Saturday, July 23, 2011


Cetak  

Kau menang kerana kami patuh kepada janji untuk berhimpun secara aman!

Tan Sek Choong 

 
... Pada ketika ini, seorang pemuda Melayu yang kurus, berbaju belang hitam-kuning, memakai cermin mata, dengan beg merah, dan bekas air berwarna kuning - melangkah ke depan dengan perlahan-lahan.  Beliau duduk pada jarak lima meter di depan FRU.  Beliau mengangkat tangannya yang sedang menggenggam.   Beliau duduk senyap di situ.  Genggaman itu bukan untuk protes.  Saya yang berada di belakangnya nampak dengan jelas, posisinya itu membawa makna bahawa beliau sedang menunggu polis untuk menggarinya.

Beliau memilih untuk tidak menentang ketika berdepan dengan kekerasan FRU.  Beliau berseorangan di situ untuk beberapa minit.  Ada orang yang menjerit, "Cepat bawa dia balik, jangan biar dia ditangkap!"  Tiga orang kawan Melayu dengan cepat membimbingnya untuk balik ke kelompok manusia.  Beliau tidak meronta, beliau menurut saja.

Apabila beliau lalu di sisi saya, saya nampak betapa sedih wajahnya.  Saya tidak faham, mengapa wajah seseorang pemuda yang seharusnya bersemangat, sarat dengan kepiluan sedemikian.  Mungkin anda anggap saya menghasut sentimen jika saya berkata sedemikian.  Namun, benar dalam otak saya muncul sekeping gambar yang pernah saya tatapi, gambar seorang rakyat berdiri di depan kereta kebal untuk menghalang kemaraannya di Tianan Men, China, pada tahun 1989.
Tidak hilang kawal
... Walaupun telah diserang beberapa kali dengan gas pemedih mata, namun kelompok manusia tidak hilang kawal.  Saya ternampak beberapa orang pemuda Melayu berlari ke kedai di tepi jalan dan mengetuk pintu besinya dengan kuat.  Tingkahlakunya dibalas dengan ratusan orang yang mengherdiknya, "Jangan, jangan buat kerosakan, cepat tengok siapakah mereka! "

Saya tidak pasti beberapa orang pemuda itu sekadar mahu melepaskan geram, atau dihantar pihak lain untuk sabotaj.  Tapi apa yang saya pasti, anda gagal membuat kecoh dalam kelompok manusia yang begitu tinggi disiplinnya.

Saya ternampak juga ada yang melontarkan satu botol air mineral dari perhentian bas Pudu Raya, menghala ke arah FRU.  Dan ratusan orang yang berada di depan terus menghentikannya.  Seorang pakcik Cina berulang kali menjerit, "Jangan lawan mereka, mereka terima arahan, mereka cuma jalankan tugas saja, kita semua rakyat Malaysia, jangan, jangan lawan."

Tiada bendera yang dibakar, tiada harta awam yang dicerobohi.  Tiada kedai yang dihancurkan, tiada pintu atau tingkap kaca yang dipecahkan.  Apa yang ada hanyalah laungan slogan dan duduk secara aman.  Namun kita dilabel sebagai "perusuh".  Apakah "keganasan" kami?  Saya masih tertanya-tanya sehingga hari ini.

Kerana "aman" itu janji kami

Ratusan anggota polis memasuki kelompok "musuh" yang mempunyai puluhan ribu orang, dan polis pulang dengan tangkapannya yang berjaya.  Apakah kamu rasa kamu ni berani dan tangkas?  Kamu berjaya keluar dari kelompok kami tanpa dicederakan - ini kerana kami memilih untuk tidak berkasar.  Apabila tiga atau empat orang daripada kamu bersama membuli seorang peserta, tahukah kamu bahawa ratusan pasang mata yang sedang memandang, dan ratusan pasang buku lima yang sedang menggenggam di belakang kamu?

Kami tidak berkasar kerana kami patuh kepada janji kami untuk berhimpun secara aman.  Melihat prestasi kamu tempoh hari, semua rakyat tertanya-tanya, mengapa kamu sering terlambat apabila berlaku rompakan atau kes pencurian, dan apabila berdepan dengan rakyat jelata yang tidak bersenjata, kamu seolah-olah menelan pil berwarna biru itu, berkobar-kobar semangat, malah boleh menawan kelompok manusia 10 ribu orang?  Apakah kami ini senang dibuli?

Bukankah tugas FRU adalah untuk menyuraikan orang ramai?  Jadi mengapa pula menyekat jalan di Bukit Bintang apabila peserta perhimpunan diusir ke Jalan Pudu?  Di kawasan berdekatan perhentian bas Pudu Raya, lorong di tepi jalan dipagari tiang besi kira-kira lima kaki tingginya.  FRU melepaskan gas pemedih mata bertubi-tubi.  Peserta mencari perlindungan di Hospital Tung Shin kerana ia adalah satu-satunya jalan keluar yang utama.  Tak malukah wahai Menteri mengecam peserta kerana menggangu hospital?
"Kali pertama bayar cukai"

Saya mengikut orang ramai untuk berehat di kawasan rumpun di depan hospital.  Hujan mula turun.  Mungkin langit juga tidak merestui tindakan mereka, mencurahkan air hujan untuk menjirus bahan kimia yang berada pada tubuh kami.

Seorang gadis yang berada di belakang saya bengkak dan merah matanya.  Sambil mengesat matanya, beliau berkata, "Tahun ini kali pertama saya bayar cukai."  Kawan di sebelahnya pula mempersendakannya, "Jadi kerajaan pun pulangkan kepada kamu sekarang!"

Kami ketawa terbahak-bahak bersama, dan gadis itu mencungkil senyuman pahit.  Menurut khabar, sebutir peluru gas pemedih mata berharga RM300, dan hari ini kerajaan dengan murah hati menghadiahkan kepada rakyatnya.  Puluhan bilion ringgit dibelanjakan untuk pertahanan negara, selain jet yang tidak boleh terbang, kapal selam yang tidak boleh selam - mungkin kami bersyukur dengan gas pemedih mata dan meriam air yang terbukti memadai harganya.

Gas pemedih mata dilepaskan lagi.  Sebutir peluru gas itu jatuh pada tempat yang tidak jauh daripada kami.  Asapnya tersebar ke hospital.  Asap yang berkepul-kepul juga berlegar di kawasan masuk Rumah Bersalin Cina.  Jangan kata kepada saya bahawa tiada gas pemedih mata dilepaskan ke arah hospital, jangan pula kamu kata kamu tidak tahu apa itu "impact zone" gas pemedih.  Yang Berhormat Menteri Kesihatan, jikalau saya melontar sebiji bom tangan pada jarak 1 kaki di depan kamu, jangan pula menyalahkan saya jikalau kamu dibom mati.  Ini kerana bom tangan saya tidak menyentuh anda.  Mungkin anda boleh menyalahkan angin yang meniupkan kuasa bom tangan ini ke arah kamu! (Ketika menafikan penembakan gas pemedih ke dalam perkarangan hospital, Menteri Kesihatan Liow Tiong Lai mendakwa gas pemedih mata mungkin ditiup angin ke dalam kawasan hospital.)

Selepas hujan berhenti, kelompok orang ramai hanya tinggal separuh dari asalnya.  Ramai yang memandang dari dalam bangunan hospital, dan kebanyakannya sudah keletihan.  Beberapa orang pemimpin parti politik cuba berunding dengan polis, dan peserta di belakangnya menjerit "Buka jalan, buka jalan!"

Tidak lama kemudian, orang di depan memberitahu bahawa polis bersetuju untuk membuka jalan kepada peserta.  Namun, apabila peserta berkumpul semula di Jalan Pudu, polis pula mengambil kesempatan untuk melepaskan meriam air.  Peserta menjerit, "Polis tipu, tipu!"  Apa peliknya?  Sedangkan pimpinan tertinggi kerajaan boleh berdolak-dalih, apa pula orang bawahnnya?

Peserta terpaksa bersurai selepas meriam air dilepaskan.  Polis mula menyerbu ke dalam hospital untuk menangkap peserta perhimpunan.  Kenyataan dari kerajaan (hujah Menteri Kesihatan) mendakwa bahawa tiada tangkapan dibuat di dalam hospital, sekadar menghantar peserta yang cedera masuk ke hospital untuk rawatan.

Nampaknya dalam masa sekelip mata, munculnya ramai pakar Photoshop dan Video Editing, dan kesemua video dan gambar menjadi palsu.  Mengapa pula polis menghantar ratusan orang ke dalam rumah bersalin?  Adakah ratusan lelaki dan perempuan itu mahu bersalin?  Mungkin gas itu bukan untuk memberi kesan memedihkan mata, tetapi merangsang untuk bersalin.

Saya terserempak dengan seorang kawan yang tidak saya jumpai untuk 10 tahun kebelakangan, maka saya mengikutnya untuk berlari ke Jalan Robertson.  Terdapat sebuah gereja di hujung jalan itu.  Sekumpulan muslim sedang bersembahyang di depan gereja itu, menghala ke Mekah.  Dua orang pakcik India dalam gereja membuka paip air agar orang yang mencari perlindungan di situ boleh mencuci mukanya.  Apa itu perpaduan kaum?  Apa itu keharmonian agama?  Kawan yang menggagaskan 1Malaysia itu harus turun ke perhimpunan ini untuk lihat sendiri.

Puluhan anggota polis datang dari belakang, pakcik India ini membuka pagar besinya untuk kami lalui.  Kami berjalan ke belakang gereja, melangkaui tembok yang tingginya lima kaki, dan duduk untuk berehat di lorong itu.  Maka tamatlah perhimpunan yang saya sertai ini, untuk diri saya.

Akhirnya saya ingin berkata kepada badut yang mendakwa "apa yang susah sangat terkena sebutir gas pemedih mata".  Benar, mungkin dari kesudahannya, kamu menang dalam perhimpunan ini.  Rakyat gagal sampai ke Stadium Merdeka, memorandum gagal diserah ke Istana Negara, malah peserta disuraikan tanpa belas kasihan.  Tapi jangan lupa, kemenanganmu disebabkan pilihan kami untuk tidak membalas dengan keganasan.

Saya tetap yakin, apabila suara rakyat menjadi tsunami, anda gagal menghalang dengan meriam air yang kuat dan gas pemedih yang memedihkan.  Siapa yang menang dan siapa pula yang kalah kelak, kita tunggu dan tengok!



Lagi catatan seorang peserta Cina:
Saya terpegun melihat polis memukul Melayu

Daniel Low 

Saya masih ingat, semasa zaman sekolah rendah, seorang budak Melayu yang gemuk dan comel menjadi sahabat baik saya.  Bersama kami pergi dan balik dari sekolah, bersama kami bermain guli, buat bising, bersorak.  Pernah sekali dia memberitahu emak saya bahawa saya membeli makanan ringan secara senyap-senyap di sekolah, dan saya dimarah emak saya selepas itu.  Saya sangat marah pada ketika itu, namun akhirnya saya berbaik-baik juga dengannya.

Namun, sepanjang saya membesar, saya disosialisasikan dalam masyarakat Cina di Malaysia.  Ada perkara yang didedahkan kepada saya.  Maka kasih dan sayang saya pada kaum Melayu berbaur dengan rasa benci.  Benci dan ketakutan menyelubungi saya untuk 20 tahun.  Dan pada 9 Julai 2011, kebencian dan syak wasangka saya terhadap orang Melayu yang terpendam dalam hati saya telah di-nyahkan!

Empat hari sebelum perhimpunan, saya mengambil keputusan untuk menyertai perhimpunan ini.  Yang paling membimbangkan saya ialah keluarga dan teman wanita saya.  Saya yakin mereka tidak akan bersetuju dengan saya.  Untuk dua hari saya runsing hal ini.  Akhirnya saya membuat cubaan berani untuk mengajak teman wanita saya pergi bersama.  Saya memberitahu bahawa itu kekuatan yang diletakkan Tuhan dalam hati saya.  Saya harus berbuat demikian.  Anggaplah kami pergi dating sambil berarak.  Saya telah bersedia untuk dihujani teguran atau nasihatnya.

Dia tanya kepada saya, betul nak pergi?  Saya jawab, "Betul..."  Dan dia bersetuju dengan saya!  Pada saat-saat itu saya terperanjat, menatapnya dengan mata yang terbeliak.  Kemudian ketakutan mula menular dalam hati saya.  Kerana, betul kami nak pergi ni....

Kami adalah penganut kristian.  Kami berdoa sebelum bertolak.  Semestinya kami rasa gelisah dan takut.  Pernahkah kami goyah?  Ya, malah sepanjang perjalanan dari Rawang ke Kuala Lumpur dalam komuter, kami masih tertanya-tanya dalam perbualan kami, betulkah pilihan kami untuk menyertai perhimpunan ini?  Bagaimana kalau kami ditangkap?  Tapi rasa terharu dalam hati kita itu akhirnya mengatasi ketakutan yang menghalang kami untuk terus mara.

Wanita Melayu yang hamil

Ada satu adegan yang membuatkan kami amat terharu.  Sepasang suami isteri Melayu muda memakai "baju kuning" bersama, dengan si isterinya yang sudah mengandung.  Mereka menggalas misi yang cukup penting untuk ke dalam pusat bandar.  Si suami menunggu di luar bilik air sementara isterinya di dalam.  Saya nampak kegusarannya.  Beliau memegang kedua-dua tangannya dengan rapat, mencangkung di situ.  Sebaik sahaja isterinya keluar, beliau bangkit dan memegang tangan isterinya, dan sama-sama menaiki jejambat.

Di penghujung sana kelihatan sekumpulan anggota polis sedang menunggu.  Kesudahannya diduga.  Pasangan suami isteri tadi tidak diberi laluan.  Walaupun saya nampak mereka agar terkilan, tetapi saya yakin mereka tidak pasrah begitu sahaja.  Cuba fikirkan, apakah yang mendorong seorang isteri yang hamil untuk mengambil risiko bersama suaminya?  Takkan mereka tidak sedar bahawa diri mereka mungkin ditangkap, dibelasah?  Tapi siapa yang sedar, apa yang mereka terpaksa berkorban, untuk tujuan ini?

Kami pula diberi laluan, kerana berpakaian putih.  Sepanjang jalan kami dapati banyak trak polis, tetapi tidak sempat untuk dikira berapa bilangannya.  Ini gambaran yang hanya dapat ditonton dalam filem.  Ramainya polis, tetapi saya langsung tidak merasakan diri saya selamat!

Jalan raya menjadi sunyi dan sepi.  Kami seolah-olah sampai di kawasan bencana.  Air muka manusia juga pelik.  Semacam hari kiamat.

Kami melangkah dengan cepat, akhirnya sampai di kawasan berdekatan dengan Hospital Tung Shin.  Tak sempat kami berkumpul dengan kelompok manusia di sana.  Sebaris trak polis berhenti di situ.  FRU berbaris membentuk tembok halangan, seolah-olah untuk melindungi kami.  Tapi kami sedar apa tujuannya.  Kami gagal melakukan apa-apa mendengar jeritan dari orang di sebelah sana.

Berkecai konsep "kerajaan tolong muslim sahaja"

Pada ketika ini, saya melepaskan tangan teman wanita saya.  Saya melangkah ke depan.  Kerana saya ternampak satu adegan, yang membuatkan saya malu dengan diri saya.  Dengan mata sendiri saya menyaksikan bagaimana seorang muslim (beliau berkopiah) ditekan ke atas lantai.  Beliau disiku bahagian belakang badannya, tanpa beliau membalas.  (Bagaimana beliau boleh balas sedangkan beliau ditekan oleh beberapa orang polis?)  Ya, beliau dipukul polis, bukan orang lain.

Hati saya sejuk tiba-tiba.  Konsep bahawa "kerajaan asyik menolong muslim sahaja" telah berkecai!  Semuanya berkecai.  Saya terpegun di situ untuk agak lama.

Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membelok ke Stadium Merdeka.  Kami basah kuyup kerana hujan yang lebat.  Hati saya juga berhujan.  Saya tidak faham, mengapa satu perhimpunan yang aman dijadikan sebegini?  Kami hanya mahukan satu sistem pilihan raya yang adil!

Akhirnya kami sampai di kawasan berdekatan dengan stadium merdeka.  Di situ kami berjumpa dengan kawan-kawan kami dari gereja.  Hati kami tenang, dengan semangat yang tinggi.

Saya memandang ke sisi saya.  Ada ramai Melayu, India pun ada, malah lebih memeranjatkan, tidak kurang juga orang Cina!  Saya terharu ketika kami menyanyi lagu Negaraku bersama.  Ini kali pertama saya menyanyi dengan penuh perasaan, begitu terharu.  Seterusnya, kami menuju ke Jalan Petaling sambil melaungkan slogan.

Setelah melalui Jalan Petaling, kami terpaksa berhenti, kerana gas pemedih mata dilepaskan di perhentian bas Klang.  Kami rasa tersengit dengan gas itu, malah hampir lemas dibuatnya.  Kami berundur dengan cepat, tetapi bukan lintang-pukang.  Orang berkongsi garam dan air tanpa mengira kaum.  Ini kerana garam dapat meredakan rasa sengit yang disebabkan gas pemedih mata.

Hampir setengah jam kemudian, kami menerima khabar bahawa ada kelompok manusia yang berhimpun di KLCC.  Kami pun menuju ke sana.  Jarak perjalanannya jauh.  Kami yang keletihan masuk ke dalam kedai 7-11 untuk membeli air.  Teman wanita saya kepenatan terus meniarap di meja.  Dua orang "uncle Cina" yang turut serta dalam perhimpunan memberi galakan kepadanya, "Ini demi masa depan kita!"

Akhinya kami gagal sampai ke KLCC.  Kedengaran polis sedang melakukan tangkapan.  Kami mengambil keputusan untuk balik ke rumah pada kira-kira jam 5 petang.  Kami tidak kesal menghadiri perhimpunan ini.  Walaupun tubuh kita letih, tetapi hati kita tidak.  Saya nak memberi pujian bahawa perhimpunan ini adalah perhimpunan yang berjaya!

709 adalah "milestone" kita bersama.  Apa yang paling diingini saya sekarang adalah berkawan dengan lebih ramai sahabat dari kaum lain.  Mereka sebenarnya baik!  Saya menyeru agar kita tidak lagi menyerang kaum-kaum tertentu dengan hujah yang simplistik.  Kita perlu berkawan dengan mereka, secara ikhlas.  Jangan lagi kita asingkan diri sebagai orang Cina, Melayu, India dan sebagainya, yang ada orang Malaysia!

Saya yakin, mereka pun berkongsi pandangan yang sama.  Ayuh orang muda, bangkitlah!  Orang muda adalah tiang negara masa depan!  Jangan kita meniru sikap penguasa yang buruk dan menyalahgunakan kuasa!

No comments: