tanpa usul periksa yang akhirnya membuatkan parti huru-hara dan hilang integritinya sebagai parti yang berprinsip dan Jemaah yang berdisiplin.

36. LUHAM sama sekali tidak merendahkan ketinggian MSU dalam PAS. Namunsebagai lajnah yang diamanahkan dalam isu-isu perundangan, maka adalah menjadi tanggungjawab LUHAM untuk memberi pandangan atau menegur sesuatu yang dilihat melanggar peruntukan perlembagaan yang kita semua sepakati bersama, walaupun teguran ini agak pahit untuk ditelan.

37. Kenyataan rasmi ini adalah mewakili LUHAM di mana ahli lajnahnya secara kolektif bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala keputusan, pandangan dan komentar seperti yang dinyatakan di sini.

Sekian, terima kasih.
Bertarikh pada 9hb September 2014.

Yang menjalankan amanah,
ABANG AHMAD KARDEE ABANG MASAGUS
Setiausaha
Lajnah Undang-Undang Dan Hak Asasi PAS Pusat

ULASAN GB

Allah memperkenankan doa dan membenarkan perkataan GB serta kita semua. Ini doa yang sering GB tulis di blog ini

اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه 
Allahumma arinal haqqa, haqqan, warzuqnattiba’ah, wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah

Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).

Dan baru semalam GB berpesan, jangan aibkan orang ekoran kenyataan Presiden yang mengaibkan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah, kerana jika Hari Ini Kita Aibkan Orang Esok Giliran Kita Diaibkan Pula... klik pautan ini. Dah dipesan, tapi tak minta maaf pun. Sekarang dah terbalas keaiban yang dilakukan.

Jelas kini. Kebenaran sudah pun semakin nyata. Kedua-dua isu tersebut telah GB perkatakan terlebih awal. Iaitu mengenai isu MSU dan Isu Presiden PAS. Ramai juga dari kumpulan taksub Presiden dan MSU yang jahil undang-undang dan tak reti hidup berorganisasi mencaci-maki kenyataan Setiausaha LUHAM berkenaan menuduh Abang Ahmad Kardee yang bukan-bukan. Sedangkan itubukan KENYATAAN PERIBADI beliau. Dua perenggan terakhir nmenjelaskannya:

36. LUHAM sama sekali tidak merendahkan ketinggian MSU dalam PAS. Namun sebagai lajnah yang diamanahkan dalam isu-isu perundangan, maka adalah menjadi tanggungjawab LUHAM untuk memberi pandangan atau menegur sesuatu yang dilihat melanggar peruntukan perlembagaan yang kita semua sepakati bersama, walaupun teguran ini agak pahit untuk ditelan.

37. Kenyataan rasmi ini adalah mewakili LUHAM di mana ahli lajnahnya secara kolektif bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala keputusan, pandangan dan komentar seperti yang dinyatakan di sini.

Tahniah LUHAM!

Tentang MSU banyak kali GB utarakan tentang keperluan untuk dirombak semula. Petikan:

Nampaknya Muktamar PAS akan datang perlu membincangkan semula Perlembagaan Parti khususnya berkaitan dengan peranan dan keanggotaan ahli Majlis Syura Ulamak. Ia perlukan penilaian, penelitian dan pemerkasaan semula supaya tidak lagi menjadi alat sekumpulan tertentu di dalam parti/jemaah bagi mencapai matlamat tertentu.
Boleh dirujuk semula entri-enteri berikut di blog ini:

Wala' Tidak Sama Dengan Taksub
"Muktamar" Adalah Kekuasaan Paling Tinggi Dalam PAS

Kedua mengenai isu Presiden parti, Tn Hj Abdul Hadi Awang. GB berkali-kali menyatakan TGHA telah melakukan kesalahan besar sebagai Presiden PAS yang kini telah bertukar menjadi seorang diktator apabila beliau mendakwa beliau mempunyai kuasa penuh tanpa perlu merujuk AJK PAS Pusat di dalam apa-apa tindakan yang diambilnya. Sila rujuk entri-entri berikut:

Benarkah Presiden PAS Ada Kuasa Penuh Lantik MB?
[PANAS] Peguam Mahu Presiden PAS Dikenakan Tindakan Disiplin

Kebenaran tetap kebenaran, marilah kita terus berdoa:

اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه 
Allahumma arinal haqqa, haqqan, warzuqnattiba’ah, wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah

Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).

GB akan tetap berpegang kepada hukum kebenaran dan keadilan untuk menghapuskan sekalian musuh yang sebenar yang ada di dalam jemaah dan amat yakin Allah akan bersama-sama dengan pejuang-pejuang yang ikhlas di jalanNya. Hendaklah kita menjadi seperti pemuda Al-Kahfi yang tidak takut menyata dan memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Kami ceritakan kepadamu kisah mereka dengan benar, sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan untuk mereka petunjuk. “Dan Kami teguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri, lalu mereka berkata, "Tuhan kami adalah Allah, Tuhan seluruh langit dan bumi; kami sekali-kali tidak seru Tuhan selain Dia, sesungguhnya jika kami demikian (bererti) kami telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran." (Al-Kahfi, 13-14)

Thursday, June 11, 2015

HUBUNGAN PAS DENGAN DAP DARI SUDUT PERLEMBAGAAN PAS - PUTUS ATAU TIDAK?
Berikut tulisan Zulhazmi Shariff yang menghuraikan secara terperinci keputusan Muktamar PAS ke 61 mengenai hubungan parti itu dengan DAP.
Sila baca dengan hati yang terbuka.
USUL MEMUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN DAP - ADAKAH MUKTAMAD ATAU SEBALIKNYA?
ذوالحزم شاريف السبعة
Pada Rabu bertarikh 03/06/2015 Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) telah meluluskan suatu usul tergempar memutuskan hubungan PAS dengan rakan tahaluf DAP. Usul tersebut kemudiannya dibawa ke Muktamar Tahunan PAS Pusat yang bermula pada 04/06/2015 sehingga 06/06/2015.
Pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Pusat, telah diumumkan bahawa usul daripada DUPP tersebut telah diterima tanpa bahas. Ekoran penerimaan usul tersebut tanpa bahas, Tuan Haji Mohamad Sabu, bekas Timbalan Presiden PAS mengumumkan di dalam Muktamar bahawa beliau mengambil keputusan meletakkan semua jawatan yang dipegangnya di dalam GLC di Pulau Pinang. Setiausaha Agung PAS, Dato’ Hj Mustafa Ali bagaimana pun menjelaskan bahawa walau pun usul tersebut telah diterima tanpa bahas, ianya masih belum muktamad kerana perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak yang mempunyai kuasa pemutus dalam hal berkaitan hukum. Kata Dato’ Hj Mustafa Ali, “kita masuk dengan hukum maka kita keluar juga dengan hukum”. Keadaan tersebut telah menyebabkan kekeliruan di kalangan para pemimpin PAS dan juga ahli-ahli PAS di seluruh Malaysia.
Sebelum ini saya telah menulis berkaitan kekuasaan tertinggi di dalam PAS. Hari ini saya ingin mengulas khusus berkaitan usul DUPP yang telah diterima tanpa bahas tersebut dari sudut Perlembagaan PAS. Ia juga akan melibatkan kedudukan kekuasaan tertinggi di dalam PAS.
Fasal 7 (1) Perlembagaan PAS dengan jelas terang lagi nyata memperuntukkan bahawa kekuasaan tertinggi di dalam PAS ialah Muktamar Tahunan PAS. Fasal 7 (1) menyatakan seperti berikut :-
Fasal 7. Hukum dan Kekuasaan
(1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan PAS ialah KITABULLAH dan SUNNAH RASUL serta IJMAK 'ULAMAK dan QIAS yang terang dan nyata, dengan tertakluk kepada hukum yang tertinggi itu, kekuasaan PAS adalah dipegang oleh Muktamar Tahunan.
Jangan ada pihak yang keliru antara hukum tertinggi dengan kekuasaan tertinggi. Hukum tertinggi PAS ialah Al-Quran, Sunnah Rasul, Ijmak Ulamak dan Qias. Keempat-empat sumber ini adalah rujukan hukum tertinggi di dalam PAS. Walau bagaimana pun kekuasaan tertinggi ialah Muktamar Tahunan PAS. Apa saja keputusan yang diputuskan di dalam Muktamar Tahunan PAS adalah keputusan tertinggi yang mana ianya mengikat seluruh badan-badan di dalam PAS dan seluruh ahli PAS.
Fasal 7 (2) Perlembagaan PAS pula menyatakan bahawa dengan tertakluk kepada hukum tertinggi PAS iaitu Al-Quran, Sunnah Rasul, Ijmak Ulamak dan Qias, segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar.
Fasal 7 (2) Perlembagaan PAS memperuntukkan seperti berikut :-
(2) Dengan tertakluk kepada hukum-hukum dalam ceraian (1) itu segala gerakan dan pentadbiran PAS adalah dijalankan di bawah perintah dan kekuasaan Muktamar, akan tetapi Muktamar itu sendiri tertakluk di bawah syarat-syarat yang terkandung dalam Perlembagaan PAS dan aturan peraturan muktamar atau mesyuarat Agung PAS.
Fasal 7 Perlembagaan PAS ini jelas bahawa kekuasaan tertinggi PAS ialah Muktamar Tahunan PAS dan tidak ada kuasa lain yang lebih tinggi daripada Muktamar. Justeru apabila Muktamar memutuskan bahawa usul DUPP diterima tanpa bahas, maka usul tersebut adalah muktamad. Badan-badan di dalam PAS samada ianya Majlis Syura Ulamak (MSU), Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP), Dewan-Dewan dan seluruh ahli tertakluk kepada keputusan tersebut. Badan-badan di dalam PAS hanya boleh berbincang dan memutuskan bagaimana usul tersebut hendak dilaksanakan bukannya menangguhkan atau membatalkan usul. Usul tersebut menyatakan bahawa hubungan PAS dengan DAP diputuskan maka hubungan PAS dengan DAP secara keseluruhannya terputus. Tidak ada istilah putus di sana tetapi di sini tidak. Itu jelas di dalam usul iaitu putus hubungan dengan DAP.
Kenyataan atau penerangan Setiausaha Agung PAS bahawa usul tersebut belum muktamad kerana masih tidak mendapat persetujuan atau masih belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak (MSU) adalah suatu kenyataan yang khilaf dan bertentangan dengan peruntukkan Perlembagaan PAS.
Perlu diambil perhatian bahawa kewujudan MSU juga adalah atas keputusan Muktamar Tahunan, malah kewujudan PAS juga adalah di atas keputusan Muktamar Tahunan. Tiada mana-mana pihak yang besar dan lebih berkuasa daripada Muktamar Tahunan. Ini jelas diperuntukkan lagi di Fasal 87 Perlembagaan PAS.
Fasal 87. Cara Memansuhkan PAS
PAS ini tidaklah boleh mansuh atau bubar melainkan dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima daripada jumlah bilangan ahli-ahli PAS yang telah menyatakan persetujuan mereka dengan bersendiri ke dalam Muktamar yang diadakan kerana maksud tersebut, atau dengan persetujuan sebulat suara dari perwakilan yang mewakili tiga perlima daripad ahli-ahli PAS Kawasan di dalam Muktamar PAS kerana maksud tersebut
Fasal 87 menyatakan bahawa Muktamar boleh memansuhkan atau membubarkan PAS. Ini jelas bermaksud bahawa bukan sahaja MSU berada di bawah kekuasaan PAS, malah PAS itu sendiri adalah di bawah kekuasaan Muktamar Tahunan kerana dengan Muktamar PAS boleh dimansuhkan dan dibubarkan. Jika PAS boleh dimansuhkan atau dibubarkan oleh Muktamar, maka begitu juga Muktamar boleh memansuhkan MSU atau mana-mana badan di dalam PAS.
Kenapakah Muktamar Tahunan PAS merupakan kekuasaan tertinggi selain daripada peruntukkan Perlembagaan yang jelas di atas?
Jawapannya kerana Muktamar Tahunan PAS itu diwakili oleh semua pihak yang berkepentingan di dalam PAS bermula daripada perwakilan Kawasan-Kawasan, Perwakilan Negeri-Negeri, perwakilan Dewan-Dewan, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja dan MSU. Semua pihak di dalam PAS terlibat di dalam Muktamar Tahunan PAS. Ini dengan jelas diperuntukkan di dalam Fasal 18 (2) Perlembagaan PAS.
Fasal 18 (2)
(2) Muktamar Tahunan dan/atau Khas PAS itu adalah mengandungi ahli-ahli yang berikut:
1. Pengerusi Tetap dan Timbalannya.
2. Ahli-ahli Majlis Syura „Ulamak dan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
3. Pesuruhjaya-pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan.
4. Yang Dipertua-Yang Dipertua PAS Kawasan, dan jika sekiranya dia tidak dapat hadir sendiri maka hendaklah seorang Ahli Jawatankuasa Kerja Kawasan itu diwakili dengan bersurat oleh Yang Dipertua PAS Kawasan itu.
5. Tidak kurang dari empat orang dan tidak lebih dari sepuluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Mesyuarat Agung Tahunan tiap-tiap Kawasan yang telah menunaikan yuran tahunannya bagi tahun itu ke Pejabat Agung dengan tertakluk kepada Fasal 19(5).
6. Dua puluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat.
7. Dua puluh orang wakil daripada diangkat oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat, dan
8. Dua puluh orang wakil daripada dan diangkat oleh Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat.
Jelas bahawa Muktamar Tahunan PAS disertai oleh semua pihak yang berkepentingan di dalam PAS. Justeru apabila usul diterima tanpa bahas, ini bermakna seluruh anggota Muktamar Tahunan telah bersetuju dengan usul tersebut dan usul tersebut adalah muktamad. Tidak ada mana-mana pihak yang boleh mengubah usul tersebut melainkan dilakukan melalui Muktamar juga.
Adakah usul yang telah diterima tanpa bahas tersebut perlu dirujuk kepada MSU untuk pengendorsan atau kelulusan?
Jawapannya jelas tidak perlu kerana semasa usul diterima tanpa bahas di dalam Muktamar, MSU juga terlibat berada di dalam Muktamar. Seluruh ahli MSU berada di atas pentas bersama-sama Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap boleh ditarik balik tetapi terlajak meluluskan usul di Muktamar, hanya Muktamar yang boleh menarikbalik.
Sepatutnya apabila usul diluluskan oleh DUPP pada 03/06/2015, usul tersebut dibawa atau dirujuk kepada MSU terlebih dahulu. Apabila MSU berbincang, berbahas dan meneliti baik buruk serta hukum hakamnya barulah diangkat kepada Muktamar Tahunan untuk diputuskan.
Perlu diambil perhatian bahawa usul tersebut diusulkan oleh DUPP yang mana di dalamnya ada Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan seluruh ulamak hebat di dalam PAS. Apabila DUPP yang dianggotai oleh seluruh ulamak sudah bersetuju meluluskan usul tersebut, adakah munasabah MSU yang hanya dianggotai oleh seramai 17 orang ahli boleh menafikan kelulusan DUPP? Apabila usul tersebut diluluskan oleh DUPP yang mana di dalamnya ada Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Ketua DUPP serta beberapa ahli MSU yang lain, adakah munasabah mereka yang meluluskan di DUPP akan mengubah tindakan mereka apabila mereka bertindak sebagai ahli MSU? Di sana mereka luluskan, tiba-tiba di sini mereka hendak batalkan atau tangguhkan?
Sebenarnya tindakan menerima usul DUPP tanpa dibahaskan oleh Muktamar Tahunan adalah suatu tindakan paling bodoh yang pernah dilakukan. Sekarang masing-masing menjadi seperti gila talak. Lafaz cerai telah dikeluarkan tetapi masih ingin tinggal serumah.
Sewajarnya usul tersebut dibahaskan di dalam Muktamar di mana perwakilan kawasan, perwakilan negeri, perwakilan dewan-dewan sehingga perwakilan MSU diberikan laluan untuk berbahas dan seterusnya mengundi untuk dibuat keputusan. Muktamar Tahunan adalah SYURA terbesar di dalam PAS. Sepatutnya syura terbesar ini dijadikan medan menentukan hala tuju parti bukannya sekumpulan manusia yang berasa cerdik tapi tidak cerdik yang mencorak perjalan parti. Siapa yang membuat keputusan meluluskan usul tanpa bahas? Bukan Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar tetapi atas arahan seseorang. Pengerusi Jawatankuasa Usul seperti yang dimaklumkan oleh beliau di dalam Muktamar, bahawa beliau hanya menjalankan tugas tetapi ada orang lain yang mengarahkannya.
Ya betul, Pengerusi Jawatankuasa Usul juga bersalah kerana mengikut arahan buta tuli tapi orang yang mengarahkan itu lebih utama dipersalahkan. Siapa? Mereka lebih mengetahui.
Sekarang hubungan PAS dengan DAP telah muktamad diputuskan. Tidak ada putus di Pulau Pinang tetapi tidak di Selangor, tidak di negeri-negeri lain. PUTUS. Tindakan Tuan Haji Mohamad Sabu dan Dato’ Dr Mujahid Yusuf adalah bertepatan dengan usul. Sekarang kita menunggu tindakan para pimpinan PAS di Pulau Pinang yang lain meletakkan jawatan. Begitu juga di Selangor.
Perlembagaan PAS Fasal 16 (3)(b) menyatakan bahawa ahli-ahli PAS hendaklah melaksanakan arahan-arahan dan keputusan-keputusan parti sama ada umum atau khusus. Keputusan Muktamar Tahunan adalah yang tertinggi parti, justeru seluruh ahli wajib patuh keputusan tersebut.
Like · Comment · 
  • Kenyataan atau penerangan Setiausaha Agung PAS bahawa usul tersebut belum muktamad kerana masih tidak mendapat persetujuan atau masih belum diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak (MSU) adalah suatu kenyataan yang khilaf dan bertentangan dengan peruntukkan Perlembagaan PAS.

Tuesday, June 9, 2015

Di Petik Dari Sumber


Guan Eng Desak Wakil Pas Letak Jawatan Kerana Kecewa Dan Malu Sendiri

Bekas Setiausaha Pas Negeri Selangor, Ustaz Norman Toha berkata, tindakan Lim Guan Eng yang meminta wakil Pas di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang meletakkan jawatan merupakan tindak balas untuk menutup malu dirinya sendiri apabila kepimpinan Pas yang pro kepada Dap kalah teruk dalam pemilihan yang berlangsung pada muktamar parti tersebut baru-baru ini.
Katanya, Lim Guan Eng mungkin sudah putus harapan dan kecewa dengan kepimpinan baru Pas yang jelas tidak lagi boleh diperkotak-katikkan oleh Dap sepertimana kepimpinan Pas pusat sebelum ini.
Lim Kit Siang  Lim Guan Eng
“Saya berpandangan desakan Guan Eng supaya wakil Pas dalam kerajaan negeri Pulau Pinang agar meletakkan jawatan adalah akibat rasa malu beliau ekoran kegagalan misinya untuk mempengaruhi akar umbi Pas memberikan kemenangan kepada saf kepimpinan yang beliau mahukan.
“Kita semua sudah sedia maklum bahawa kepimpinan Dap cuba memainkan peranan dalam pemilihan muktamar baru-baru ini, berdasarkan kepada kenyataan dan ucapannya yang seolah-olah membantu kempen barisan kepimpinan yang pro Dap di dalam pemilihan kali ini.
“Dan ekoran kegagalan dan kekalahan yang teruk barisan kepimpinan Pas yang menjadi pilihan Dap, maka atas dasar kecewa dan malu sendiri maka Guan Eng mendesak wakil Pas di Pulau Pinang untuk meletakkan jawatan sebagai satu hukuman atau balas dendam terhadap Pas ekoran keputusan pemilihan yang memihak kepada golongan pro ulama,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Sementara itu, di dalam perkembangan terbaru berhubung ketetapan Pas yang tetap mahu bersama Pakatan Pembangkang, beliau menjangkakan ada kemungkinan Dap yang tidak akan bertahan lama di dalam pakatan tersebut.
“Jika Pas terus berkeras mahu kekal di dalam Pakatan Pembangkang, tidak mustahil Dap yang akan mengambil tindakan untuk keluar dari pakatan. Ini berdasarkan sejarah yang pernah berlaku pada tahun 2003 di mana Dap akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada Barisan Alternatif kerana tidak setuju dengan matlamat Negara Islam Pas.
“Ini kita boleh lihat dengan kenyataan dari kepimpinan Dap yang seolah-olah menganggap mereka mampu untuk mendapat sokongan rakyat, khususnya bangsa Melayu tanpa bantuan daripada Pas sekali pun.
“Dan berdasarkan itu adalah tidak mustahil sejarah 2003 itu boleh berulang kembali. Ini memandangkan pendirian PKR terhadap Pas masih lagi samar-samar dan ada kemungkinan besar  PKR akan tetap menjalinkan hubungan dengan Pas untuk survival politik mereka, sekiranya Dap mengambil keputusan keluar dari pakatan pembangkang,” ujarnya.-MediaUMNO

Sunday, June 7, 2015

Wan Zaini 

Harga sebuah kekejaman di PWTC

episod malang Tun Mahathir dihalang berucap dan arah keluar dari bangunan yang diasaskan oleh beliau sendiri..
Tanggal 05 Jun 2015, tercatat satu lagi Sejarah buat negara apabila bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Ma
hathir Mohamad telah dinafikan hak untuk berucap di hadapan khalayak di PWTC. 
Alasan penafian hak beliau yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, amat tidak munasabah malah seakan orang “hilang akal”. Beliau mengatakan bahawa PWTC tempat yang selama ini menjadi maruah dan martabat UMNO Barisan Nasional tidak selamat jika dialog Tun Mahathir dengan Perdana Menteri terus diadakan,malah dikhuatiri menggugat keamanan dan ketenteraman rakyat Malaysia.
Ini jelas bercanggah dengan dasar Perlembagaan Malaysia yang tercatat dalam Perkara 10 yang menyokong prinsip demokrasi iaitu, setiap warganegara mempunyai hak bersuara serta bebas mengeluarkan fikiran. 
Peristiwa yang melukakan prinsip keadilan telah banyak menimbulkan spekulasi dalam kalangan para pengamal media dan rakyat Malaysia. 
Persoalannya kini, mengapa Perdana Menteri takut berhadapan dengan Tun Mahathir? Apakah ini angkara seseorang yang tidak membenarkan atau takut pecah tembelang? Sungguh memalukan apabila seorang Perdana Menteri mendiamkan diri daripada menjawab tentang kontroversi skandal 1MDB yang melanda beliau. 
Lebih mengejutkan apabila Ketua Polis Negara yang seharusnya memberi kerjasama dan memastikan supaya sesi dialog tersebut berjalan dengan lancar, tetapi sebaliknya mengarahkan anak-anak buahnya untuk bertindak melampaui batas dengan merampas mikrofon dan mengarahkan Tun Mahathir keluar dari dewan. 
Sebagai anak muda yang mengikuti perjalanan politik Malaysia sejak zaman persekolahan lagi, saya merupakan serpihan kezaliman zaman Mahathirisme. Saya mengikuti perkembangan Tun Mahathir, dan adalah amat sukar untuk saya lupakan doa Almarhum Ustaz Fadzil Noor, yang mendoakan agar Tun Mahathir dipanjangkan umur bagi menyaksikan sendiri kerosakkan UMNO dan negara akibat kesan daripada pentadbiran diktatornya selama 22 tahun. 
Rakyat tidak sepatutnya lupa akan Sejarah surat Tun Mahathir terhadap Tunku Abdul Rahman yang jelas memusnahkan seluruh pengorbanan Tunku terhadap bangsa dan negara sejak 58 tahun yang lalu. Menurut Tuanku, akibat dari penyebaran surat itu telah menyebabkan berlakunya tunjuk perasaan menentang beliau di Universiti Malaya,Kolej Islam dan Institut Teknologi Mara. 
Atas dasar inilah yang mendorong Tunku memberikan kata dua kepada UMNO sama ada untuk memilih beliau ataupun Tun Mahathir. Tunku juga pernah meluahkan perasaan marah beliau terhadap Tun Mahathir dalam akhbar Mingguan Malaysia 20 Julai 1969 yang berbunyi “…surat Dr Mahathir telah memusnahkan seluruh perjuangan saya terhadap negara dan bangsa selama 17 tahun…”. 
Kekejaman dan kezaliman era Mahathirisme, berterusan sehingga menuduh bekas Menteri Kewangan dan kini Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, bahawa beliau terlibat dalam skandal politik wang semasa pemilihan UMNO tahun 1987. 
Ketika itu Ku Li menentang Tun Mahathir bagi jawatan Presiden tetapi tewas tipis dan ini memaksa beliau keluar dari UMNO lalu menubuhkan Semangat 46. Ku Li juga turut menjelaskan bahawa tulisan Dr Mahathir dalam “Memoir of Tun Dr Mahathir Mohamad” merupakan “pembohongan politik”. Beliau mengaitkan nasib mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan mantan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim seolah-olah yang baik itu datang dari Mahathir dan yang buruk itu datang dari pihak yang tidak bersependapat dengan beliau. 
Tun Mahathir sedar bahawa penganti beliau tidak mampu memperbetulkan keadaan yang telah wujud semasa era Mahathirisme. Maka, beliau dengan bijak meletakan jawatan, tepat pada masa, supaya dapat mengelakkan diri beliau daripada kontroversi kronisme seperti yang dialami oleh Pak Lah dan kini, Dato Seri Najib Razak. 
Setiap individu yang menghalang kemaraan Tun Mahathir akan mendapat ganjaran seperti yang dialami oleh Tunku Abdul Rahman, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Ghafar Baba, Tun Musa Hitam, Tun Salleh Abbas sehingga Dato Seri Anwar Ibrahim. 
Kasus insiden kontroversi Tun Mahathir dalam tragedi pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim dengan tindakan yang paling mengaibkan malah tindakan ini telah memberikan kejutan kepada hampir seluruh rakyat Malaysia. Tun Mahathir telah mengukir Sejarah dunia dengan menjatuhkan musuh politik beliau dengan cara yang teramat keji iaitu kes konspirasi dan fitnah politik – liwat. Didikan dan asuhan Tun Mahathir digunakan sebaik mungkin oleh pewarisnya melalui konspirasi dan fitnah Liwat 2.0.
Semasa era Mahathirisme, Tun Mahathir, telah mengorbankan dan mengadaikan prinsip demokrasi. Beliau telah mewariskan barisan kepimpinan yang korup dan bobrok di mana pentadbiran berasaskan semangat demokrasi telah runtuh dan terkorban. Segala institusi dalam negara menjadi caca merba. Dari institusi Kehakiman, Perundangan, PDRM, SPRM, SPR dan banyak lagi yang telah diranapkan semasa zaman Mahathirisme. 
Hari ini, insiden mengaibkan Tun Mahathir, yang dilakukan oleh pewarisnya sendiri, sepatutnya membuatkan beliau sedar dan bertaubat semasa dan selagi beliau masih mempunyai peluang dan ruang untuk berbuat demikian. Ini adalah harga sebuah kekejaman yang sedang dibayar oleh Tun Mahathir. 
Taubat ATAU terus membayar harga sebuah kekejaman!!!
Salam Reformasi.
Parti Keadilan Rakyat

Saturday, June 6, 2015



PIMPINAN BARU PAS: BENARKAH MEREKA LEBAI KAMPUNGAN?
Oleh:Dr Riduan Mohammad Nor
Muktamar PAS Pusat tahun ini paling meriah dan memicu pelbagai sketsa politik dalam sejarah jatuh bangun PAS. Pemilihan kepimpinan juga menyorot perhatian media sehingga menenggelamkan isu rakyat yang sedang mengikat perut kejerihan.
Muktamar juga telah memilih barisan kepimpinan baru , juga dijadikan "beg pukul" bahawa PAS kini diwakili jalur konservatif, berwajah kampungan yang akan mengundurkan gerakan Islam ini 30 tahun kebelakang. Siapa dan apakah latarbelakang pimpinan baru PAS?
Dr Fadli Hassan bekas pensyarah UIAM lahir daripada rahim tarbiah PAS semenjak remaja dan mendapat doktorat daripada Universiti Birmingham United Kingdom dalam bidang undang-undang Perlembagaan. Dr Khairuddin attakiri pula bekas pensyarah UKM yang mendapat ijazah MA daripada Universiti Jordan serta mempunyai doktorat daripada UKM.
Dr Zuhdi Marzuki mantan Timbalan Presiden GAMIS, tokoh muda radikal di zaman kampus yang menjadi dalang bantahan konsert Sheila Majid. Beliau pelajar pintar yang diasuh semenjak remaja sebagai pimpinan PAS. Mendapat doktorat daripada Universiti of Wales UK.
Dr Nik Zawawi Nik Salleh bekas pensyarah KIAS, mempunyai MA daripada kampus Jordan juga PhD daripada UKM. Haji Razman Zakaria, bekas Pengarah Kastam mempunyai MA dalam bidang pentadbiran Awam daripada UM. Haji Mohamad Nor Mohd mantan Pegawai Perancang bandar UDA yang bergraduan daripada UKM. Beliau tokoh masyarakat di Kuala Lumpur semenjak zaman pemudanya.
Ustaz Solihin Muhyi, mantan Exco kerajaan Selangor adalah tokoh gerakan mahasiswa dizaman mudanya. Bergraduan daripada UKM, seterusnya ke kampus Jordan dan UM. Ustaz Dato' Nasaruddin Daud mencicip ilmu di Universiti al Azhar merupakan Exco Kerajaan Kelantan. Tokoh agama ini juga adalah pemimpin pemuda dizamannya.
Sanusi Mohamad Nor bergraduan daripada USM merupakan mantan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah. Ustaz Norazli Musa, tokoh NGO misi bantuan tanpa sempadan yang menyantuni pelbagai peta luka umat Islam. Beliau bergraduan daripada Universiti Abu Bakar Pakistan, seterusnya di universiti Islam Indonesia.
Dr Ali Akhbar berdarah Pakistan, bergraduan daripada Universiti Malaya ,kampus premier tanahair kita. Beliau berdoktorat daripada UKM. Ustaz Abdullah Hussein ADUN dari Johor,tanah tembuni UMNO ditanam. Beliau mendapat pendidikan tinggi di Universiti al Azhar dan mendapat reputasi sebagai tokoh pendidikan di Johor.
Dr Rusni Adam pengamal perubatan muslimah bergraduan daripada Universiti Malaya. Anak Johor ini mantan aktivitis pelajar dizaman kampus seterusnya terjun aktif bersama Dewan Muslimat. Ustaz Nasruddin Hassan Ahli Parlimen Temerloh yang berprofil tinggi dalam gerakerja jamaah. Beliau bermukim ilmu di bumi Syria dan Mesir, juga penulis prolifik di alam siber.
Ustaz Mokhtar Senik mendapat pendidikan tinggi di Universiti Pakistan dan juga di Makkah. Haji Mazlan Aliman tokoh aktivis rakyat yang disegani. Beliau berjaya menjuarai isu-isu FELDA dengan cemerlang. Ustaz Zaharuddin Mohamad adalah calon doktorat Universiti Dundee Scotland. Tokoh muda ini adalah pakar perbankan Islam negara ini yang juga pakar rujuk ekonomi Islam.
Naib-Naib Presiden pula mempunyai latarbelakang pendidikan yang piawai serta penglibatan sosiopolitik yang mapan semenjak remaja. Ustaz Idris Ahmad bekas pensyarah UITM, calon doktorat universiti tempatan dan johan Pidato kebangsaan semasa belajar di KIK. Beliau memimpin pelajar di UKM dizaman kampus.
Dato Nik Amar Nik Abdullah,bekas Ketua Pelajar Maahad Muhammadi kelantan. Anak tokoh Pas ,Ustaz Nik Abdullah Arshad,beliau mempunyai M(Phil) daripada Universiti Birmingham UK. Nik Amar adalah mantan pensyarah UIAM.
Dato Iskandar Samad adalah alumni MCKK serta belajar dalam bidang senibina daripada Universiti Humberside UK. Exco kerajaan Selangor ini terasuh cermat dengan sistem tajnid PAS.
Timbalan Presiden pula adalah mantan pensyarah kanan UITM. Beliau mendapat MA Dakwah daripada UKM, sebelum menyambung ijazah PhD dipanggil bertanding di DUN Jengka. Dato Tuan Ibrahim menjadi ADUN Jengka pada tahun 1999 sehingga 2004.
Ayah Chik Tuan Guru Presiden ialah ilmuan yang diiktiraf dunia Islam yang telah mengarang hampir 100 buah buku.Naib Ketua Kesatuan ulama Dunia ini memperolehi kesarjanaan daripada Asia Barat, Madinah dan Mesir. Dr Shamsuri Mokhtar setiausaha politik Presiden ialah pakar aero angkasa Malaysia mendapat doktorat daripada Universiti Leeds UK.
Bersikap adillah teman,jangan menghukum tanpa mengenali potensi dan kompetensi qiadah baru kita. Berikan ruang untuk mereka buktikan keupayaan memacu harakatul ummah untuk sesi ini. Bercerminlah!
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, pendakwah dan Perunding Motivasi)

Rakaman lengkap ucapan ringkas Tun M di PWTC sehingga beliau ditahan oleh polis daripada berucap.