Thursday, December 8, 2011



SURAT TERBUKA KEPADA ORANG MELAYU.
by Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
on Thursday, December 8, 2011 at 11:11am 
Islam DIDAHULUKAN, MELAYU BERSAMANYA 
.Islam didahulukan, Melayu bersamanya. Bukan Melayu didahulukan, Islam mengikutnya, kerana Islam ditegakkan Melayu selamat. Kalau Melayu ditegakkan diatas aqidah kebangsaannya, Melayu sesat, Islam terpinggir. Inilah kecuaian Umno sejak ditubuhkan sehingga kini. 

Kecintaan kepada keluarga, kaum dan bangsa adalah fitrah yang digalakkan oleh Islam, tetapi menjadikannya aqidah perjuangan adalah satu kesesatan. Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan dengan keluarga dan kaumnya, tetapi dengan aqidah dan berpandukan Islam. 

Rasulullah S.A.W. adalah ikutan yang dilantik oleh Allah, bukan dilantik melalui pilhanraya atau perhimpunan agung mana-mana parti. Apabila Rasulullah S.A.W. dilantik menjadi Rasul akhir zaman kepada seluruh alam, dipilih daripada kalangan bangsa arab qabilah Quraisy, paling jahil, miskin dan berada ditangah padang pasir paling gersang, tetapi menjadi paling sabar, berani dan paling lasak menghadapi cabaran kalau ditarbiyah. Bangsa arab seluruhnya berpecah dan berperang sesama sendiri. Semenanjung arab, tanah air mereka dijajah oleh kuasa besar dunia Parsi dan Rom. Pesoalannya apakah yang didahulukan oleh Rasulullah S.A.W? Sama ada memulakan perjuangan diatas semangat kebangsaan arab, satukan mereka terlebih dahulu diatas semangat kebangsaan itu, tegakkan perjuangan kemerdekaan menentang penjajah Parsi dan Rom, selepas itu Islam boleh tegak dengan sendiri besamanya. Atau mulakan dengan Islam, perkasakan bangsa arab dengan Islam yang sempurna, aqidah, syariat dan akhlak? 

Ucapan pertama disampaikan kepada penduduk Makkah dengan arahan wahyu daripada Allah ialah, firman Allah: 
قُلْ يَاأَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ 
الأمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ } [الأعراف: 158 
158. 
. Katakanlah: "Hai manusia Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah Dia, supaya kamu mendapat petunjuk." 

Bukan dengan seruan hidup arab Islam selamat !, hanya bangsa arab yang boleh menegakkan Islam , macam selogan Umno :”hidup Melayu!”. 
Tegasnya bahawa Rasulullah S.A.W. memulakan perjuangan mengajak bangsa mengikut Islam, bagi memerdekakan diri daripada jahiliyah dalam diri sendiri terlebih dahulu dengan bangsanya mengikut Islam. Walaupun mendapat tentangan hebat daripada pemimpin kaum bangsa dan keluarganya sendiri, sehingga dihalau daripada tanah air tempat dilahirkannya (Makkah). Kemudian menggunakan kuasa pemerintahan Islam yang ditegakkan oleh kaumnya yang menerima Islam dengan beriman mengikutnya dengan sempurna dan mengumpul serta menyatukan mereka dengan Islam. Kemudian kembali semula ke Makkah untuk memerdekakannya daripada kuasa pemeritahan jahiliyah arab yang dipimpin oleh ayah mertuanya sendiri Abu Sufian bin Harb. 

Allah mewafatkan Rasulullah S.A.W. setelah Ajaran Islam disempurnakan secara wahyu serta cara beramalnya dinyatakan oleh Sunnah Rasulullah S.A.W. dan setelah menyampaikan mesej Islam secara bersurat yang dihantar kepada negara dan bangsa yang bukan arab. Ada yang menerima Islam, ada yang tidak menerima tetapi berdamai dan ada yang mengambil sikap permusuhan. 

Sebelum wafat Rasulullah S.A.W. Allah menegaskan kepadanya secara wahyu kepada bangsa arab yang menganut Islam supaya berpandukan Islam, diantaranya Allah memberi amaran : 
وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ (38 ) مخمد 
38. Jika kamu berpaling (daripada menegakkan Islam) niscaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad) 

Khalifah Abu Bakar mengambil alih memimpin negara menentang bangsa arab yang murtad (berpaling tadah menentang Islam). Penyelewengan berlaku dengan bantuan penjajah Parsi dan Rom. Setelah Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan bangsa arab yang murtad maka dimulakan dakwah mengajak kaum lain kepada Islam tanpa paksaan. 

Dua kuasa besar dunia menentang secara ketenteraan kerana menganggap bangsa arab yang menganut Islam itu masih lemah saperti sebelum Islam. Tiba-tiba dua kuasa besar dunia ikut tumbang kerana jahiliyyahnya, walau pun mereka maju daripada segi kebendaannya, tetapi dibejati kezaliman dan maksiat. Khalifah Umar R.A. yang berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia itu manyampaikan ucapannya ketika berada di Kota Suci Bait Al Maqdis:. 
(Kita adalah bangsa yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain daripada apa yang telah dikurnia Allah, nescaya kita akan ditimpa hukuman Allah menjadi bangsa yang hina). 
Ketika bangsa arab yang menganut Islam masih berpegang dengan ajaran Islam, mereka terus memimpin negara yang paling besar dalam sejarah, bersama masyarakat majmuk berbagai bangsa dan agama. Mereka mengislamkn bangsa lain tanpa paksaan dan mengislam ilmu serta kebijaksanaan daripada berbagai bangsa, sehingga melahirkan tamadun Islam yang paling hebat dalam sejarah manusia. 

Apabila bangsa Arab menjadi leka terhadap Islam, maka Allah menukarkan bangsa bukan arab yang menganut Islam dan berpadukan Islam serta menegakkannya. Bangsa lain mengambil alih pemerintahan telah melahirkan ilmuan Islam dan pemimpin negara. Manakala bangsa arab menjadi rakyat dibawah pemerintahan Islam, oleh para ulama dan pemimpin bukan berbangsa arab, saperti Kurdis, Turki, Bukhara dan lain-lain. 

Bangsa Melayu di Asia Tenggara turut sama menjadi bangsa yang perkasa apabila mereka menganut Islam dan raja-rajanya memerintah dengan Islam. Bahasa Melayu berhuruf Al Quran bertamadun menjadi bahasa ilmu dirantau ini. 
Kedatangan penjajah yang mampu menguasai dunia Islam, termasuk dunia Melayu di rantau ini apabila mereka lemah berpegang dengan ajaran Islam. Cahaya Islam yang sedikit tidak boleh dipadamkan masih bersuluh membangkitkan perjuangan menentang penjajah. 

Walaupun penjajah asing sudah meninggalkan tanahair kita, tetapi kesan daripadanya masih wujud dengan tabal. Kita tidak dapat mengambalikan jati diri malainkan dengan kembali menjadikan Islam tertegak dihadapan kita yang menjadi panduan seluruh cara hidup beragama dan bermasyarakat. Ini saperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dengan petunjuk Allah dan diperingatkan oleh Khalifah Umar bin Al Khattab R.A. 

Mari kita menjadi bangsa yang insaf dengan muhasabah diri, bagaimana bangsa arab yang berjumlah ratusan juta, di tengah kekayaan hasil minyak yang tidak terkira, dipermainkan oleh kuasa barat yang pernah menjajah mereka. Mereka tidak mampu berdepan dengan segelintir bangsa yahudi zionis yang diletakkan oleh penjajah bagi menjaga kepentingannya di Asia barat. Ini kerana mereka berpaksikan kebangsaan arab dan meminggirkan Islam di belakang mereka. Satu agenda penjajahan pemikiran yang sengaja dirancang bergitu rupa. 

Hari ini bangsa arab mula sedar dan bangkit bersama Islam dengan memulakan kemenangan Islam secara aman memalalui pilihanraya yang adil setelah ditekan oleh pemimipin bangsa sendiri secara kuku besi. 
Umno adalah pelakon yang sama memimpin negara yang dikatakan merdeka, dengan semangat hidup Melayu, Islam selamat. Nyata bahawa Melayu tidak selamat dengan cara Umno. Islam cara Umno tidak mampu memperkasakan Melayu, kerana Melayu didahulukan, Islam tidak memandunya kerana tidak djadikan panduan. Maka bangsa Melayu tidak mampu bersaing dengan kaum lain dalam masyarakat majmuk. 
Kita wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang diatur oleh penjajah ditanah air kita. Setelah mereka menjajah bangsa Melayu yang lebih dahulu yang bercampur dengan kaum pribumi berada ditanahair ini. Penjajah membawa kaum lain yang dijajah juga, untuk sama-sama diperhambakan untuk kepentingan penjajah barat. Bangsa Melayu dan penduduk asal yang lain terus dipinggir dikawasan luar bandar dengan keadaan terbiar dalam kemiskinan. Kaum Cina pula menjadi buruh di lombong-lombong dan sebahagiannya di bandar dan kaum India menjadi buruh di ladang-ladang. Semua kaum diperkudakan untuk kepentingan penjajah dan seterusnya diatur untuk dilagakan diantara satu sama lain, untuk terus diperintah atau menjaga kepentingan penjajah selepas merdeka. 
Mengikut Islam bahawa masyarakat majmuk adalah satu adunan yang baik sekiranya dimanfaatkan dengan bijak, sekiranya wujud kedudukan yang seimbang dan saksama diantara satu sama lain. Kaum lain telah menerima hakikat bangsa Melayu yang beragama Islam adalah teras kepada negara dengan hak yang adil secara sama dengan kaum yang lain, kerana jumlah mereka lebih besar. Tiba-tiba kedudukan orang Melayu yang beragama Islam ketinggalan jauh dibelakang dari segi pendidikan, ekonomi, politik dan lain-lain. Ini menyebabkan rasa tidak puas hati terhadap kaum lain, dengan terpinggir secara nyata di Singapura, Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di pantai barat dan Malaysia Timur. Semua negeri-negeri ini pada awalnya dipimpin oleh Umno yang bertemakan hidup Melayu mafhumnya tegaklah Islam. 

Malangnya Umno menyalahkan pihak lain, khususnya PAS yang tidak bersama Umno sejak menentang penjajah dan cara mencapai kemerdekaan dan mengurus negara. Umno meletakkan Islam disamping atau dibelakang tanpa kuasa secara warisan penjajah yang merancang untuk melemahkan umat Islam mengikut kajian para orentalis. Akhirnya orang Melayu bukan sahaja terus dalam keadaan lemah, tidak mampu bersaing dengan kaum lain. Bukan sahaja ketinggalan dalam ekonomi dibumi sendiri, walaupun diberi tongkat hak istimewa Melayu dan bumiputera, bahkan ketinggalan dalam pendidikan dan kesadaran berpolitik. Pemimpin yang tidak boleh menjadi model Islam kepada bukan Islam dan tidak mampu memimpin kumpulannya dan bangsanya sendiri, apatah lagi negara, tetapi lebih berlagak mampu dengan mempertahan kuasa dengan apa sahaja, kerana dibejati penyakit zalim dan fasad. Zalim mengikut takrif Islam ialah meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya dalam segala bidang, seperti kehakiman, pentadbiran, ekonomi dan lain-lain aspek. Fasad pula ialah kemunkaran dalam segala aspek saperti rasuah dan segala maksiat terhadap Allah, diri sendiri dan masyarakat. 

Pamimpin utama Umno sendiri sudah mengaku adanya penyakit yang kronik dalam diri parti Umno. Politik rasuah (wang) membarah dalam diri sendiri dan menyebarkannya kepada orang Melayu untuk mendapat sokongan, mengampu dan menipu sesama sendiri. Maka orang Melayu dalam bahaya bersama Umno . 
Ketinggalan orang melayu dalam politik Singapura ditahun lima puluhan dan enam puluhan adalah dibawah pimpinan Umno. Tertinggalnya orang Melayu di Pulau Pinang adalah dibawah Umno juga. Umno menyelamatkan kedudukan dengan mengasak orang Melayu dengan kawasan pilihanraya campuran bagi memenangkan rakan kongsinya daripada kaum lain setelah parti itu kalah dikawasan mereka. Mereka menekan bangsa sendiri yang menegurnya dan tidak bersamanya, dengan menindas negeri Melayu yang tidak berpihak kepada Umno. Tindakan menafikan hak royalti minyak terhadap Kelantan dan Terengganu suatu ketika dahulu serta melambatkan bayaran perkapita. Begitu juga dengan Kedah. Ini adalah contoh nyata Umno menindas negeri Melayu. Umno juga mengapi-apikan semangat perkauman Melayu sehingga tegang hubungan dengan kaum lain, seterusnya orang Melayu dilekakan dengan wang, media yang menipu dan melalaikan mereka. Ketika bangsa lain berpolitik secara matang dengan kefahaman merancang masa depan yang jauh. Namun orang Melayu berpolitik diajar oleh Umno untuk mencari peluang beberapa hari dimusim pilihanraya sehingga lupa menjadi mangsa setiap lima tahun sehingga lebih lima puluh tahun terus ketinggalan. 
Sudah tiba masanya orang Melayu memberi peluang kepada Umno berehat atau bersara atau berhenti terus. 
Ucapan berapi dalam perhimpunan Agung Umno baru-baru ini lebih banyak membedil diri sendiri, bukan sahaja ada yang menikam dari belakang bahkan ada yang berani menikam secara berhadapan. Walaupun pada zahirnya menyerang lawan dan kawan. Yang tidak faham bertepuk tangan syok sendiri sehingga membengkak tangan. Adapun yang faham pula berubah wajah kerana kebimbangan bahteranya menunggu karam ditebuk kelasi sendiri. 
PAS berulangkali mengajak Umno bermuzakarah secara ilmu Islam dan adabnya bagi selamatkan umat dan negara dengan Islam, bukan berbincang untuk bersama memikul biawak hidup yang diternak oleh Umno. Mengajak kepada Islam sekadar kemampuan, kerana bukan cara menyelamatkan negara dengan mengapi-apikan semangat perkauman yang menegangkan hubungan diantara kaum dan agama. Caranya ialah dengan konsep adil untuk semua dan menjaga hak masing-masing secara adil, serta ruang demokrasi dengan batas-batas dan sempadannya yang sebenar secara ikhlas bukan secara menipu. PAS percaya Islam adalah hujah yang terkuat daripada Allah S.W.T kerana Islam adalah Rahmat Allah kepada seluruh alam. 

Tulisan ini bukan menjaga tepi kain orang lain, tetapi hanya peringatan kepada mereka yang kainnya sudah parah terkoyak, sehingga menampakkan kecacatan yang memalukan.



Ulama kelirukan Hudud kpd bukan Islam
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur


Analisis IsuOleh: bumiperak


KUALA LUMPUR 3 Dis 2011 Forum berjudul ‘Hudud dan implikasinya’ di ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur bagi menolak beberapa peruntukan dan Enakmen Hudud Kelantan 1993 adalah tidak mengikut al-Quran dan Hadis. Ahli panel terdiri dari Presiden JUST  Dr ChandraMuzaffar, Pengerusi Ulama Muda Umno Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya dan Ustaz Mohd Kamal Saidin selaku penasihat ugama  Mentri besar Terengganu. Hadir bersama adalah Presiden MCA Chua Soi Lek, Naib Presiden Liow Tiong Lai, Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee.

Forum merumuskan PAS sengaja menggubal undang-undang itu demi kepentingan politik mereka atas sebab-sebab demikian:

1. Mukallaf (akil baligh) ditarifkan sebagai seseorang yang berusia lebih 18 tahun dan boleh berfikir dengan waras, ini undang-undang British dan Eropah, bukan undang-undang Islam. Dalam Islam, Mukallaf adalah pada usia 15 tahun.

2. 
Meliwat ke atas isteri juga tidak dimasukkan dan dibenarkan. Dalam Islam, ini sepatutnya haram.

3. 
Hukum hudud PAS hanya akan membabitkan orang Islam sedangkan pada zaman Nabi Muhammad SAW, hukum itu juga terpakai kepada bukan Islam. Contoh; mangsa rogol beragama Islam akan dihukum manakala bukan Islam yang merogol gadis atau wanita berkenaan tidak akan didakwa. Jadi, bagaimana boleh ada dua set undang-undang. Ini tidak adil.

4. 
Islam ugama adil dan Allah bersifat Pengampunan maka hukuman potong tangan kepada pencuri bukan penyelesaian hukuman.



Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM), Malaysia, menasihatkan Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Mohd Kamal Sadin tidak bertanggungjawab dan mengelirukan diminta kembali menuntut ilmu Allah yang sangat luas sebelum memberi nasihat yang menyesatkan akibat nafsu serakah politik.

Takrifan mukallaf sebagai seorang yang berusia lebih 18 tahun, kononnya adalah undang-undang British dan Eropah, menonjolkan kejahilannya di dalam perselisihan pandangan para ulamak mazhab. Mazhab Hanafi, sebagai contoh, meletakkan umur 18 tahun sebagai umur baligh, manakala Mazhab Maliki meletakkan umur 18 tahun sebegai umur baligh selepas dilihat sifat-sifat yang lain. Oleh kerana itulah ulamak memutuskan, sesiapa yang tidak mengetahui kepelbagaian pandangan, bukanlah seorang yang alim, apatah lagi menjadi penasihat agama seorang menteri besar.

Begitu juga kenyataannya berkenaan meliwat isteri yang kononnya dibenarkan dalam undang-undang berkenaan. Liwat isteri memang tidak dikategorikan sebagai kesalahan yang membawa hukuman hudud oleh rata-rata ulamak, namun ia sama sekali tidak dibenarkan. Perlu diingat bukanlah segala perilaku yang tidak dihukum di dalam kategori hudud itu dibolehkan. Terdapat 1001 lagi perilaku haram yang tidak termasuk kategori hudud tetapi boleh dijatuhi hukuman takzir. Kenyataan tidak bertanggungjawab berbaur fitnah oleh Mohd Kamal perlu ditarik balik.


ILMAM turut menyeru Mohd Kamal, Fathul Bari serta seluruh yang menggelarkan diri mereka sebagai ilmuan di dalam UMNO supaya duduk secara serius dan membentangkan apakah set undang-undang yang benar-benar bertepatan dengan Al-Quran dan Hadis, kemudian mendesak kerajaan supaya memberi penerangan dan pendidikan berkenaannya supaya masyarakat lebih memahami dan tidaklah dikaburkan lagi kerana permainan politik.



ILMAM juga mendesak mereka supaya memberikan penerangan yang lebih jelas berkenaan hudud dan seluruh undang-undang Islam supaya tidak dihina dan terus dihina oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, seperti mana yang dilaporkan dalam media. Penghinaan seperti mengatakan hukuman Islam, kejam, tidak adil kepada wanita, serta menyebabkan kemusnahan diri, menunjukkan kejahilan yang melampau oleh Presiden salah satu Parti Komponen BN tersebut, serta menampakkan tuduhan yang kedangkalan hujah tanpa fakta ilmiah.
" 

No comments: