Saturday, January 3, 2015

Balak di Serawak

  • Kenyataan yang saya sendiri tulis bagi pihak Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS MALAYSIA berkenaan pembalakan di Sarawak pada Mac 2013. Pembalakan hanya di Kelantan??? Sudah la. Jangan politikkan musibah banjir di Kelantan. Adalah lebih baik jika Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan bekerjasama untuk membantu mangsa-mangsa banjir khususnya di Kelantan. Tidak baik menuduh pembalakan sebagai satu-satunya faktor musibah banjir yang luar biasa di Kelantan tanpa mengambilkira faktor Taburan hujan yang sangat luar biasa (seperti yang pernah dicatatkan 17 tahun yang lalu), Fenomena 'New Moon', Monsun Had Tinggi serta Deras (Angin pada kelajuan 50-60KM/j) termasuk peningkatan aras air laut (3 meter - 5.5 meter) serta musibah banjir yang melanda 13 daerah di Narathiwat (rekod tertinggi dalam masa 9 tahun) sebagai FAKTOR UTAMA punca musibah banjir yang sangat luar biasa di Kelantan.

    KENYATAAN AKHBAR
    LAJNAH ALAM SEKITAR PAS MALAYSIA
    ISU PENDEDAHAN VIDEO GLOBAL WITNESS DI SARAWAK

    Selepas menonton rakaman video yang didedahkan itu selama 16 minit 24 saat di http://www.youtube.com/watch?v=_1RRNggnM6A, selaku Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia, sesuatu yang amat mengejutkan jika kenyataan-kenyataan yang dirakam itu adalah satu kenyataan yang benar dan sedang berlaku di Sarawak. Pihak SPRM seharusnya sudah mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap ke semua individu yang dikaitkan dalam video itu khususnya Ketua Menteri Sarawak YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

    Sebagai sebuah kerajaan negeri yang dimomokkan adil dan telus dalam setiap urusan tadbir mereka, seharusnya kakitangan kerajaan negeri yang terlibat dalam tuduhan salah urus tadbir itu termasuklah Ketua Menteri Sarawak mengambil cuti buat sementara waktu agar siasatan yang adil dan menyeluruh dapat dijalankan oleh pihak berkuasa khususnya SPRM terhadap pendedahan video Global Witness yang berpengkalan di London itu. 

    Seharusnya sikap Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang sanggup melepaskan jawatan Menteri selepas dikaitkan dengan Skandal NFC yang diusahakan oleh suami dan anak-anak beliau menjadi contoh yang terbaik buat Ketua Menteri Sarawak untuk mengambil tindakan yang sama sebagai bukti bahawa kepentingan untuk memelihara imej parti didahulukan dari kepentingan diri sendiri agar keyakinan tinggi rakyat kepada parti yang memimpin kerajaan negeri dan persekutuan yang sedia ada dapat dipertahankan.

    Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia memandang tinggi pendedahan yang dibuat Global Witness kerana ia berkait-rapat dengan penerokaan hutan untuk pertanian dan kerja-kerja pembalakan di Sarawak dan seterusnya kesan yang diketahui umum wujud dari kerja-kerja pertanian, penerokaan hutan serta pembalakan itu kepada Alam Sekitar dan sosio-ekonomi masyarakat setempat khususnya Orang Asal di Sarawak. 

    Dakwaan Global Witness meliputi 4 hasil siasatan melalui penyiasat persendirian yang menyamar sebagai pelabur untuk penanaman Kelapa Sawit di Sarawak dan diantaranya ialah:
    1. Habuan kepada Ketua Menteri dari kelulusan Lesen Penanaman/Pertanian.
    2. Korupsi dari Perjanjian Tanah di mana sebahagian ahli keluarga Ketua Menteri Sarawak itu diberikan tanah atas arahan Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar yang dipimpin oleh Ketua Menteri sendiri dan mendapat keuntungan berjuta-juta ringgit darinya.
    3. Mengelak Cukai – Sebuah syarikat perkongsian di antara sepupu Ketua Menteri Sarawak, seorang Ahli Parlimen dari Parti Ketua Menteri Sarawak dan Kakak Ipar Perdana Menteri ditawarkan untuk jualan melalui transaksi tidak sah di Singapura yang direka untuk mengelak cukai dari Kerajaan Malaysia.
    4. Korupsi dalam Perkhidmatan yang ditawarkan peguam tempatan untuk membantu transaksi haram/tidak sah dan bercanggah dengan undang-undang di Malaysia dan di Singapura.

    Dikhuatiri penyalahgunaan kuasa dan manipulasi dalam kelulusan lesen-lesen yang didedahkan mungkin telah menular ke dalam aspek penguatkuasaan perlindungan Alam Sekitar khususnya oleh Kerajaan Negeri kerana hal yang berkait-rapat dengan dengan tanah, hutan, sumber air , kawasan Kerajaan tempatan, perikanan dan pertanian adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan, Senarai Negeri , Perlembagaan Persekutuan. 

    Walaupun Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling ( Pindaan ) 1985 merupakan akta-akta yang digubal dan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan, aspek pengurusan sumber Alam Sekitar masih di bawah seliaan dan kawalan Kerajaan Negeri. 

    Jika proses kelulusan lesen balak boleh dimanipulasi, maka sesuatu yang tidak mustahil, aspek penguatkuasaan juga boleh dimanipulasi untuk kepentingan jahat pihak yang berkepentingan sehingga akhirnya mendorong kemusnahan hutan malah sistem ekologi yang menjadi sumber makanan dan minuman kepada haiwan liar serta Orang Asal di Sarawak.

    Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia tidak mahu Akta Perhutanan Negara terus dinodai oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab atas alasan apa pun kerana ia mampu mengheret kedudukan Indeks Prestasi Alam Sekitar Dunia Negara ke tangga yang lebih teruk khususnya dari aspek Perhutanan yang kini ditangga ke-3 paling teruk di Dunia.

    Projek Empangan Bakun adalah contoh terbaik kemusnahan Alam Sekitar di Sarawak khususnya kemusnahan habitat semulajadi/vagitatif ekosistem yang melibatkan 70 ribu hektar kawasan hutan akibat kerja-kerja pembersihan hutan yang luas. Malah ia juga menyumbang kepada kesan aspek sosio-ekonomi kepada hampir 10 ribu penduduk yang terlibat khususnya Orang Asal di situ. 

    Malah isu pembinaan Empangan Murum di Sarawak yang melibatkan 24 ribu hektar kawasan hutan tidak sepi dari bantahan 1600 Orang Asal Penan di situ sehinggalah ke hari ini. 

    Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia ingin melahirkan kebimbangan terhadap penerokaan hutan yang luas di Sarawak khususnya ura-ura pembinaan 11 lagi Empangan di bawah Projek Koridor Tenaga Yang Diperbaharui Sarawak (Score) lebih-lebih lagi jika proses kelulusan pembinaan itu mirip atau dibayangi manipulasi proses kelulusan lesen seperti yang didedahkan Global Witness baru-baru ini. 

    Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia juga ingin melahirkan kebimbangan dakwaan peningkatan kadar kemusnahan hutan di Negara ini seperti yang dilaporkan Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO) termasuklah dakwaan bahawa hanya 11.6% daripada 60% keluasan hutan di Negara ini masih kekal tidak diganggu. Malah di Sarawak, dakwaan oleh Mongabay bahawa keluasan hutan yang tinggal hanyalah kurang dari 10% haruslah juga segera disiasat oleh pihak berkuasa. 

    (Google Earth Menunjukkan Jejak Pembalakan Di Sarawak Yang Bersempadan Dengan Brunei) - Gambar 1

    (Rangkaian Laluan Pembalakan Di Sarawak Berbanding Kalimantan ) - Gambar 2

    Oleh kerana itu, selaku Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia, saya ingin menyeru tindakan segera SPRM dan Pihak Berkuasa yang lain terhadap pendedahan video Global Witness itu demi kepentingan seluruh rakyat di Negara ini dan seterusnya memastikan penguatkuasaan dan pemuliharaan Alam Sekitar dapat dijalankan dengan telus dan tegas di Sarawak khususnya. 

    Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia juga berharap Hak Asasi Orang Asal yang diperakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Sarawak dapat terus dipertahankan dan dimartabatkan.
    1 hr · Like
  • Huzir Sulaiman Gambar 2 - Pembalakan Di Sarawak
    1 hr · Like

No comments: