Kesal keluarga Waheeda dihinaOleh Zaidi Mohamad |
Akhil Hayy mohon khalayak tidak lagi cemuh sesiapa ekoran kemelut rumah tangganya
"CUKUP-CUKUPLAH menghukum dia (Waheeda) sebagai orang ketiga. Dia sendiri memang cukup sedih apabila orang menuduhnya sebagai perampas suami orang. Saya simpati dengan apa yang dialaminya dan memohon maaf kepada keluarganya di atas apa yang berlaku."
Begitulah reaksi penyanyi, pengacara dan penceramah bebas, Akhil Hayy apabila ditanya mengenai statusnya dengan penyanyi bertudung litup Waheeda ketika ditemui pada majlis rakaman program Mega Raya Astro, 21 Julai lalu. Dia hanya mampu tersenyum sambil memberikan jawapan selamat. Namun yang paling dikesalinya ialah dek masalah rumah tangganya, ia memberi tekanan yang sangat hebat kepada penyanyi lagu Wassini itu.
“Dia juga sakit disebabkan manusia kolot yang mengamalkan sihir. Saya tidak mahu menuduh, tapi kepada manusia yang tidak bertanggungjawab itu, kalau termakan cili pasti terasa pedasnya. Harus diingat, tak ada manusia yang akan bebas daripada balasan Tuhan apabila berbuat jahat,” katanya yang turut terbabit dalam rakaman tadarus al-Quran untuk Ramadan ini bagi siaran Astro Oasis.
Diaju mengenai pengganti atau lebih tepat apakah Waheeda yang bakal mengisi kekosongan hatinya, pelakon utama Cafe Akhil Hayy itu terus membiarkan ia tergantung tanpa sebarang jawapan pasti. Bagaimanapun, tanpa berselindung, dia memberitahu cukup rapat dengan Waheeda dan keluarga artis kelahiran Johor itu.
Waheeda
“Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Kita tunggu dan lihat sajalah. Kalau ada jodoh dengan sesiapa pun, Insya-Allah adalah. Takkan saya nak membujang lagi kot kerana kehidupan saya sebagai lelaki normal perlu diteruskan. Saya serahkan kepada-Nya.
“Mengenai Waheeda, apa yang saya dapat katakan, dia orang yang mencari agama dan antara ciri wanita yang lelaki idamkan. Sebab itu, saya boleh intim dengannya kerana kerap berkongsi soal dakwah,” katanya mengakhiri bicara.
Kesempatan bertemunya pada majlis itu juga memberi ruang kepadanya untuk bersuara dan meluahkan sedikit isi hati yang mungkin tersekat sebelum ini. Janggal atau tidak, dia yang digelar sebagai Ustaz Rock harus membiasakan diri dengan status baru yang dimilikinya kini.
“Selama ini pun saya sering bermusafir mencari rezeki dan nafkah untuk keluarga di samping meneruskan dakwah serta kerjaya. Buat masa ini, saya lebih bebas kerana segala spekulasi berhubung masalah ini berakhir dengan jawapan yang mutlak.
“Mungkin ini (perceraian) jalan terbaik untuk kami. Saya harus berterima kasih kepada Astro Oasis kerana memberi ruang masa ketika proses penghakiman itu dijalankan. Masalah yang berlaku adalah perihal peribadi dan bukan jenayah.
“Jika selama ini saya memohon setangkai bunga, tetapi Tuhan bagi pohon berduri. Saya minta rama-rama, Tuhan berikan ulat berbulu. Sebagai hamba-Nya saya sering mengadu. Tak semestinya apa yang kita minta, kita akan dapat. Di sebalik itu, inilah hakikat dan tersembunyi hikmahnya,” katanya yang segak berbaju Melayu ketika rakaman itu diadakan di studio 9, Wisma Ali Bawal.
Kini tiga orang anaknya Siti Nur Maisarah, 12, Mohd Syarif Idayatullah, 11 dan Mohd Syakir Idayatullah, 8 di bawah penjagaan ikon Astro Oasis itu biarpun mahkamah sudah menetapkan hak terbabit kepada bekas isterinya. Ketika ini cuma anak paling kecil, Mohd Syatiri Idayatullah, 2 tahun dijaga Maizawati.
“Anak-anak saya sudah tinggal bersama saya dan bersekolah di Kuala Lumpur. Ketika saya bekerja, abang sulung dan kakak ipar menjaga mereka. Anak-anak lebih kenal siapa bapa dan ibu mereka. Anak-anak aset saya,” katanya ringkas.
Menurut Akhil Hayy, apa yang terjadi tiada kena-mengena dengan orang ketig,a tetapi ia adalah sisi perjalanan kehidupan yang disimpan selama 13 tahun bergelar suami kepada Maizawati. Dalam gelak tawa tutur bicaranya, dia sebenarnya masih kecewa dengan tindakan bekas isterinya.
Sambil berseloroh, Akhil berkata, kalau ada masalah rumah tangga sekalipun, tidak perlulah sampai mengadu ke stesen TV.
“Saya lebih kenal siapa dia (bekas isteri). Seorang isteri yang baik tidak akan membuka aib suaminya. Hingga sekarang saya kesal dengan kenyataan yang pernah keluar dari mulutnya. Sekarang ini ialah masa untuk bermuhasabah diri tapi sudah hak dia, itu mulut dia.
“Paling penting, kami berpisah secara baik dan redakan keadaan ini dengan sewajarnya. Walaupun saya tahu ramai yang membuat spekulasi dan andaian ia berpunca daripada orang ketiga sedangkan ia adalah masalah peribadi yang tidak dapat dibendung lagi,” katanya yang genap usia 40 tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Akhil Hayy akan meneruskan pembikinan album terbarunya yang terbantut seketika kerana masalah rumah tangga yang dialaminya. Pada masa yang sama, program Cafe Akhil Hayy juga sedang dalam peringkat perbincangan dengan Astro Oasis sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment