Nampaknya suara keras DAP mengenai pelaksanaan hukum hudud sedikit lunak dengan kenyataan Naib Pengerusi DAP, M.Kulasegaran hari ini yang berkata bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak akan menjejaskan kehidupan masyarakat bukan Islam di negara ini.
Harap-harap apa yang dikatakan beliau merupakan pandangan rasmi DAP dan bukannya cuma pandangan peribadi Ahli Parlimen Ipoh Barat itu.
Jika itulah pandangan rasmi DAP, kita tunggu pula sama ada UMNO juga akan berani mengeluarkan kenyataan yang senada dengan DAP bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak akan menjejaskan kehidupan masyarakat bukan Islam.
Masalahnya sanggupkah UMNO berkata senada dengan M.Kulasegaran di tengah kegentaran pandangan sedemikian akan menimbulkan rasa amarah parti-parti komponen BN lain, khususnya MCA dan Gerakan?
Dan satu lagi sanggupkah media arus perdana memetik kata-kata pemimpin kanan DAP itu dalam siaran beritanya esok, kerana hingga tengah malam ini tiada cerita mengenainya di dalam siaran berita TV, sama ada RTM mahupun TV3.
Petikan berita Harakahdaily mengenai kenyataan M.Kulasegaran:
| |
| |
| |
Menurut Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran, beliau menghormati pendirian PAS dalam pelaksanaan hukum hudud dan yakin bukan Islam di negara ini tidak akan terjejas kehidupan mereka jika ia dilaksanakan.
Mengulas situasi dan suasana pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Kulasegaran menambah bahawa,para pengundi Cina tidak akan terpengaruh dengan isu hudud menjelang pilihan raya kecil di sana.
Menurutnya, mereka matang dan mampu melihat dengan lebih jelas permainan yang cuba dibawa oleh Barisan Nasional (BN).
"Perkara ini telah didebat banyak kali.Tiada yang baru,"katanya kepada wartawan selepas perasmian pusat khidmat masyarakat Adun Jelapang (DAP),Hee Yit Foong.
Tambahnya, dia menghormati pendirian PAS untuk melaksanakan hudud dan ia merupakan inspirasi parti tersebut.
"Ia masih memerlukan perubahan perlembagaan persekutuan,"jelasnya sambil menegaskan PAS akan sukar mendapat majoriti untuk melakukannya.
Pengundi-pengundi Cina dilaporkan membentuk 11 peratus dalam daftar pemilihan untuk pilihan raya kecil di Kuala Terengganu dan ia penting buat BN.
Kulasegaran yang juga merupakan Ahli Parlimen Ipoh Barat menegaskan,seandainya hukum hudud dilaksanakan gaya hidup masyarakat bukan Islam tidak akan mendapat kesan.