Friday, September 25, 2009

Di petik dari sumber

Minda Pengarang: Ambil tindakan tegas terhadap individu


 

PENYIARAN dan penyebaran Kertas Kabinet mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dalam satu laman web amat membimbangkan kerana dokumen 18 muka surat itu diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA). Bagaimana dokumen bertarikh 22 Jun 2007 atas rujukan KK/BPKA/D5 (Y)540/1/1 dikatakan sebagai Memorandum Daripada Menteri Kewangan berhubung PKFZ boleh disebarkan tanpa rasa takut oleh pihak berkenaan termasuk pemilik web berkenaan. Justeru, siasatan polis pastinya menjurus kepada siapa yang mengeluarkan dokumen sulit kerajaan itu daripada failnya selain mereka yang menyiar dan menyebarkannya. Niat mereka yang terbabit membocor, menyiar dan menyebarkan dokumen ini juga mesti diperhalusi sedalam-dalamnya. Siapa dalang di belakang mereka? Apakah habuan yang mereka dapat? Semua pihak terbabit mesti dikenakan tindakan tegas dan keras. Ini sebagai membuktikan kerajaan serius menangani ketidakjujuran kakitangan atau pegawai perkhidmatan awam ataupun individu yang sanggup membocorkan maklumat rahsia kerajaan atas pelbagai dorongan serta kepentingan. Jentera perkhidmatan awam yang terikat dengan ikrar menyimpan rahsia sepatutnya bersikap ‘biar pecah di perut asalkan jangan pecah di mulut’. Pepatah ini turut membawa maksud, menyimpan rahsia kerajaan adalah keutamaan yang perlu dijunjung sepanjang masa oleh setiap anggota perkhidmatan awam termasuk apabila bersara. Jika dokumen sulit kerajaan seperti itu boleh tersebar mudah, dibimbangi pihak tidak bertanggungjawab ini juga sanggup menjual rahsia sulit kerajaan yang lain. Jadi, perkara ini tidak wajar dianggap remeh dan mudah. Tindakan paling tegas perlu diambil terhadap individu atau mereka yang membocorkan rahsia kerajaan itu termasuk pemilik laman web itu.


Pada masa sama, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) di Jabatan Perdana Menteri, perlu peka dengan kes dokumen kerajaan yang keluar daripada fail simpanan dalam bentuk asli atau salinan. Sama ada berstatus rasmi, rasmi separuh sulit, sulit dan sulit profil tinggi, dokumen itu perlu ada satu sistem penjagaan serta kawalan yang lebih baik daripada sekarang. Nilai sesuatu dokumen rasmi kerajaan sangat mahal. Andai dokumen itu berkaitan sesuatu pelan induk, bersifat strategik, berkaitan keselamatan negara dan pertahanan tanah air maka harganya tidak ternilai. Dokumen rasmi kerajaan dalam pada pun statusnya adalah nyawa, harta dan khazanah negara yang perlu dilindungi sebaik mungkin daripada musnah, hilang atau jatuh ke tangan orang lain. Dari satu sudut lain, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga mesti menyediakan kod warna (color code) sama ada merah, kuning atau hijau bagi melabelkan laman web dan blogger di negara ini. Mana-mana yang dianggap ‘panas’ perlu dilabelkan dengan kod warna merah sekali gus dipantau lebih kerap sepanjang masa bagi mengesan tindakan berbahaya mereka termasuk menyiarkan dokumen sulit kerajaan. Pemantauan yang lebih ketat terhadap media itu untuk memastikan warga negara ini individu bertanggungjawab, cinta dan setia pada negara bukan untuk mengongkong kebebasannya.

No comments: