Friday, September 18, 2015


Mohd Zazrie Hardy
📌 PAS ITU KUAT KERANA KEKUATAN ISLAM 📌

Saya tidak pernah mengalami situasi krisis begini, walaupun saya sempat bertentang mata dengan Allahyarham Tuan Guru Haji Yusof Rawa, Allahyarham Ustaz Fadhil Nor dan kini Dato' Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang dan berkesempatan menatap HARAKAH zaman keluaran tulisan jawi, mungkin masa tu saya remaja lagi, tak ambil tahu sangat pasal krisis kepimpinan, bila saya membaca tulisan Hj Subky Latif saya dapati ada juga berlaku krisis namun itu semua berlaku di zaman yang saya tak ambil tahu pasal kepimpinan, tahunya menampal poster, pasang bendera, panjat tiang letrik, pokok kelapa, dengar ceramah dan merutini kerja-kerja bertaraf kuli.

Sepanjang menyelusuri zaman tersebut saya melihat secara zahir keikhlasan para 'amilin PAS, bertungkus lumus bekerja tanpa balasan dunia, namun apa yang didalam hati mereka, hanya Allah سبحانه وتعالى yang mengetahui. Mereka sanggup korbankan harta, tenaga dan masa demi perjuangan, malahan ada yang terkorban dari kelangsungan rakusan kebencian hati UMNO kepada PAS. Semua ahli PAS jika ditanya, kenapa berada di dalam PAS, jawapannya hanya "kerana Islam", saya dewasa di dalam era kepimpinan Ulama', teruja dihayun gelombang Tarbiyyah ketika usia belasan tahun dan ketika berlakunya 'Fenomena Haji Hadi'.

Ahli PAS itu mahunya hanya Islam, mahunya hanya dipimpin oleh Ulama', kerana Ulama' itu pewaris Nabi صلى الله عليه وسلم . Kita sudah ketiadaan Nabi, maka mahunya ahli PAS, biarlah PAS ini dipimpin oleh warisNya iaitu Ulama', tetapi bukan pula menolak yang bukan Ulama', dari dulu pun, PAS dibangunkan bersama oleh golongan bukan Ulama', sama ada golongan profesional hinggalah golongan penganggur sekalipun. Apa yang ahli PAS nak, kalau dia bukan Ulama', biarlah dia golongan yang mencintai Ulama'. 'Kalau kamu tidak boleh menjadi Ulama', jadilah orang yang belajar dengan Ulama' atau jadilah orang yang membantu Ulama' atau jadilah orang yang cinta pada Ulama' dan jangan kamu jadi golongan kelima', inilah pesan para Ulama'.

Nak pisahkan Islam dan Ulama' dari PAS, macam nak pisahkan nyawa dari badan, samalah juga sepertinya tidak boleh berpisah Aqidah dan amalan, orang boleh berhujah macam-macam untuk keluar dari PAS, tetapi 'ahli tegar' PAS tak mungkin dipengaruhi, sebab mereka melihat Islam itu bukan sahaja dari sudut Aqidah, Tetapi juga amal, orang tak nampak Aqidah tetapi orang akan nampak terjemahannya iaitu amal. Amal itu akan dinilai, sebab itu bukalah parti apapun, amal itulah akan menjadi panduan dan hujah, amalan pula bukannya boleh dijadikan lakonan, kalau berlakon pun tak tahan lama, macam golongan munafik zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, lama-lama zahir juga lakonannya.

Kita boleh buka parti lain, tapi tak boleh buka pintu syurga, semua parti tak mampu membukanya termasuklah PAS, kerana itu milik Allah سبحانه وتعالى, Allah Ta'ala dah letak syarat untuk orang yang nak memasukinya iaitu "orang-orang yang beriman dan beramal soleh". Bagi ahli PAS kerja dalam parti itu adalah amal soleh, maka amal soleh itu mesti bertepatan dengan Aqidah dan hukum syarak, sebab itu kalau berlaku krisis dalam PAS, isunya mesti agama, antaranya isu hudud. Matlamat perjuangan PAS ialah menang dengan redha Allah سبحانه وتعالى, walaupun ada orang perli 'PAS tak nak menang, tapi nak redha Allah jer', ada juga sebut 'lebih baik PAS tak masuk politik, duduk masjid je untuk cari redha Allah je'.

PAS nak menang dengan keredhaan Allah سبحنه وتعالى sebab itu di sepanjang jalan perjuangan kita kena pelihara Aqidah dan pelihara amalan, Istiqamah dengan hukum syarak, kerana mati bila-bila je, mungkin belum sempat menang kita mati dulu, kerana itu kena sabar dalam mempertahankan agama, walaupun orang benci takpe, sebab Allah سبحانه وتعالى hanya redha pada Islam, maka kita mesti berada diatas jalan Islam meskipun orang benci kepada kita, sebab Islam itu tempat jatuhnya redha Allah سبحانه وتعالى. Orang PAS sabar menunggu kemenangan bersama keyakinan bahawa 'Islam pasti menang', walaupun ada orang tak suka kalimah ni, katanya kalimah ini adalah kalimah yang melambatkan kemenangan ditengah masyarakat majmuk sehingga ada yang menebas jalan pintas meskipun terpaksa "orait" kepada golongan yang tidak melihat hukum Islam itu sebagai hukum yang sangat adil.

Islam itu sifatnya sentiasa berkembang, cepat atau lambat bergantung kepada kesuburan tanahnya, kalau tanahnya subur dengan pusat pengajian, majlis ilmu dan ramainya Ulama', maka cepatlah kelopaknya berkembang, kalau kurang subur maka lambat lah kembangnya, tapi berkembang juga. Nak paksa kelopaknya terbuka sendiri tak boleh, ia mesti melalui proses semaian, pembajaan dan penjagaan, suburkan tanah itu dengan ilmu, maka kelopaknya akan cepat berkembang. Lalu bagaimana nak pisahkan Islam dan Ulama'? Jawapannya, pastinya tak boleh, sebab Ulama' itu penyubur kepada benih-benih Islam dan PAS itu berkembang dengan kesuburan Islam, di mana tempat kuatnya Majlis ilmu dan ramai Ulama'nya, maka di situlah 'kuatnya PAS'.

UMNO dah cuba nak hapuskan PAS sejaj puluhan tahun lagi, tapi tak pernah langsung berjaya, malahan semakin lama semakin berkembang, sebab sejarah telah membuktikan ISLAM ITU SIFATNYA MENJADI SUBUR DITENGAH CARUT MARUT MUSUH. Ahli PAS pasti mati, tapi Islam tetap hidup sebab yang kuat itu Islam, bukannya PAS, PAS hanya menumpang kekuatan Islam, jika PAS tetap berpegang dengan Islam, maka PAS akan terus kukuh, walau dibelasah setara mana sekalipun.... YANG MEMUKUL KELETIHAN, YANG DIPUKUL TAK MATI-MATI, itulah sifatnya Islam.

Nukilan:
YB Ustaz Rosli Abd. Jabar
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang

No comments: