DAP Selangor terkejut dengan kenyataan Azmin Ali SHAH ALAM: Pengerusi DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah terkejut dan kesal dengan kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang mendesak kerajaan negeri merombak barisan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) dan menyifatkan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) sebagai "mahkamah". Beliau berkata Azmin yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat, perlu bertindak lebih proaktif untuk memahami dasar-dasar kerajaan negeri jika berasa tidak puas hati dan musykil terhadap pelaksanaannya. "Saya berharap YB Azmin Ali membuat siasatan terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang kenyataan yang tersalah sasaran," kata Yong dalam satu kenyataan hari ini. Semalam, Azmin meminta Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merombak barisan anggota exco yang didakwanya gagal melaksanakan tugas. Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat desakan berkenaan kerana antara lain dipercayai kecewa dengan pelantikan anggota Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan kegagalan barisan exco memajukan Selangor. Azmin turut membidas fungsi MTES yang menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman berdasarkan prejudis, sekali gus dikatakannya tidak baik untuk menjana pertumbuhan ekonomi Selangor. Yong juga berkata Azmin tidak sepatunya menyalahkan anggota exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hanya kerana beliau mengumumkan senarai anggota PBT yang tidak lengkap bagi penggal 2009/2010. "Kejadian ini berlaku kerana salah satu parti komponen (Pakatan Rakyat) tidak dapat menyelaraskan senarai anggota PBT parti tersebut pada masa yang ditetapkan dan mengakibatkan YB Ronnie Liu terpaksa membuat pengumuman pada tarikh yang dijanjikan oleh kerajaan negeri," kata beliau yang juga anggota exco kerajaan negeri. BERNAMA |
Friday, July 10, 2009
terkejut dengan kenyataan Azmin Ali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment