Thursday, September 3, 2015

Di Petik Dari Sumber



BERSIH 5 - LE GRANDE FINALE



Bersih 4 baru berjaya selesai. Tapi  hari ini sekali lagi saya membawa ayat-ayat songsang. Sekali lagi saya membawa ayat-ayat sesat. Sekali lagi saya membawa berita buruk. Najib TIDAK akan berundur. Kemusnahan negara ini akan berterusan. Ini hakikat.

Sebenarnya dari fakta sejarah - sayalah sosok yang seharusnya bergumbira dengan Bersih4.  Seharusnya saya merayakan satu kejayaan pribadi.



Pada tahun 1998 - lebih tepat lagi pada petang Sabtu 24 Oktober 1998 - lebih kurang jam 5.00 petang saya telah ditangkap disebelah bangunan Pertama Komplek Jalan Tunku Abdul Rahman. Saya dibawa ke rumah pasong Dang Wangi untuk ditahan. Kamera SLR Nikon AE saya  telah dirampas sahingga  hari ini TIDAK dipulangkan.



Esoknya - pagi Ahad 25 Oktober 1998 - saya telah dibawa ke PULAPOL di Jalan Semarak. Disana saya dikumpulkan dengan puluhan lagi penunjukan perasaan yang kelihatan telah ‘ dibelasah’. Ramai yang kelihatan cedera, bengkak-bengkak dan kelihatan berdarah dan luka yang telah kering. Dalam sejarah - ini adalah - Malam Reformasi Kampong Baru.



Pada Ahad 25 Oktober 1998  induk berita muka depan Mingguan Malaysia - ada kenyatan  resmi Perdana Menteri Mahathir Muhamad  yang mengumumkan kepada seluruh dunia bahawa DALANG DEMONSTRASI  yang menyokong Anwar Ibrahim telah berjaya ditangkap. Dalang yang dimaksudkan oleh Mahathir Muhamad ialah  Hishamuddin Rais. Ini terpampang di muka depan Mingguan Malaysia.



Pada ketika itu saya bukan dalang. Tetapi saya memang memiliki pandangan dan garis politik yang mengajukan tunjuk perasaan jalan raya sebagai wadah politik. 



Demonstrasi membantah pemenjaraan Anwar Ibrahim diteruskan. Dari segi fakta sejarah - saya terlibat  secara langsung menyusun dan mengatur gerakan menentang Mahathir dan United Malays National Organisation. Akhirnya - Mahathir Muhamad menahan saya dibawah ISA pada tahun 2001.



Pada era ini Mahathir Muhamad adalah Perdana Menteri. Dia  telah berkali-kali membuat kenyataan: DemonstrasiBUKAN budaya kita. Demonstrasi adalah budaya asing.



Mahathir Muhamad  juga memperlekeh Gerakan Pelajar Demo Baling 1974. Garis Mahathir - demo bukan budaya kita  - telah disambut oleh tukang bodek dan tukang cari kontrek untuk menjadi naratif nasional.  Tetapi Hishamuddin Rais meneruskan garis politik jalan raya tanpa henti-henti.



Akhirnya  pada Sabtu 29 Ogos 2015 jam 7.37 petang Mahathir Muhamad telah datang turun ke persimpangan Jalan Tun Perak dengan Jalan Raja Laut. Mahathir telah turun ke jalan raya.



Mahathir muncul untuk memberi sokong kepada Bersih4. Sebelum ini  Mahathir telah ada dilaporkan berkata bahawa demo ialah adalah jalan akhir untuk menjatuhkan Najib.



Hakikatnya  garis politik jalan raya Hishamuddin Rais telah berjaya. Jalan raya  kini telah menjadi budaya politik Malaysia. Hakikatnya Mahathir  Muhamad kini tunduk dan akur dan mengikut jejak langkah Hishamuddin Rais.

Ini kemenangan pribadi untuk saya. Tetapi  politik jalan raya bukan tentang kemenangan pribadi. Politik jalan raya ialah satu pendekatan untuk menumbangkan kezaliman  dan menegakkan keadilan.



Justeru  bukan kemenangan pribadi  yang hendak saya rayakan. Saya mahu menganalisa  dan mencari sebab musabab kenapa Mahathir Muhamad akhirnya menerima politik jalan raya - yang satu ketika dahulu amat-amat dibenci.  



Pada hemat saya Mahathir memiliki maklumat-maklumat  dalaman yang amat tepat. Contohnya - bekas pegawai  number dua Cawangan Khas PDRM amat-amat setia kepada Mahathir. Pastilah Mahathir  mendapat maklumat tepat lagi tuntas. Pastilah Mahathir mendapat penerangan dari masa ke  masa tentang apa yang sedang berlaku dalam negara. 



Berpandukan maklumat ini Mahathir kini  cukup yakin Mohd  Najib bin Abdul Razak TIDAK akan  meletakan jawatan. Najib akan meneruskan kuasanya. Malah Mahathir kini yakin Najib akan memanggil pilihanraya dalam masa terdekat.



Saya juga menerima hakikat bahawa  Najib TIDAK akan berundur. Datanglah apa sahaja - Najib akan terus berkuasa.  Untuk memperkukuhkan dan menghalalkan kuasa maka Najib akan menggunakan  PRU14. 



Saya cukup yakin dalam PRU14 ini United Malays National Organisation  dan Najib  akan mendapat kemenangan yang amat cemerlang - land slide victory - kemenangan tanah runtuh. Saya juga yakin Najib akan mendapat kembali sokongan dua par tiga dalam Parlimen. 



Apabila kemenangan PRU14 berlaku maka Najib Razak dengan angkuh dan bangga  akan berkata kepada Mahathir Muhamad  ‘ ...$#@! You Mahathir....lihat aku dapat sokongan majoriti rakyat... Kamu nak cakap apa..’



Sedar bahawa ayat-ayat ini akan dihamburkan oleh Najib  sesudah PRU14 maka Mahathir sanggup turun dua kali ke jalan raya untuk memberi sokongan kepada para penunjuk perasaan. Mahathir hanya berkata - teruskan lagi!



Kemenangan besar gerombolan bani Ketuanan  Melayu dalam PRU14 ini akan diheboh-hebohkan sebagai kejayaaan pimpinan Najib Razak. Kemenangan besar dalam PRU14 ini akan digunakan untuk menutup semua mulut pengkritik Najib Razak.



Maka akan dikeluarkan hujah kenapa  United Malaya National Organisation menang besar dalam PRU14. Pertama: kerana Pakatan Rakyat tidak wujud. Kedua: Kerana parti Pas telah pecah. Ketiga: Kerana dalam PKR tanpa Anwar dan ada jalur pandangan yang berterlagah. Keempat: Kerana tidak ada kerjasama antara parti pembangkang. Kelima: Kerana orang  Melayu sedar jika mereka tidak sokong parti Ketuanan Melayu maka parti Cina DAP akan berkuasa.



Hujah ini akan dijaja ke hulu ke hilir  sebagai  naratif politik untuk memperlihatkan keunggulan dan ketrampilan pimpinan sosok yang bernama Najib Razak.



Apakah kemenangaan ini betul? Sebenarnya TIDAK. Semua ini adalah  dongeng.



Yang tepat dalam PRU14 nanti gerombolan  parti Ketuanan Melayu akan menang besar. Yang betul  United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya akan terus berkuasa. Yang tepat dan betul ialah Rosmah Mansor akan terus mengendalikan negara.



Dari sekarang saya beri tahu bahawa  kemenangan Najib  Razak dalam PRU14 nanti adalah hasil penipuan. Lagi besar kemenangan yang dicapai lagi besar penipuan. Lagi banyak undi diterima lagi licik penipuan.



Ini bukan fitnah. Apa yang saya lakar ini  berasaskan fakta  dan babak politik yang telah terjadi.  Apabila saya berkata dalam PRU14 Najib  akan menang besar adalah satu pandangan yang saintifik - yang berasaskan data dan maklumat.



Fakta dan data telah muncul bagaimana Najib  dikatakan akan mendapat surat dakwaan  kes pecah amanah. Surat dakwaan telah disiapkan oleh Peguam Negara dan hanya menunggu masa untuk diserahkan kepada Najib. Ini kes penyaluran duit sebanyak 42 juta ringgit dari Syarikat SRC International Sdn Bhd masuk ke dalam akaun pribadi Najib.



Sebelum surat dakwaan sampai Najib telah ‘menerajang senyap’ Peguam Negara. Najib memandulkan Badan Petugas Khas Parlimen dengan mengambil 4 anggota badan ini  untuk jadi Menteri. 



Saterusnya - Najib memaksa Ketua Pengarah SPRM Abu Kassim Muhamad terbang ke Amerika untuk dipotong buah pinggang - atas nama cuti berehat.  Seramai 4 orang saksi penting telah diatur untuk menghilangkan diri. Ini bukan fitnah. Ini fakta sejarah.



Jika semua ini boleh dilakukan oleh Najib Razak tanpa menghitungkan salah benar. Tanpa mengambil kira hukum hakam. Semua  ini dilakukan hanya untuk memastikan Rosmah Mansor akan terus menjadi teraju utama negara ini.



Maka mustahil Najib tidak boleh mengarahkan Suruhanjaya Pilihan  Raya untuk bersedia dari sekarang. Arahan yang cukup senang bunyinya - ‘PM mahu menang besar’. 



Mustahil ahli Lembaga SPR berani mengengkari arahan Najib. Pasti mereka  sayangkan buah pinggang dan tidak mahu dipaksa pergi bercuti  ke Amerika. Ini hakikat. Ini bukan fitnah.


Justeru - diatas kesedaran inilah maka Mahathir Muhamad sanggup menjilat air ludahnya dan mengikut mashab Hishamuddin Rais turun ke jalan raya sebelum ke pilihan raya.



Mahathir pasti dapat melihat langkah dan tindakan  yang akan diambil oleh Najib. Dia bekas PM selama 22 tahun. Mahathir tahu peranan semua alat dan jentera daulah. Mahathir tahu bagaimana semua jentera  boleh digunakan.  Mahathir kenal hati perut dan saikoloji penjawat awam dari Tan  Seri hinggalah ke pencuci lantai. Mahathir tahu juga sikap feudal dan kebebalan fikrah ahli United Malays National Organisation.  Malah wujudiah kekebalan Najib hari ini adalah hasil kerja Mahathir sendiri.



Kebelakangan ini Mahathir telah  menyebut beberapa kali tentang pilihanraya. Malah pada petang Sabtu Bersih4 - Mahathir telah meminta pengundi kawasan Pekan untuk TIDAK lagi mengundi Najib.  Dalam masa yang sama pada hari kedua Bersih4 - Zahid Hamidi pula telah berkata agar parti-parti komponen BN bersedia untuk menghadapi PRU14.



Satelah memerhatikan semua ini  dan  selesai sahaja Bersih4 - saya berani berkata bahawa PRU14 akan menjadi titik tolak sejarah pilihanraya. PRU14 ini nanti akan berjalan dengan penuh penipuan terancang.



Bersih pernah membuktikan penipuan melalui Tribunal Pilihan Raya yang dibuat sesudah PRU13.  Expose - pembocoran berita dari Wall Street Journal - telah membuktikan bagaimana duit sebanyak 2.6 bilion ringgit masuk untuk ‘ menipu’ PRU13. Hanya sekarang ianya terbocor. Ini  penipuan yang terbocor - berapa banyak lagi penipuan  yang  kita tidak akan tahu.



Secara terbuka saya katakan bahawa  penipuan yang amat-amat besar sedang dirancang untuk PRU14. Pemimpin United Malays National Organisation sedar  bahawa Najib dan Rosmah adalah dua biawak hidup yang wajib mereka pikul.



Beban memikul biawak  hidup ini ialah kekalahan dan kemusnahan parti United Malays National Organisation.  Pemimpin parti Ketuanan Melayu  sedar bahawa dua ekor biawak hidup ini TIDAK akan  mengundur. Justeru - untuk sama-sama selamat - kuasa wajib terus dipegang. Dalam PRU14 kuasa saperti dalam semua PRU hanya didapati  melalui penipuan undi. Kali ini bezanya dalam PRU14 - penipuan mega kan dijalankan.



Jika PRU14 adil dan Bersih - Pakatan Rakyat Perjuangan ( PKR-DAP-HARAPAN BARU) akan mengambil alih Putrajaya. Tetapi ini TIDAK akan berlaku.


Kepada para politikus dalam PKR, DAP, PAS, HARAPAN BARU - sila jangan ada ilusi untuk  menang dalam PRU14.  Semua akan lungkup hangus dipukul oleh Najib Razak.



Maka  pada petang dan malam keputusan PRU14 diumumkan secara sepontan BERSIH5 akan meledak. 



BERSIH5 adalah ledakan spontan rakyat tanpa  memerlukan Ambiga, Pak Samad, Mat Sabu,  Maria Chin, Tian Chua, Hishamuddin Rais mahu pun Mahathir Muhamad. Kemarahan rakyat telah sampai ke hulu hati. 



BERSIH5 adalah  ‘le grande finale ' - ledakan kemarahan rakyat spontan kerana  mereka tidak mahu lagi terus ditipu. Anak muda wajib bersedia dari sekarang.(TT)



NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45

No comments: