Tuesday, March 30, 2010

Free Malaysia Today – Bahasa Melayu 





Tumbuh NGO Melayu sebab Umno lemah – Dr Mahathir

mahathir-mohamadKUALA LUMPUR: Kemunculan semakin banyak badan bukan kerajaan (NGO) Melayu adalah disebabkan Umno, parti yang diharapkan memperjuangkan hak orang Melayu, semakin lemah.
"Wujudnya banyak NGO Melayu kerana terhakisnya kepercayaan terhadap Umno untuk melindungi kepentingan mereka," kata mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad ketika merasmikan mesyuarat agung pertama Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) di sini hari ini.
Beliau berkata, mereka (orang-orang Melayu) berpendapat Umno tidak dapat melindungi hak mereka. Oleh itu mereka harus melindungi diri mereka sendiri. Mereka sepatutnya merujuk kepada Umno tapi Umno tubuh kerajaan yang lemah.
"Oleh itu, Umno harus mendengar keluhan dan rintihan kumpulan seperti ini," kata beliau sambil merujuk kepada ahli-ahli PERKASA yang hadir seramai kira-kira 5,000 orang, yang dipercayai kebanyakannya terdiri daripada ahli Umno.
Dr Mahathir berkata, para pemimpin sekarang perlu mendengar kelompok NGO-NGO seperti ini seperti mana kerajaan sekarang mendengar keluhan dan desakan daripada golongan-golongan lain.
"Saya bukan rasis" (tajuk kecil) Beliau yang dituduh sebagai rasis oleh segolongan masyarakat berkata,pada hakikatnya Umno tidak sekuat ketika zaman Tuanku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan zamannya.
Sambil menenempelak golongan yang menuduh beliau rasis, Dr Mahathir berkata, "tidak benar jika kita kata orang-orang Melayu membolot semuanya untuk mereka sahaja."
"DEB (Dasar Ekonomi Baru) bukannya mengambil hak bukan Melayu dan diberi kepada orang-orang Melayu. Apa yang ada kita besarkan kek ekonomi…. yang kita besarkan ini kita beri kepada orang-orang Melayu dan kaum Bumiputera yang lain.
"Sila buat kajian menunjukkan apa yang saya kata ini salah.  Saya bukan rasis…..saya ‘Malaysian’ dan saya ingin bantu Melayu," ujar beliau.
Katannya, "kalau kita lihat rumah-rumah sebesar istana di sekitar Kuala Lumpur ini, adakah rumah-rumah ini milik orang Melayu.
Kalau ada pun, dua tiga buah sahaja.  Itu pun lambat laun mereka akan menjualnya.
Dr Mahathir berkata, "mereka tuduh ada diskriminasi dalam DEB.
Golongan yang miskin, kaum mana?  Jangan buat tuduhan dan dilemparkan kepada orang-orang Melayu.  Sila buat banci.
Beliau berharap PERKASA sebagai sebuah badan NGO, tidak bertindak ganas dan keterlaluan serta perlu melihat supaya dilaksanakan keadilan kepada semua kaum.
"Saya percaya apabila parti (Umno) kembali kuat, maka pada ketika itu nanti kita tidak perlu kepada kewujudan PERKASA lagi, termasuk NGO-NGO Melayu yang lain," jelas beliau

No comments: