Sunday, June 13, 2010








RADHI MAT DIN TAMPIL DI PENTAS PAS

PAS kini menampilkan bintang bola sepak negara Radhi Mat Din sebagai 'ikon' kempen menentang pemberian judi sukan di negara ini.

Dalam ceramah perdana sempena muktamar PAS ke-56 malam tadi, Radhi diminta merasmikan Gerakan Rakyat Mansuhkan Judi (GMJ) - gabungan NGO dan pembangkang khusus khusus untuk menggagalkan usaha kerajaan itu.
Tampil dalam gaya kasual - berseluar trak dan berkemeja-T di hadapan kira-kira 3,000 penyokong pembangkang - Radhi mengimbau kembali bagaimana 'runtuhnya' kegemilangan bola sepak di zamannya lebih 10 tahun lalu akibat perjudian haram dan rasuah.
Menceritakan pengalaman peribadinya, Radhi berkata, ketika mengetuai pasukan Kedah pada tahun 1996 berlaku "peristiwa malang" apabila seramai 136 orang telah dituduh terlibat dalam rasuah yang diakibatkan oleh aktiviti pertaruhan haram.
"(Permainan) bola ini tiada kaitan langsung dengan judi. Malangnya sekarang sukan bola sudah dipalitkan dengan judi yang haram di sisi semua agama di dunia ini. Ini umpama lain yang sakit, lain pula yang diubatnya. 
"Kerajaan seharusnya mengetatkan penguatkuasaan terhadap judi haram bukannya bertindak menjadikan judi sebagai halal setelah tidak mampu membenterasnya," katanya yang kini berkhidmat sebagai jurulatih pasukan Kedah.
Radhi, anak kelahiran Kedah merupakan kapten paling lama dalam skuad hijau-kuning. Pemain tengah itu pernah mewakili negara dan menempa populariti dalam liga semi pro negara sekitar 90-an.
Penampilannya malam ini dilihat bagi menarik sokongan peminat bola sepak tempatan yang merindui aksi-aksi menarik sekitar zaman bola sepak tempatan yang mendapat perhatian besar ketika itu.
Ajak Dr M, Pak Lah berdemoBerkongsi pentas bersama Mursyudul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Radhi menyuarakan kebimbanganya terhadap kemerosotan mutu bola sepak negara secara lebih serius.
"Yang menjadi pertimbangan utama kepada penontong selepas ini bukan kualiti permainan tetapi untung atau rugi, kaya atau miskin, dapat duit atau tidak," katanya.
Dalam ceramah di Pusat Tarbiyyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Radhi membuat 'pendedahan' yang mengejutkan sebahagian penyokong yang hadir.
"Sebenarnya judi sukan bola sepak ini boleh dipecahkan kepada perbagai pertaruhan. 
"Antaranya pertaruhan menentukan pasukan bertanding, minit jaringan pertama, penjaring gol pertama, pemain terbaik, pasukan yang menang, pasukan yang kalah dan macam-macam lagi," katanya.

Katanya, jika usaha bagi meluluskan pemberian lesen judi tidak dihalang, apa bakal ditonton bukanlah permainan bola sepak sebenar tetapi hanyalah "lakonan permainan bola", katanya.
Radhi juga menyeru dua bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdulah Ahmad Badawi supaya turut serta dalam perhimpunan di Istana Negara pada 3 Julai depan bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Saya berjanji akan menarik lebih ramai lagi rakan-rakan saya yang pernah terlibat dengan bola sepak untuk sama-sama menyokong Gerakan Rakyat Membantah Judi ini. 
"Ini penting bagi mempastikan judi bola ini akan dimansuhkan oleh pihak kerajaan," tambahnya.





BERJAYA KATA : KAMI ADA LESEN PERJUDIAN SUKAN
Dalam kenyataannya yang paling tegas setakat ini, syarikat Berjaya Corporation mengesahkan ia mempunyai surat rasmi Kementerian Kewangan meluluskan lesen judi sukan, sekali gus menafikan pengumuman Perdana Menteri Najib Razak kononnya lesen itu belum diluluskan.

Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen, awal minggu lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan mendakwa kerajaan masih mendapatkan maklum balas daripada orang ramai sebelum membuat keputusan muktamad mengenai pemberian lesen judi terbaru itu.

Berjaya sebelum ini mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan telah meluluskan lesen berkenaan untuk Ascot Sports Sdn Bhd, yang dikuasai oleh Vincent Tan, pemegang saham terbesar Berjaya Corporation.

Pengesahan itu mencetuskan bantahan di seluruh negara dengan masyarakat Islam dan bukan Islam menolak pengeluaran lesen perjudian yang membawa pelbagai implikasi jenayah dan masalah sosial.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah selain Kelantan turut mengharamkan Berjaya daripada mengendalikan operasi judi sukan di kawasan masing-masing.

Susulan kebangkitan rakyat itu, Perdana Menteri membuat kenyataan di Parlimen bahawa kerajaan kononnya tidak pernah meluluskan pemberian lesen judi sukan itu dan hanya ingin mendapatkan maklum balas daripada orang ramai.

Namun dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, Berjaya Corporation menegaskan ia mempunyai pengesahan rasmi dari Kementerian Kewangan meluluskan lesen perjudian itu kepada ASCOT.

Susulan itu, Vincent Tan bertindak untuk menjual syarikat itu kepada Berjaya Corporation pada harga RM525 juta.

“Kami ingin menegaskan bahawa…Menteri Kewangan (Najib) telah memberi kelulusan untuk memulihkan semua pemberian lessen perjudian sukan kepada Ascot tertakluk kepada syarat tertentu,” tambah kenyataan itu.

“Jelas Ascot mempunyai kelulusan daripada Menteri Kewangan,” tambah kenyataan itu.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom secara mengejut membatalkan sidang akhbar yang bertujuan menjelaskan kemelut mengenai pemberian lessen judi itu.

Pembatalan itu mencetuskan spekulasi bahawa Najib telah mengarahkan semua anggota Jemaah Menterinya untuk berdiam diri bersabit kontrovesi berkenaan.


No comments: