SELURUH dunia seakan-akan tersentak dan sebak apabila berita kematian penghibur tersohor dunia yang mendapat jolokan Raja Pop, Michael Jackson, tersebar luas melalui media antarabangsa kelmarin.
SELURUH dunia seakan-akan tersentak dan sebak apabila berita kematian penghibur tersohor dunia yang mendapat jolokan Raja Pop, Michael Jackson, tersebar luas melalui media antarabangsa kelmarin.
Penyanyi popular yang menghimpunkan jutaan peminat di lokasi persembahannya ini berusia 50 tahun dan masih banyak agenda karier seninya.
Menerusi sumber berita terawal di laman web TMZ.com, Michael dilaporkan meninggal dunia jam 5.20 petang waktu tempatan.
Berita mengejut yang pasti menghayun perasaan sedih dan hiba bagi peminat penyanyi yang penuh dengan kontroversi ini juga disahkan melalui saluran berita The Associated Press (AP) yang turut melaporkan, kematiannya disebabkan jantung terhenti secara mengejut (cardiac arrest). Meskipun begitu, punca sebenar kematian masih dalam siasatan.
Kronologi awalnya bermula apabila pihak paramedik Jabatan Bomba Los Angeles menerima panggilan kecemasan pada jam 12.30 tengah hari dan ketika itu Michael dikatakan mengalami masalah pernafasan.
Namun setelah diberi rawatan kecemasan (CPR) selama 40 minit, Michael dikejarkan ke hospital Pusat Perubatan UCLA di Los Angeles dan segala usaha bagi menyelamatkannya bertemu jalan buntu apabila Michael disahkan meninggal dunia.
Menurut wakil dari hospital yang memberitahu media antarabangsa, pihaknya mengumpul beberapa doktor berpengalaman, termasuk pakar bedah dan jantung, bagi menyambut Michael sebelum berusaha lebih sejam untuk menyelamatkannya.
Abang kepada penyanyi yang pernah menggegarkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sekitar 1996 bersempena konsert jelajah Asianya ini, Jermaine, berkata Michael terpaksa dibawa ke hospital dari rumah sewa di Holmby Hills selepas tidak sedarkan diri.
Gelaran penghibur nombor satu dan kesayangan dunia benar-benar terbukti dengan kehadiran ratusan peminat di sekitar hospital sebaik berita mengenainya mula tersebar.
Malah, ibarat sebuah festival anjuran pengikut fanatiknya apabila sekumpulan pengusaha mula menjual kemeja-T dan cenderahati ‘In Loving Memory of Michael Jackson’ selain alunan melodi nyanyian mula kedengaran hasil siulan mereka yang berhimpun.
“Pihak berkuasa akan menjalankan siasatan dan bedah siasat ke atasnya untuk mengetahui punca kematian sebenar. Meskipun begitu, saya tidak menolak kemungkinan ia disebabkan masalah jantung,” katanya.
Lebih menyedihkan dan menjadi kesalan bagi setiap peminat serta kenalan rapatnya apabila harapan pemegang 13 anugerah Grammy ini untuk mengadakan konsert jelajahnya bermula 13 Julai depan bermula di London hanya tinggal kenangan. Michael dan seluruh pengikut muziknya baru saja meraikan sambutan 25 tahun kelahiran album emasnya, Thriller.
Malah segala persediaan dan persiapan menjelang siri jelajahnya mula dilaksanakan memandangkan ia sebuah projek besar yang menjadualkan 50 lokasi persembahan sepanjang siri.
Bekas isterinya yang juga anak tunggal mendiang Elvis Presley, Lisa Marie, tidak mampu memberi sebarang komen mengenai berita yang menyayat hati ini, sebaliknya dia berasa sungguh sedih dan keliru kerana ia berlaku begitu drastik.
Bagaimanapun, teman rapatnya, Uri Geller, memberitahu Press Association, dia percaya antara faktor yang membawa kepada kematian Michael adalah tekanan dialaminya, lebih-lebih lagi menjelang konsertnya di London bulan depan.
“Dia sangat penat dan risau akan persediaan konsertnya dan saya percaya itu penyebab utama yang membunuh penyanyi kesayangan dunia ini.
“Meskipun begitu, saya menghargai atas apa jua usahanya terhadap kemunculan yang bakal dilakukan khas buat semua peminat yang sentiasa menyokong,” katanya.
Michael atau nama sebenarnya, Michael Joseph Jackson dilahirkan pada 29 Ogos 1958 di Gary, Indiana, Amerika Syarikat. Mengimbas pembabitan awalnya sebagai penggiat seni, dia menubuhkan kumpulan Jackson 5 pada 1964 yang juga dianggotai oleh abangnya — Marlon, Tito, Jackie, Jermaine dan adiknya, Randy.
Selepas melahirkan lapan album bersama Jackson 5 bermula Diana Ross Presents The Jackson 5 pada 1969, beliau mula mengorak langkahnya sendiri dengan tampil secara solo pada 1972 bersama karya sulungnya, Got To Be There.
Kemudian Michael muncul dengan Ben, Music & Me (1973) diikuti Forever Michael (1975) dan Off The Wall (1979) sebelum tampil dengan sebuah album yang melonjakkan namanya ke seluruh pelusuk dunia menerusi Thriller pada 1982.
Album yang mencatat sejarah dengan jualan lebih 50 juta unit di seluruh dunia ini turut menampilkan lagu hit seperti Beat It dan Billie Jean. Malah, lagu dendangan Michael turut tersenarai di tangga teratas carta lagu seluruh dunia.
Pengaruh muziknya tidak terhenti di situ apabila Michael tampil dengan album Bad pada 1987 diikuti Dangerous (1991) dan Invincible lapan tahun lalu. Setiap albumnya menampilkan identiti dan personaliti sebenarnya. Tidak hairan mengapa pendengar muziknya begitu rapat dan dekat dengan suaranya yang dianggap istimewa itu.
Justeru, sebagai tanda memperingati dan penghormatan kepada permata industri muzik Barat ini, kebanyakan stesen TV dan radio memutarkan lagu dendangannya selain muzik videonya.
Bagaimanapun, di sebalik senyuman dan kejayaan dikecapinya, penyanyi yang dianggap legenda oleh semua penggiat seni antarabangsa ini digelangi seribu masalah dan kontroversi.
Selain masalah rumah tangganya dengan Marie, Michael pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memalukan apabila dia dikaitkan dengan isu pencabulan kanak-kanak, Chandler, 13, pada 1993.
Bagaimanapun, Michael mengambil langkah penyelesaian secara peribadi dengan keluarga remaja itu. Pada 2003, Michael sekali lagi menghadapi tuduhan sama dengan remaja lain tetapi dia dibebaskan atas ketiadaan bukti sahih.
Kontroversi membabitkan penghibur yang pernah memperkenalkan geraknya yang tersendiri, ‘moonwalk’ ke seluruh dunia ini juga berkaitan isu kewangannya yang dikatakan tidak stabil dan kritikal.
Malah, Michael dikatakan pernah berhutang sehingga terpaksa menggadai mahligai fantasinya, Neverland selain gagal melunaskan hutang rumahnya yang terletak di Los Angeles.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, Michael disaman oleh anak kepada Raja Bahrain, Sheikh Abdulla Hamad Al Khalifa sebanyak AS$7 juta berkaitan isu perjanjian penerbitan buku dan album baru.
Kehilangan Michael pasti meninggalkan impak yang sangat kuat kepada industri hiburan baik tempatan mahupun di persada antarabangsa kerana bakat serta pencapaiannya bukan calang-calang.
Peminatnya di seluruh dunia, sahabat handai, kaum keluarga serta kebanyakan penggiat seni meratapi pemergian mengejutnya.
Michael meninggalkan tiga anak iaitu Michael Joseph Jackson Junior, Paris Michael Katherine Jackson dan Prince ‘Blanket’ Michael Jackson II.
No comments:
Post a Comment