Thursday, March 5, 2015

Di Petik Dari Sumber








Langkah Najib tukar imej, 
tunjuk diri liberal, gagal – Shahbudin
Ia diikuti dengan tindakan Najib membuka akaun FB dengan nama Ah Jib Gor, bersikap lebih toleran kepada kaum Cina dan India sehingga ke majlis perayaan kedua-dua kaum itu pun beliau memakai pakaian tradisi mereka.
najibshahPETALING JAYA: Menarik sungguh hasil nukilan penulis dan bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menerusi entri terbaru di shahbudindotcom.blogspot.com yang membandingkan identiti Perdana Menteri, Najib Abdul Razak dan pimimpin utama negara sebelum beliau.
Tulisannya, rentetan daripada ucapan Najib di majlis Himpunan Kebangkitan Melayu Sabtu lalu yang disifatkan berbunyi puitis antaranya frasa yang menjadi intipati utama laporan kebanyakkan media massa iaitu, ‘selagi ada bulan dan bintang’ dan ‘selagi darah Melayu mengalir di badan’.
Namun, perkara yang menarik perhatian dalam penulisan Shahbudin kali ini ialah betapa Najib bersedia mengubah identiti luaran sejak menjadi Perdana Menteri demi memikat hati pengundi sehingga membawa satu bentuk kejutan kepada rakyat.
Shahbudin menyatakan Najib berusaha sebaik mungkin dalam menunjukkan dirinya liberal, mirip kecinaan atau keindiaan dengan harapan agar semua yang dilakukannya itu membuahkan hasil di dalam Pilihan Raya Umum 13 ternyata gagal.
Malah, analisis menunjukkan Najib kalah lebih teruk daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) yang ditanggapi sesetengah pihak lebih banyak tidur dari jaga dalam mentadbir negara.
Dalam tulisannya,Shahbudin mengetengah, sejak selepas PRU 13, Najib tidak pernah lagi menyebut ungkapan 1Malaysia yang tercetus daripadanya sendiri. “Ia seolah-olah sudah ditongsampahkan sedangkan itulah yang dibanggakan sebelum ini,” katanya.
“Sejak itu juga Najib mula perlahan-lahan mencantumkan semula carik-carik jiwa dan perjuangan Melayu yang sudah diselerakkannya sebelum ini,” katanya lagi.
Dari segi perbezaan gaya kepimpinan Najib dan mantan perdana menteri, Shahbudin berkata, seperti yang semua sedia maklum, sejak Najib mengambil alih kepimpinan negara pada 2009, banyak liberalisasi dan tolerasi telah diterapkan.
Gagasan 1Malaysia yang mula-mula diperkenalkannya adalah lambang hasrat membawa lebih kesamarataan dalam pentadbirannya.
Katanya, jika pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad atau Abdullah Badawi, setiap kali Perhimpunan Agung UMNO, teriakan Hidup Melayu selalu saja bergema tetapi di awal pemerintahan Najib, teriakan itu tidak lagi kedengaran. Hanya setahun dua ini saja teriakan itu dikembalikan semula.
“Ia diikuti dengan tindakan Najib membuka akaun FB dengan nama Ah Jib Gor, bersikap lebih toleran kepada kaum Cina dan India sehingga ke majlis perayaan kedua-dua kaum itu pun beliau memakai pakaian tradisi mereka.
Jelasnya usaha ini sesuatu yang baharu dan tidak pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin sebelum ini, malah Mahathir selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri juga tidak pernah berbuat demikian. Kalau ada pun Mahathir hanya berbaju kemeja merah saja ketika menghadiri perayaan Tahun Baru Cina.
Namun persoalannya di sini ialah jikalau usaha Najib yang sanggup mengubah identiti demi memenangi hati pengundi berbilang bangsa berbaloi atau dipandang remeh rakyat. Nampaknya, imej Mahathir dan Pak Lah yang kekal sebagai diri sendiri lebih disenangi daripada pengubahsuaian yang dilakukan Najib demi menunjukkan diri beliau fleksibel dan bertoleransi.
Tambah Shahbudin lagi, semasa sambutan Tahun Baru Cina beberapa tahun lalu, buat kali pertama negara dikejutkan dengan langkah seorang Perdana Menteri yang sanggup berlakon dalam iklan televisyen dengan memukul gong yang menjadi tradisi kaum Cina.
Shahbudin walau bagaimanapun tertinggal untuk menyatakan langkah Najib yang memakai pakaian ‘kurtha’ dan kalungan bunga malai semasa melawat sambutan Hari Thaipusam baru-baru ini dan pelbagai usahanya yang mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan orang Melayu dan Islam negara ini.
“Lebih dari itu, tuntutan daripada komponen BN sendiri terutamanya MCA mengenai kesamarataan ekonomi dan UMNO tidak harus selama-lamanya menjadi “abang besar” dalam BN langsung tidak mendapat bantahan daripada Najib. Beliau hanya berdiam diri saja walaupun ia amat menyinggung perasaan orang Melayu,” petik kata Shahbudin.
Shahbudin juga mendakwa tindakan Najib juga memansuhkan ISA dan Ordinan Darurat untuk menunjukkan sikap liberal dan toleransinya menimbulkan kebimbangan dalam kelompok Melayu sendiri. “Dari sinilah lahir dan mendapat tempatnya pelbagai NGO seperti Perkasa, Isma, Jati dan lain-lainnya atas nama menjaga kepentingan Melayu dan Islam,” katanya.
“Akta Hasutan juga pernah dijanji untuk dimansuhkannya, tetapi ditarik balik kemudiannya kerana mendapat bantahan yang meluas daripada golongan kanan dalam parti dan kerajaan.

No comments: