Thursday, January 8, 2015

Isu balak dan pergolakan dalaman PAS
Jaminan Timbalan Presiden PAS Muhammad Sabu bahawa parti itu akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemimpin yang terlibat menyelewengkan balak di Kelantan akan menjadi penentu kepada masa depan ‘bapa demonstrasi PAS’ itu pada Muktamar Jun depan.
"Sila buktikan. Kami tidak akan bela mana-mana pemimpin yang menyeleweng," kata Mat Sabu pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur semalam.Balak adalah isu survival di Kelantan. Ianya sangat sensitif dan boleh menggugat jawatan seseorang. Sebelum ini Husam Musa gagal naik pangkat kerana isu balak.Ketika menjadi exco di bawah kepimpinan Nik Aziz Nik Mat, Husam pernah menolak beberapa permohonan membalak di Hulu Kelantan. Konsesi balak tidak boleh diberikan sesuka hati kepada sesiapa sahaja kerana kelak akan menyebabkan hakisan tanah dan banjir lumpur.
Husam diketepi
Perkara yang cuba dielakkan itu menjadi kenyataan pada Disember 2014 apabila Kelantan tenggelam dalam banjir lumpur luar biasa dan terburuk dalam sejarah.Nik Aziz selepas PRU 13 menolak menjadi MB kerana keuzuran. Beliau mencadangkan Husam diangkat sebagai MB pada malam PAS diisytihar menang di Kelantan. Bagaimanapun isu balak menyebabkan Husam terhalang daripada mengangkat sumpah jawatan. Kini isu balak akan menggugat Mat Sabu pula. Mat Sabu sukar mendapat sokongan untuk melakukan siasatan dalaman ke atas pemimpin PAS dalam isu pembalakan di Kelantan. Puak UG dalam PAS sebelum ini memang tidak senang untuk bekerjasama dengan puak profesional. Sebaliknya Mat Sabu akan ditentang habis-habisan dalam perebutan Timbalan Presiden kelak.
Ketelusan dan integriti jarang ditunjukkan oleh ulama PAS. Badan Hisbah dicadangkan sebagai manifesto pilihan raya PAS Kelantan sejak sedekad lalu. Tetapi jawatankuasa Hisbah itu tidak pernah ditubuhkan sehingga ke hari ini.Sebaliknya jawatankuasa sama telah beroperasi dengan jayanya di Selangor sebagai Selcat dan C.A.T di Pulau Pinang. PAS mungkin berpandangan rakyat biasanya mempercayai ulama melaksanakan pemerintahan yang baik, maka jawatankuasa hisbah tidak perlu disegerakan penubuhannya. Namun tanpa hisbah, Selangor dan Pulau Pinang kelihatan lebih telus dan akauntabiliti. Mungkin desakan agar ulama diperiksa akan menyebabkan penyokong ‘geng ulama’ akan bertindak balas terhadap puak profesional. Bagi ulama, profesional tidak layak mentadbir PAS kerana mempromosi idea-idea barat yang tidak secocok dengan pendirian PAS.
Umno - PAS
Namun ketelusan dan akauntabiliti bukanlah idea Barat, sebaliknya idea yang dicedok dari tamadun awal Islam. Mungkin pemerhati politik melihat pertembungan dalaman PAS adalah berkenaan puak Erdogan yang menyokong Anwar dan ulama penyokong Hadi. Hakikatnya, ia lebih daripada itu.
Pemimpin pro Anwar di Selangor dan Pulau Pinang sangat telus dan terbuka. Sebaliknya, ulama PAS kini lebih cenderung kepada Umno yang mengamalkan penyelewengan secara besar-besaran demi menegakkan Hudud.Jadi ada kemungkinan besar pertembungan pada Muktamar bulan Jun nanti berkisar idea Ketelusan + Anwar lawan Hudud + Umno.Puak profesional diramal akan kalah. Jadi telah diketahui dasar PAS selepas Jun depan. Tentunya agenda merapatkan hubungan Umno – PAS diutamakan dan parti itu akan menjarakkan diri dengan PR.Bagi penyokong PAS, Hudud bukan bererti tamatnya penyelewengan. Malah di negara yang ada Hudud seperti Pakistan, negara Arab dan sebagainya, kadar rasuah adalah amat tinggi. Perkara yang paling penting adalah akauntabiliti dan ketelusan. Jika tidak hanya rakyat biasa yang dikenakan Hudud sebaliknya pemimpin terlepas.

MONDAY, JANUARY 5, 2015





JET RASMI KERAJAAN 9M-NAA TELAH GUNA RM500 RIBU BAHAN API, TAPI RAKYAT KENA BAYAR?

Jet Rasmi Kerajaan Malaysia 9M-NAA yang diterbangkan merantau dunia dengan membawa penumpang misteri akhirnya "pulang" ke tanah air Malaysia pada 4hb Januari 2015.

Namun sehingga hari ini, persoalan berkenaan siapakah VIP misteri yang dibenarkan menggunakan Jet Rasmi 9M-NAA masih tidak terjawab.

Satu analisa telah dijalankan oleh Biro Penerangan Angkatan Muda KEADILAN berkenaan dengan penerbangan jet 9M-NAA dan hasil pengiraan mendapati bahawa penerbangan jet jenis Airbus 319 dengan menggunakan laluan Honolulu – Los Angeles – Indianapolis – Los Angeles – New York – Dubai – Bangkok – Kuala Lumpur dianggarkan telah menggunakan 64,232.36 Gallon [US] minyak jet.

Dengan harga minyak jet antarabangsa RM7.68 per gallon, penumpang misteri di atas jet 9M-NAA telah menggunakan minyak jet yang bernilai RM494,404! Kos ini masih belum mengambil kira kos pengupahan juruterbang, kos pendaratan kapal terbang, kos parkir pesawat, kos penyimpanan pesawat (hangar fee), kos tanjakan pesawat (ramp service), kos penyelenggaran jet dan lain-lain.

Di samping mempersoalkan siapakah yang membayar bil penggunaan jet ini, KEADILAN menegaskan bahawa adalah lebih bermakna jika perbelanjaan wang berjumlah setengah juta ini digunakan untuk membantu mangsa banjir.

Dengan anggaran harga pemborong beras RM2 sekilo, RM494,404 boleh digunakan untuk membeli 247 tan (247,202kg) beras untuk diagihkan kepada para mangsa banjir. Jika digunakan untuk membeli sardin (harga RM2.50 setin), RM494,404 boleh menampung 197,761 tin sardin untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Selain itu, saya juga membidas laman Facebook “Friends of BN” yang seolah-olah menjadi jurucakap Jabatan Perdana Menteri dengan memberi penjelasan berkenaan penerbangan Jet Rasmi 9M-NAA ini. Penjelasan laman tersebut bahawa jet tersebut menghadapi isu teknikal dan terpaksa singgah di Amerika adalah tidak logik dan penjelasan melalui Facebook tanpa sebarang pengesahan JPM seolah-olah sedang memperlekehkan pegawai-pegawai JPM.

Akhir sekali, lawatan Perdana Menteri ke Bangkok semasa jet 9M-NAA mendarat di Bangkok sekali lagi menjadi misi misteri yang menimbulkan keraguan orang ramai. Seandainya perkara ini masih tidak mendapat sebarang penjelasan, saya sendiri akan hadir ke Jabatan Perdana Menteri untuk mendapatkan jawapan, dan saya ingin menjemput “Friends of BN” untuk datang bersama dalam lawatan tersebut.

Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat

No comments: