WAN SEMUN ITULAH MENTALITI ORANG SARAWAK: Berikut adalah ulasan mengenai tulisan Abang Madzan di dalam ruangan pendapat ini. Yang baik-baik hanya Barisan Nasional (BN) sahaja, manakala yang onar nampaknya parti pembangkang, menurut kata beliau. Kenapa tidak mahu ulas tentang kehidupan Yang Berhormat-Yang Berhormat (YB) Sarawak yang kaya raya, hasil daripada perkongsian perladangan kelapa sawit dan monopoli projek-projek pembangunan kerajaan? Sebagai Orang Sarawak tak kan tak tahu bagaimana mereka yang berkuasa di Sarawak mengumpul harta kekayaan ini? Rakyat Sarawak sememangnya tidak mahu membuat sesuatu yang tidak menyenangkan semasa dalam pilihan raya. Tetapi ini bukan bererti mereka tidak mahu berjuang menentang kemungkaran. Apabila rakyat memiilih untuk menentang demi kesejahteraan dan keadilan hidup, maka akan ada usaha untuk membeli ketua-ketua kumpulan masyarakat ini. Tidak menghairankan bahawa sesetengah daripada mereka mahu dibeli. Bagaimanapun, ada juga pemimpin pertubuhan yang sanggup membela hak dan suara rakyat demi kesejahteraan kehidupan di negeri Sarawak. Pendekatan memperbodoh-bodohkan dan menakut-nakutkan pengundi-pengundi Sarawak merupakan kekuatan sebenar BN Sarawak. Kalau ada rakyat nak lawan, akan muncul segala macam ugutan seperti penarikan balik kemudahan / bantuan, menyekat projek pembangunan dan kadang-kadang kerahan Polis digunakan. Sesungguhnya rakyat Sarawak takut benar dengan kuasa Polis ini. Maklumlah mereka sengaja dibiarkan agar terus buta undang-undang. Bila rakyat jelata pula dibutakan undang-undang, maka senanglah mereka yang memerintah mengeksploitasi hak dan pemikiran mereka. Tidak payahlah nak memuji-muji Sarawak. Daripada meminta cara-cara penyokong-penyokong Sarawak dalam pilihan raya dicontohi oleh pengundi di Semenanjung, adalah lebih baik meminta pemimpin-pemimpin Sarawak dilantik ke jawatan Timbalan Perdana ataupun terus Perdana Menteri. Sekiranya tulisan saudara ini tepat tafsirannya, nampak sangat politik Sarawak mampu dijadikan contoh. Oleh itu, rakyat Sarawak juga berhak menerima jawatan yang setimpal dengan sumbangan yang mereka berikan. Ada pandangan mengatakan bahawa Ahli-Ahli Parlimen Sarawak dianggap malas dan kurang bersuara di Dewan Rakyat, maka sebab itulah kebolehan untuk memimpin negara tidak beberapa nampak. YB Wan Junaidi (Timbalan Speaker Dewan Rakyat) pun malu-malu untuk menegur sikap YB Sarawak. Kesimpulannya, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Orang pendiam dan tidak pernah marah, kalau mereka (sudah) marah akan lebih teruk dan dahsyat daripada golongan yang suka-suka marah. Itulah Orang Sarawak! |
Monday, July 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment