Tuesday, October 8, 2013





Ustaz Azizan makan mee segera dengan anak buah ...

 MYT by paktam
Artikel
Oleh HELMI KHALIDBAHAGIAN KETIGA

USTAZ Azizan Razak, sejak mula menerajui pentadbiran Kerajaan Kedah sering melaungkan bahawa antara dasarnya adalah untuk berbelanja cara berhemah. Memandangkan pagar rumahnya agak tidak bersesuaian dari aspek keselamatan, pihak kerajaan mencadangkan pagar itu diganti dan kosnya ditanggung kerajaan.



Ustaz mula membezakan dirinya dengan pemimpin terdahulu apabila dia bersetuju pagar rumahnya dibaik pulih dengan syarat, dia membayar sendiri kos pembinaannya.
Memandangkan agak kerap perlu menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur, Ustaz mahukan sebuah rumah disewa di sana, bagi mengelak perbelanjaan menyewa hotel.
"Tak boleh jadi dah ni, hang kira tengok, sekali pi KL nak kena sewa hotel kat aku sebilik, kat pegawai, 'bodyguard', dreba, mujoq la hampa ni jenis mau syer bilik, kalau nak melenggak seorang sebilik, jenuh la.
"Tu kalau pi sehari saja ribu jugak tu, kalau pi dua tiga hari dah jadi berapa ribu, hampa cari rumah sewa, kita pi dok sekali semua, kalau Exco ada kerja di KL depa pun boleh guna rumah tu, kita pakat tidoq lapik tikaq begelempang ataih lantai," demikian leter, cadangan dan arahan Ustaz.
Maka dicadangkan sebuah apartmen dengan kadar sewa RM3,500 sebulan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Komen Ustaz, "Baguih dah tu, dah tak gaduh bayaq hotel, dah jimat berapa kali ganda dah tu, dok tang tu dekat kalau aku nak pi pejabat Harokah, nak makan pun dekat kita pi Restoran Haslam, Pejabat Agung pun dekat...(sambil tersenyum), sebelah IJN ka? ... elok la, aku sakit tengah-tengah malam hampa usung pi sebelah tu saja."
Kali kedua ke Kuala Lumpur sebagai Menteri Besar, rumah itu mula diduduki.
Kami sampai lebih kurang jam 11 malam. Ustaz melangkah masuk, sambil memberi salam, Ustaz mendoakan sesuatu.
Ustaz jenguk bahagian dapur, kemudian memegang bucu sofa di ruang tamu kemudian masuk ke bilik tidur utama.
Tak sampai dua minit rasanya, Ustaz kembali ke ruang tamu. Masuk tadi dengan seluar slack dan kemeja 'Omlando', keluar sambil gulung kain pelikat berbaju pagoda putih.
"Kita pakat dok sini la, kalau Menteri Besaq dulu depa suka dok hotel, Menteri Besaq PAS ni orang kampung, jadi lah dok rumah sewa.
"Shahril (Koperal Sharil Rizal, pengawal peribadi Ustaz) mana bungkuih plastik tadi? Hampa bawa naik ka dak? Lapaq ni, mai kita makan," Ustaz bersuara.
Empat jam perjalanan dari Alor Setar tanpa henti ke Kuala Lumpur, memang terasa lapar, tiba-tiba dengar Ustaz kata 'mai kita makan', memang melegakan.
Tadi Ustaz ajak makan, tengok gaya macam Ustaz nak 'landing' atas sofa, saya dan rakan yang lain masing-masing diam.
Dah 'landing', Ustaz bagi arahan: "Lekaih Shahril, hang masak bagi sedap, cabai melaka tu hang boh banyak biji sikit."
Rupanya Ustaz suruh Shahril masak mi segera, bila dah hidang, Ustaz panggil kami semua makan.
"Ni kalau orang tengok kita makan, mampoih orang tak kata makan dengan Menteri Besaq, nak lena dah sat lagi, esok kita kira lain," kata Ustaz lagi.
Ada ketikanya, jika sebelum ke Kuala Lumpur Ustaz menghadiri majlis kenduri, jika tuan kenduri itu mengirim makanan, maka lauk kenduri itulah menjadi juadah kami untuk malam tersebut atau sarapan pagi esok harinya.

Selain itu, selama lima tahun sebagai MB juga, tidak lebih daripada 10 kali Ustaz menaiki kapal terbang (penerbangan tempatan  itu pun kerana terpaksa bergegas masa dari Kuala Lumpur ke Langkawi) dan hanya empat kali ke luar negara atas urusan kerja.

"Kita naik kereta lagi cepat, murah, pukul berapa nak bertolak tak dak sapa kacau, malam pun malamlah, sampai macam tu jugak," ayat lazim Ustaz kalau kita cadangkan dia naik pesawat terutama untuk ke Kuala Lumpur.
Ustaz cukup cerewet dalam berbelanja. Jika melibatkan wang kerajaan, memang dia akan soal satu persatu tentang mengenai kewajaran sesuatu harga.
Bayangkan untuk menu bihun sup sempena majlis Rumah Terbuka MB pun dia akan persoal secara terperinci.
"Takkan bihun sup semangkuk sampai RM3.50? Awat dia sembelih lembu berapa ekoq? Bihun berapa puluh kilo? Daun sup, daun bawang berapa relung dia nak kena beli?
"Kata la lobak masin mahai, awat lobak masin sekilo berapa ringgit, dia cincang lumat peroi (tabur) kot ataih kuah sup, sekilo beratus pinggan boleh cukup.
"Bab harga ni jangan dok nak main dengan aku, nak menega bukan di rumah MB, ni aku nak jamu rakyat," ulas Ustaz panjang lebar, disusuli dengan anggaran harga lembu, daun sup, daun bawang dan lobak masin tadi dan siap dengan petua masak sup supaya sedap.
Itulah antara ragam Ustaz. Dia tidak mahu tindakannya menjadi pertikaian, tidak mahu membazir dan mahu kita benar-benar 'hadam' dengan apa sahaja perkara yang mahu kita bincang dengannya.
Berlaku di Langkawi, ketika Ustaz hadir ke satu majlis dan pihak penganjur (bukan Kerajaan Negeri) menyediakan bilik di sebuah hotel agak "berbintang-bintang".
Sejak dari Alor Setar lagi, Ustaz kerap bertanya: "Aku dengaq depa ni nak bagi tidoq di hotel mana tak tau, awat tak duduk hotel biasa kita dok tu?"
Di Langkawi, rombongan kami memang tidak dibawa ke hotel yang biasa Ustaz menginap, sebaik sahaja melepasi simpang ke hotel itu, Ustaz telefon saya.
"Awat tak kona pi hotel tadi, ni hampa nak bawak aku pi mana?" Nada Ustaz marah.
Apabila sampai di hotel yang disediakan penganjur, Ustaz terus dibawa ke bilik. Sebaik pekerja hotel keluar dari bilik, Ustaz terus tanya saya, "ni berapa harga bilik ni?"
Kalau jawab yang betul, mesti teruk kena marah. Jadi saya pilih lebih baik kena marah daripada teruk kena marah.
Belum sempat jawab, Ustaz selak tirai tingkap sambil berleter lagi,"awat nak tunjuk laut kat aku? Aku ni anak laut, besaq pun dalam laut hang habaq kat depa sat."
"Bilik ni mahai dari hotel yang biasa Ustaz duduk tu," jawab saya.
"Ha, elok, duit ada sikit nak berlagak, jimat tak mau langsung, jom aku tak mau dok sini, mahai. Aku tak mau, jom pi hotel di Kuah tu," tegas Ustaz sambil menelefon pada penganjur dan marah dengan tindakan menyewa hotel mewah tersebut.
Sudah menjadi kelaziman, selepas apa juga situasi, sama ada marah, suka, puas hati atau inginkan suatu keputusan, Ustaz akan sebut semula mengenai perkara tersebut apabila dia kembali tenang.
Waktu tenang, ayat-ayat Al-Quran, hadis, sirah akan diselitkan dalam perbualannya. Ustaz jarang bercakap kosong dan sentiasa mengajar secara tidak langsung.
Kerap juga apabila dipanggil masuk ke pejabatnya, atau ketika berada di Kuala Lumpur, dia akan meluahkan perasaannya melibatkan beberapa perkara yang berlaku.
Beberapa krisis yang melanda Kedah, dilalui Ustaz dengan cara beliau sendiri. Antara ayat-ayat Ustaz dalam beberapa krisis yang terpaksa dilaluinya sebagai Pesuruhjaya dan MB.
"Kadang-kadang aku tak percaya apa yang aku dengar dan apa yang jadi, aku percaya sungguh-sungguh kat dia, bukan aku kata aku ni baik, hebat, tapi kita buat kerja nak bagi lebih kuat ... aku nak tanya, hang pernah dengaq ka aku sebut nama orang lain selain dia nak jadi Menteri Besaq kalau kita ada rezeki menang lagi?"
Dan apabila Ustaz bertanyakan tentang isu yang bangkit di kawasan-kawasan, dalam akhbar mahu pun laman sosial, selalunya saya tidak memberitahu semuanya, kerana tidak mahu hal yang tidak sepatutnya Ustaz fikir, kita bebankan fikirannya.
Pun begitu, lazimnya, Ustaz sudah tahu apa yang diperkatakan di luar padanya, dan Ustaz boleh sebut nama, pihak-pihak yang mempertikaikan dirinya.
Sekalipun dihentam teruk di muktamar, dalam laman sosial mahu pun cakap-cakap di luar, setelah meluahkan rasa terkilannya, dalam nada yang perlahan sering Ustaz ucapkan: "Kalau silap, mai lah tegur aku, kita ada saluran ....tak pa lah hat tu, yang aku sedih tu, hat depa dok kata tu tak betoi, aku pun tak kenai depa pun, jumpa pun tak pernah, macam mana depa lebih tau pasai diri aku, ada hat depa kata tu aku tak tau apa pun.
"Orang panggil aku ni Ustaz, memanglah ... aku pun tau ilmu aku tak seberapa, mungkin depa lebih tinggi mengaji daripada aku, depa tak mau hormat aku sebagai Pesuruhjaya tak pa, tak mau hormat aku ni sebagai MB pun tak pa, tapi hormatlah aku sebagai orang tua."
"Nak berapa hari sangat lagi aku nak hidup, kawan-kawan maahad (Maahad Mahmud, Alor Setar) pun tinggai 12 orang saja lagi, hat sebaya dengan aku dalam PAS Pusat pun dah tak ramai."
"Yang sebelum PAS menang tu lama jugak, tahun 1990 kita menang di Kelantan, ulang alik aku dengan kawan-kawan atas arahan PAS Pusat untuk tengok Kelantan.
Dan selama lima tahun bertugas dengan Ustaz, saya tidak pernah dengar perkataan "aku sakit sungguh-sungguh malam ni."
Perkataan itu keluar dari mulut Ustaz kira-kira jam 1.30 pagi (6 Mei 2013) ketika saya menjengah Ustaz di Pejabat PAS Kawasan Jerai sebaik keluar dari Kompleks PAS Kedah, malam jatuhnya Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah.
Antara yang disebut ketika Ustaz terbaring sambil memegang ibu jari kaki kanannya, "hang nak kerja apa Mie lepas ni?"
Esok siangnya (6 Mei), saya teman Ustaz jalani hemodalisis di Kedah Medical Centre (KMC), banyak yang dipesan.
Antaranya Ustaz sebut, "tahun 1995 Ustaz Fadzil (Nor) minta aku bertanding, balik aku menang di Sala, sampai lani, aku yang paling lama dalam Dun Kedah lani, perkemas Pejabat Perhubungan Kedah, 1999 kita menang ada Ustaz Fadzil, 2002 Ustaz Fadzil tak dak (kembali ke rahmatullah), 2004 tinggai lima kerusi saja PAS Kedah, 2008 kita jadi Kerajaan, 2013 kita kalah, kalau Allah Taala ambik nyawa aku ...."

No comments: