Tuesday, June 2, 2015


Ahmad Awang yang nekad


Katakanlah Ahmad bin Awang menumpaskan anak Awang yang seorang lagi untuk jawatan Presiden bagi PAS pada minggu ini, apakah nafas baharu yang akan dibawa untuk parti berteras agama tersebut?

Itu satu soalan yang ditanyakan kepadaku awal minggu lalu.

Aku membalas, “Maaf untuk mendukacitakan kalian. Ahmad Awang, jikapun menang dan menduduki kerusi presiden bagi parti tersebut tidak akan membawa banyak perubahan. Ukuran ini dilihat menerusi prestasi beliau ketika memimpin Persatuan Ulama selaku yang dipertua.”

Untuk si penyoal, jawapanku yang berterus terang itu sungguh menghampakannya. Di saat dia ingin mencari udara segar dengan mengenepikan Haji Abdul Hadi Awang, Ahmad Awang bukanlah pilihan yang menurutku benar-benar menarik dan unik. Aku menunjukkan sekeping foto yang aku sendiri ketik pada 28 Julai 2006.

Si penyoal melongo kerana melihat tampang semua pemimpin PAS dalam satu demonstrasi anti-Zionis sempena Perang Musim Panas di Lubnan. Ada Abdul Hadi, Ahmad Awang, Nasharuddin Mat Isa, Dr Syed Azman, Mohamad Sabu dan ramai lagi.

Aku menambah, “Untuk peminat Hassan al Banna, ada satu terma yang beliau gunakan untuk ulama iaitu 'tsabat'. Mungkin bezanya adalah seorang dari pesisir laut, dan seorang dari kaki gunung.

Aku percaya seorang ulama yang tumbuh dari lingkungan geografinya seperti pergunungan atau banjaran, akan lebih komited atau tsabat dalam pendiriannya. Ini kurang diperolehi dari ulama yang bertunas dari lingkungan laut dan pantai. Itu cuma pendapat aku.”

Tsabat, nekad, komitmen

Mungkin kata-kata Ibnu ‘Athaillah As Sakandary dapat menjelaskan apa yang dinamakan tsabat: “Barang siapa yang menggali telaga lalu berpindah pada tempat yang lain untuk menggali lagi dan seterusnya berpindah lagi maka selamanya ia tidak akan menemui air dari lubang yang ia gali. Tapi bila kamu telah menggali lubang, galilah terus hingga kamu dapatkan air darinya meskipun amat meletihkan’.

Jadi adakah aku ingin mengatakan Ahmad Awang lebih tsabat berbanding Abdul Hadi Awang? Kedua-dua ulama ini tumbuh dari lingkungan atau dunia yang tidak cukup kreatif untuk mengisi kebangkitan Islam.

Kita misalnya tidak dapat mengingat apa sumbangan Abdul Hadi Awang selaku menteri besar Terengganu antara tahun 1999-2004. Beliau tidak menonjolkan apa-apa yang signifikan untuk menjelmakan gerakan Islam di Malaysia sebagai model atau contoh dalam tempoh tersebut.

Suka atau tidak, si penyoal tadi harus menerima hakikat bahawa kegersangan kepimpinan Abdul Hadi Awang membawa kepada kejatuhan PAS di Trengganu setelah hanya satu penggal memerintah.

Terdapat banyak kajian dan analisis akademik yang menunjukkan PAS salah langkah pada tahun 2004 dan kembali salah langkah sejak akhir-akhir ini.

Sebagai contoh, dalam satu kertas ilmiah beliau yang penting, ‘The Umno-PAS Struggle: Analysis of PAS’ Defeat in 2004’, temanku Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia telah mengungkapkan kelalaian PAS dan sikap perasan PAS bahawa mereka mampu berkuasa tanpa mempedulikan kumpulan bukan Islam dan umat Islam yang dianggap sekular.

Abdul Hadi tak nampak sederhana

Fauzi menulis, setelah kemenangan pada tahun 1999, PAS kurang sedar bahawa undi yang diberi kepada parti tersebut (dan Barisan Alternatif ketika itu) bukan kerana keinginan kepada Islam jalur fundamental yang mereka bawa tetapi kerana keinginan untuk mengecap angin lain dari Umno atau BN di samping rakyat yang kebuluran alternatif:

As the 11th general elections neared, PAS’ spokesmen became ever more convinced that Malaysia was on her way to becoming an Islamic state by means of states within the Malaysian federation falling one by one in a domino-like fashion to PAS in consecutive elections.

In fact, PAS proclaimed their confidence in conquering the Malay heartland in the northern belt of Peninsular Malaysia, comprising the states of Terengganu, Kelantan, Kedah and Perlis. For them, PAS’s methods had been verified. PAS did not acknowledge that its commendable performance in 1999 might have been due to the understanding effected with its secular and non-Muslim counterparts in BA.

In other words, the improvement in votes for PAS was indicative of the people’s hunger for social and political reform, which UMNO and BN had failed to deliver. Participation in the BA alliance had positively improved PAS’s image from a rural-based fundamentalist party to a broad-based reformist party commanding the confidence of the young, the middle-class and the professionals.

PAS’s misinterpretation of its rise in support as an endorsement for its juridical brand of Islam was misplaced and was to cost it heavily in 2004.


Selain langkah yang salah dan tidak tsabat tersebut, PAS mengalami penderitaan akibat kehilangan presiden yang jauh lebih berwawasan iaitu Fadzil Noor. Citra Abdul Hadi tidak terlihat sederhana dan kebangkitan u-turn kumpulan konservatif dalam PAS memburukkan keadaan yang sedia buruk.

Ahmad Fauzi mengulas perkara tersebut dalam bab yang termuat dalam ‘Malaysia: Recent Trends and Challenges’ (2006) di perenggan berikut:

Following Fadzil Noor’s death, Abdul Hadi Awang, the deputy president-cum-chief minister of Terengganu, took over the duties as party president. But Abdul Hadi’s image as a fiery and radical firebrand worsened PAS’s reputation among non-Muslims and moderate Malay-Muslims.

That Abdul Hadi would steer PAS away from an accommodating approach in multi-ethnic cooperative politics towards a decidedly uncompromising stance in pursuit of its Islamic state dream, seemed to have been confirmed by the 49th PAS general assembly in 2003, which officially installed Abdul Hadi as president, and elected Senator Hassan Shukri in favour of lawyer Mustafa Ali as PAS’s deputy president.

Hassan was practically the representative of the conservative ulama, while Mustafa was believed to have commanded the support of the fast emerging professionals.

One would have thought that Mustafa’s sophisticated image and political experience at state level would nicely balance Abdul Hadi’s clerical style, but despite the upcoming role of professionals in the party, it was clear that its rank and file was not ready to dispense with the concept of “ulama leadership”. In terms of furthering its electoral prospects, the consequences were disastrous.


Ahmad kurang visi, idea

Jika prestasi Abdul Hadi dinilai buruk, dari segi rekod kepimpinan, Ahmad Awang juga tidak banyak yang dapat dibanggakan khusus ketika beliau menjawat yang dipertua Persatuan Ulama.

Akan tetapi untuk bersikap adil, oleh kerana Ahmad Awang belum pernah diberi tugas sebesar ini (katakan beliau menewaskan Abdul Hadi), iaitu selaku presiden untuk sebuah parti politik berteras agama, makanya penilaian ini dapat dikatakan kurang lengkap. Namun, faktor tsabat masih boleh dijadikan parameter kajian.

Aku pernah membaca majalah Dunia Islam edisi 15 April 1991 yang menonjolkan Ahmad Awang. Membaca wawancara majalah tersebut dengan Ahmad Awang ternyata beliau kekurangan visi dan strategi untuk membawa ulama.

Misalnya apabila ditanyakan apakah perubahan strategi yang perlu ada dalam Persatuan Ulama, Ahmad Awang secara terawang-awang memberi tiga strategi yang ternyata bukan strategi iaitu pertama, ‘membina kesedaran umat untuk memahami Islam sebagai ad-deen yang syumul’; kedua, ‘memperluaskan media Islam sebagai alat untuk menyebar kefahaman Islam’ dan ketiga; adalah ‘berusaha semampu boleh untuk menarik sebanyak mungkin organisasi Islam’ dekat dengan Persatuan Ulama.

Retorik dakwah yang terserlah di atas menjadi lebih menggagau apabila editorial Dunia Islam menanyakan apakah usaha yang dilakukan oleh Persatuan Ulama untuk meningkatkan hubungan dengan intelektual Islam.

Ahmad Awang selaku ketua organisasi tersebut mengatakan: “Hari ini ada persatuan intelektual Islam yang bersifat haraki. Kita harap mereka akan bersedia bekerjasama dengan kita.

"Tetapi hingga kini kita belum dapat menjalin hubungan dengan pertubuhan tersebut. Kita harap tidak ada halangan untuk mereka bekerjasama dengan kita.” 

Seterusnya, yang dipertua Persatuan Ulama itu diminta menjelaskan apakah prestasi badan dakwah yang ada di negara ini. Beliau memberi jawapan antara lain:

“Insya-Allah Persatuan Ulama akan mengadakan satu seminar yang bertema ke arah menentang kemungkaran. Kita akan jemput semua badan-badan dakwah untuk terlibat sama.”

Tidak ada apa-apa yang kreatif dan progresif pada visi dan idea Ahmad Awang di atas. Mungkin wawancara itu dijalankan dalam keadaan beliau amat tidak bersedia.

Mungkin dekati PKR, DAP

Jika ditelusuri satu dua tulisan beliau untuk memahami apa yang ingin dibawa, gagasan beliau masih beredar di orbit yang abstrak sekali. Ini misalnya terlihat dalam kertas persidangan beliau pada tahun 1999 berjudul, ‘Ulama dan Peranannya Dalam Masyarakat di Malaysia’.

Namun demikian, untuk bersifat adil, dalam kertas itu Ahmad Awang menyatakan ikrar untuk “mendekati orang bukan Islam, khususnya, menyampaikan dakwah kepada mereka dengan penuh hikmah”.

Beliau menegaskan: “Tugas ini sangat mencabar. Saya meletakkan tugas paling utama ulama mendekati orang bukan Islam ini disebabkan wilayah ini jarang sekali, ataupun tidak pernah diterokai oleh para pendakwah kita, sehingga mereka terdedah kepada pelbagai kekeliruan dan tanggapan salah terhadap Islam.”

Ada kemungkinan Ahmad Awang tsabat dengan ikrar beliau di atas. Meskipun tidak dinyatakan strategi dalam tulisan beliau yang dikarang pada tahun 1999 itu, ada keberangkalian mendekati parti DAP dan PKR atas nama Pakatan Rakyat adalah strategi beliau.

Jika ini benar, ternyata Ahmad Awang tsabat dengan perjuangan beliau dan komited dengan cara kerjanya. Meskipun pendekatan yang ingin dibawa oleh beliau itu tidak digariskan dengan jelas dan utuh tetapi sedikit sebanyak ia dapat ditelah dan diberi markah.

Ahmad Awang mungkin kekurangan idea dan strategi. Akan tetapi dalam situasi PAS mengalami konflik internal ekoran ta’adud qiyadah (dualisme kepemimpinan) dan ta’adud taujihat (rencam sumber–sumber arahan) beliau memberanikan diri di usia lanjut untuk berkeras dengan pendapatnya demi kebenaran yang dipegang.

Dalam keadaan yang mungkin tumpas, dan terluka; sekali lagi ditekankan fakta ini, iaitu dalam usia beliau yang emas itu, beliau kekal bekerja (‘amil), dan kini cuba-cuba menjadi pemikir (mufakkir).

Kita telah melihat Ahmad Awang sebagai orang yang berani (jar’i) dengan menawarkan diri menentang Abdul Hadi, dan produktif (muntij) iaitu memulakan inisiatif kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak pada 2008.

Kesan buruk khianat

Usaha itu menjadikan Pakatan Rakyat di Perak berkuasa sejenak dengan agak bergaya. Itu satu lagi tanda-tanda beliau tsabat. Jika aku, dalam usia demikian aku ingin sahaja berehat di rumah bermain dengan cucu-cicit.

Tetapi Ahmad Awang ingin membetulkan keadaan menurut hemat beliau. Ini satu sebab kita boleh mengangkat topi (atau ketayap) tanda hormat.

Memang Abdul Hadi dan Ahmad tumbuh daripada konsep yang turut terawang-awang iaitu Islam konservatif. Akan tetapi tsabat atau tidak dapat menjadi ukuran nyata dan jelas di hadapan mata.

Meskipun tidak terlihat banyak idea, Ahmad terlihat jujur dan ikhlas. Jika cuba diingat, dia tidak ada sejarah melakukan khianat.

Dalam Islam, dosa paling besar adalah khianat. Iblis diusir kerana khianat. Tragedi Qabil Habil kerana khianat. Munafikin dikecam Nabi kerana khianat. Saidina Ali dibunuh kerana khianat.

Saidina Hussein dibunuh ‘Islam Istana’ kerana khianat. Othmaniyyah jatuh antara lain kerana khianat. Legasi almarhum Fadzil Nor terguris lagi tercalar teruk kerana khianat.

Si penyoal di awal kembali bertanyakan kepada aku, “Apakah yang Ahmad Awang perlu lakukan, yakni apakah pendekatan dan strategi untuk menjadikan PAS sebuah parti Islam canggih yang kini kemerosotan pengaruh dan dukungan?”

Aku tersenyum, “Jika menang?”

“Ya. Jika PAS bertukar Presiden.”

Ahmad Awang perlu meneliti ketokohan dan jejak Gus Dur.

“Apakah jejak Gus Dur?,” Tanya pendokong PAS tegar tersebut.

Aku senyum. “Akan aku kongsikan denganmu jika Ahmad menang. Jika menang...jikalau menang.”

Si penyoal itu bersahut. “Mudah-mudahan.”

No comments: