Kereta enjin kecil pilihan rakyat?
KUALA LUMPUR 14 Jun – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan jualan kenderaan terutama kereta dengan keupayaan enjin di bawah 1.6 liter menjadi pilihan rakyat, ekoran kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, jangkaan itu sekali gus akan memberi kelebihan kepada pembuat kenderaan tempatan, terutama Perodua dan Proton untuk menjana jualan lebih tinggi.
“Saya fikir kenderaan besar seperti jip dan kenderaan pacuan empat roda akan mengalami penyusutan dalam permintaan, ekoran langkah pengguna dalam melakukan penjimatan,” ujarnya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas senario automotif negara selepas kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak awal bulan ini yang menyaksikan harga petrol naik sehingga 40 peratus.
Mengulas lanjut, Aishah berkata, pihaknya akan menyemak semula unjuran jualan kenderaan di negara ini untuk tahun 2008 ekoran berlakunya kenaikan harga minyak dan dijangka membuat pengumuman mengenainya bulan hadapan.
Secara keseluruhan, jualan kenderaan di negara ini, dijangka menurun berbanding tahun lalu kerana rakyat tempatan terutama mereka yang bekerja makan gaji akan mempunyai perbelanjaan yang kian bertambah dan terpaksa menangguhkan hasrat membeli kereta baru.
Pada masa yang sama, MAA turut menjangka lebih ramai pemilik kenderaan akan memasang peralatan bagi menggunakan gas asli sebagai bahan api kenderaan sebagai satu lagi langkah berjimat-cermat terutama kenderaan dengan enjin berkapasiti besar.
Ditanya mengenai dakwaan mengenai bilangan kenderaan di atas jalan raya yang semakin berkurangan sejak harga minyak naik, kata beliau, perkara itu masih terlalu awal untuk dirumuskan dan kesannya masih belum dirasai.
Namun, ujar beliau lagi, MAA percaya lebih ramai pengguna kenderaan sudah mula beralih kepada sistem pengangkutan awam untuk pergi ke tempat kerja walaupun sistem tersebut masih belum menjalani proses penambahbaikan yang menyeluruh.
“Pengguna kenderaan juga rasanya sudah mula mencongak-congak untuk mengamalkan kaedah berkongsi kenderaan untuk ke tempat kerja dan berjalan kaki untuk ke tempat yang dekat seperti pasar dan kedai,” ujarnya.
|
Mudahkan kami guna motosikal
Rozmal Malakan Jun 12, 08 9:53pm
Kenaikan harga minyak kali ini memberi kesan kepada semua golongan masyarakat di Malaysia termasuk golongan kelas menengah, profesional dan mereka yang berpendapatan sederhana.
Ada beberapa cara yang berkesan menghadapi kesan ini kepada mereka yang berulang-alik ke tempat kerja iaitu sama ada menggunakan pengangkutan awam, kenderaan berkuasa NGV (gas cecair), berkongsi kereta atau menggunakan motosikal.
Untuk menggalakkan penggunaan motosikal, kerajaan haruslah mengkaji secara serius kaedah pengeluaran lesen pemandu motosikal serta cukai jalan, terutamanya motosikal berkuasa rendah iaitu bawah 150cc.
Berikut beberapa cadangan agar lebih ramai menggunakan motosikal dan membantu rakyat menghadapi kesan kenaikan harga minyak:
1. Memansuhkan lesen memandu motosikal bawah 150cc.
Perkenalkan undang-undang kepada mereka yang mempunyai MyKad dan berumur atas 16 tahun agar tidak memerlukan lesen memandu.
Rasionalnya, sekarang di bandar-bandar, apatah lagi di kampung-kampung, di tanah-tanah rancangan, ramai remaja yang menunggang motosikal berkuasa kecil tidak mempunyai lesen memandu.
Lebih teruk lagi, jika di taman-taman perumahan, murid sekolah rendah diizinkan oleh ibu bapa masing-masing membawa motosikal dalam keadaan yang membahayakan.
Keutamaan larangan memandu tanpa lesen sepatutnya dikenakan kepada mereka yang di bawah umur, bukannya pekerja kilang, penoreh getah, buruh am dan seumpamanya.
2. Pemilik lesen Kelas D tidak perlu lesen motosikal bawah 150cc.
Sekiranya cadangan awal tadi tidak dapat dilaksanakan, kerajaan haruslah menimbangkan agar pemilik lesen kenderaan Kelas D tidak diperlukan mengambil lesen memandu motosikal bawah 150cc.
Rasionalnya, kebanyakan golongan kelas menengah, profesional dan mereka yang berpendapatan sederhana mempunyai lesen kenderaan Kelas D tetapi tidak mempunyai lesen memandu motosikal.
Sekiranya cadangan ini diterima, ia akan menggalakkan golongan ini untuk menggunakan motosikal ke tempat kerja.
3. Memansuhkan cukai jalan bagi motosikal bawah 150cc.
Jika kita perhatikan, sekarang ramai pekerja yang berpendapatan rendah, orang kampung, penoreh getah, mereka yang tinggal di tanah-tanah perancangan sudah bertahun-tahun tidak memperbaharui cukai jalan.
Sekiranya mereka hendak memperbaharui cukai jalan untuk mendapatkan rebat RM150 setahun, mereka perlu membawa motosikal mereka ke Puspakom untuk diperiksa.
Sekiranya mereka tinggal di pedalaman, di kampung-kampung, di tanah-tanah perancangan, tidaklah munasabah untuk memperbaharui cukai jalan semata-mata mendapatkan rebat itu. Justeru, disarankan cukai jalan bagi motosikal bawah 150cc dimansuhkan.
Untuk mendapatkan rebat RM150 setahun, cukup pemilik motosikal ini mendapat pengesahan di balai polis berhampiran bahawa motosikal mereka berada dalam keadaan selamat berserta dengan geran asal motosikal.
Yang penting di sini, kesedaran pemandu motosikal mengenai keselamatan di jalanraya serta sikap bertimbang rasa ketika memandu.
Pemilik motosikal haruslah mempunyai kesedaran bahawa memandu dengan cermat serta memiliki motosikal yang selamat membawa kebaikan kepada mereka sendiri.
Sementara itu, pihak berkuasa terutama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih boleh terus menjalankan operasi terhadap motosikal tetapi tidak perlu lagi bertanyakan cukai jalan dan lesen memandu motosikal bawah 150cc.
Polis dan JPJ boleh memberikan lebih perhatian akan aspek keselamatan, antaranya mereka yang memandu bawah umur, bawah pengaruh alkohol dan dadah, atau motosikal tidak mengikut spesifikasi.
Peliknya di Malaysia, terdapat mereka memiliki lesen memandu tetapi membawa motosikal atau kereta dalam keadaan yang berbahaya.
Sedangkan terdapat pula pemandu yang berhati-hati ke tempat kerja, ke klinik untuk membawa anak yang sakit disaman semata-mata tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan tiada cukai jalan.
|
No comments:
Post a Comment