Tuesday, January 5, 2010



Pulih otot


Jika kita terbiasa menghabiskan masa lebih lima jam menghadap komputer setiap hari, tubuh kita cenderung membongkok dan terbawa-bawa dalam aktiviti seharian seperti menonton televisyen, membaca dan makan.


Kala usia makin meningkat, keadaan tubuh kita mula dipengaruhi tarikan graviti hingga akhirnya kita merasakan diri makin rendah, kecil dan tenggelam.


Menurut pemilik Nubody Pilates, Melissa Zecha, senaman pilates berupaya memperbaiki postur tubuh dan membantu mengurangkan kekenduran otot secara konsisten.


“Pilates sering disamakan dengan yoga kerana ada beberapa pergerakan hampir sama dalam kedua-dua senaman itu.


“Namun, wujud perbezaan besar yang mana berbanding yoga, pilates lebih menumpukan kepada pergerakan kecil bagi setiap otot tubuh dan lebih mudah.


“Senaman pilates juga disertai peralatan mesin yang membantu meningkatkan tahap keupayaan otot secara berasingan. Pilates menggunakan pendekatan Barat, jadi ia lebih teknikal,” katanya ketika ditemui di Damansara Heights, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Tambah Melissa, pilates turut membantu membentuk serta memperbaiki semula struktur tubuh dengan hanya beberapa pergerakan mudah seperti hayunan tangan dan bahu.


“Pilates merangkumi senaman untuk memperbaiki postur tubuh dengan cara yang mudah fahami.


Ia memerlukan kita meregang, memanjang dan menganjalkan tubuh serta mempelajari kaedah menggunakan otot antigraviti, sekali gus memperkuatkan bahagian torso.


“Misalnya jika seseorang mengalami ketegangan di bahu dan tengkuk, cuma berdiri dan sandarkan badan pada diri lalu hayunkan tangan secara membulat dan berperingkat.


“Bahu diturunkan, kemudian siku dan seterusnya lengan.


Hayunkan tangan ke atas dan sekali lagi turunkan bahu, siku serta lengan ketika menjatuhkan tangan.


“Nampak mudah tapi sebenarnya ramai antara kita tidak tahu bagaimana untuk menurunkan bahu terlebih dulu. Itu yang membuatkan kita sering rasa tegang di kawasan itu ketika mengangkat barang atau membuat kerja yang banyak menggunakan bebanan tangan.


“Menariknya, ada unsur gimnastik dalam beberapa pergerakan pilates untuk meningkatkan fleksibiliti tubuh dan ia tidak sukar untuk dipraktikkan,” katanya.


Menolak tanggapan pilates hanya untuk seseorang yang mahu menjaga bentuk badan, Melissa menyifatkan ia senaman yang selamat untuk pesakit bermasalah di bahagian belakang yang selesai menjalani pembedahan.


“Pilates sesuai untuk warga tua yang mengalami lemah kaki dan tangan, juga untuk pesakit angin ahmar.


“Ia turut selamat diamalkan untuk wanita mengandung dan pesakit yang pernah menjalani pembedahan belakang kerana tidak memberi tekanan kepada kesan pembedahan itu.


“Senaman ini digunakan secara meluas sebagai salah satu cara dalam proses pemulihan disebabkan pergerakannya yang tidak sukar dan membebankan,” katanya.

No comments: