Tuesday, June 9, 2015

Di Petik Dari Sumber


Guan Eng Desak Wakil Pas Letak Jawatan Kerana Kecewa Dan Malu Sendiri

Bekas Setiausaha Pas Negeri Selangor, Ustaz Norman Toha berkata, tindakan Lim Guan Eng yang meminta wakil Pas di dalam kerajaan negeri Pulau Pinang meletakkan jawatan merupakan tindak balas untuk menutup malu dirinya sendiri apabila kepimpinan Pas yang pro kepada Dap kalah teruk dalam pemilihan yang berlangsung pada muktamar parti tersebut baru-baru ini.
Katanya, Lim Guan Eng mungkin sudah putus harapan dan kecewa dengan kepimpinan baru Pas yang jelas tidak lagi boleh diperkotak-katikkan oleh Dap sepertimana kepimpinan Pas pusat sebelum ini.
Lim Kit Siang  Lim Guan Eng
“Saya berpandangan desakan Guan Eng supaya wakil Pas dalam kerajaan negeri Pulau Pinang agar meletakkan jawatan adalah akibat rasa malu beliau ekoran kegagalan misinya untuk mempengaruhi akar umbi Pas memberikan kemenangan kepada saf kepimpinan yang beliau mahukan.
“Kita semua sudah sedia maklum bahawa kepimpinan Dap cuba memainkan peranan dalam pemilihan muktamar baru-baru ini, berdasarkan kepada kenyataan dan ucapannya yang seolah-olah membantu kempen barisan kepimpinan yang pro Dap di dalam pemilihan kali ini.
“Dan ekoran kegagalan dan kekalahan yang teruk barisan kepimpinan Pas yang menjadi pilihan Dap, maka atas dasar kecewa dan malu sendiri maka Guan Eng mendesak wakil Pas di Pulau Pinang untuk meletakkan jawatan sebagai satu hukuman atau balas dendam terhadap Pas ekoran keputusan pemilihan yang memihak kepada golongan pro ulama,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Sementara itu, di dalam perkembangan terbaru berhubung ketetapan Pas yang tetap mahu bersama Pakatan Pembangkang, beliau menjangkakan ada kemungkinan Dap yang tidak akan bertahan lama di dalam pakatan tersebut.
“Jika Pas terus berkeras mahu kekal di dalam Pakatan Pembangkang, tidak mustahil Dap yang akan mengambil tindakan untuk keluar dari pakatan. Ini berdasarkan sejarah yang pernah berlaku pada tahun 2003 di mana Dap akhirnya mengambil keputusan untuk keluar daripada Barisan Alternatif kerana tidak setuju dengan matlamat Negara Islam Pas.
“Ini kita boleh lihat dengan kenyataan dari kepimpinan Dap yang seolah-olah menganggap mereka mampu untuk mendapat sokongan rakyat, khususnya bangsa Melayu tanpa bantuan daripada Pas sekali pun.
“Dan berdasarkan itu adalah tidak mustahil sejarah 2003 itu boleh berulang kembali. Ini memandangkan pendirian PKR terhadap Pas masih lagi samar-samar dan ada kemungkinan besar  PKR akan tetap menjalinkan hubungan dengan Pas untuk survival politik mereka, sekiranya Dap mengambil keputusan keluar dari pakatan pembangkang,” ujarnya.-MediaUMNO

No comments: