Monday, January 24, 2011


Mangsa Banjir Kecewa Kerana Tertipu
Dikirim pada Monday, January 24 @ 21:43:24 MYT oleh al_madd

ALOR SETAR – Lebih 50 mangsa banjir dari Taman Lumba Kuda, Taman Malaysia dan Taman Golf menyerbu Pusat Khidmat DUN Bakar Bata, YB Dato’ Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah ekoran

terdapat maklumat menyatakan mangsa banjir boleh menuntut wang bantuan yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan di pejabat itu.

Memetik laporan yang disiarkan oleh akhbar Sinar Harian, penantian mereka seawal jam 8.30 pagi bagi mengambil cek hampa apabila petugas Pusat Khidmat Bakar Bata memaklumkan kononnya berita itu adalah tidak benar dan tiada sebarang bantuan disampaikan pada hari ini.

Penjelasan itu tidak memuaskan hati mereka, maka tercetuslah kekecohan, di mana pertikaman lidah berlaku antara mangsa banjir dengan petugas Pusat Khidmat DUN Bakar Bata, masing-masing dengan alasan tersendiri.

Kira-kira dua jam berlakunya perselisihan itu, mangsa banjir akhirnya mengambil keputusan untuk merujuk perkara tersebut di pejabat MCA yang menerima borang pendaftaran terbabit.

Seorang mangsa banjir, Liza Hassan, 40, berkata, beliau tidak menolak kemungkinan wujud salah faham dalam hal ini kerana mereka belum menerima surat pemberitahuan bila wang itu akan diberikan.

“Rakan-rakan kata ambil duit itu di pejabat ini, jadi saya datang lah. Bila sampai di sini, petugas di sini maklumkan apa yang saya dengar itu tidak betul,” katanya.

Menurutnya, borang pendaftaran mangsa banjir telah diisi dan diserahkan melalui wakil MCA, dan namanya turut tersenarai sebagai penerima, namun agak keliru apabila sebahagian rakannya pula tercicir ekoran kegagalan mendapat pengesahan di borang.

“Ada juga mangsa banjir yang keciciran sebab mereka tidak dapat cop pengesahan pada borang pendaftaran. Bila ditanya nak cop di mana, mereka suruh minta di pejabat UMNO Alor Setar,” katanya.

Tan Peck Chong, 50, berkata, lebih 100 slip pendaftaran mangsa banjir tidak disahkan walaupun tarikh akhir untuk berbuat demikian adalah 6 Januari lalu.

“Sejak November lepas, asyik ulang alik ke sana ke mari. Kami diperlakukan seperti bola. Ada slip yang masih tidak dicop, bila kita tanya kenapa, mereka kata kena ambil di pejabat UMNO, tapi kami serah borang pada wakil MCA. Kami keliru sebab Majlis Keselamatan Negara (MKN) kata bayaran akan dibuat sebelum 15 Januari, ada pula kata 29 Januari,” katanya.

No comments: