Monday, May 30, 2016




RUU Persendirian: Pelik bukan Islam bantah

Dilulus untuk paparan oleh AnisahOmar

Berita
SHAH ALAM - Rang Undang-undang (RUU) Persendirian yang dibawa oleh ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah bertujuan  meminda Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah 1988) dan tiada kaitan dengan hudud. 


Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, RUU Persendirian tersebut hanyalah untuk memperluas kuasa Dun bagi meminda enakmen jenayah syariah kepada hukuman yang lebih berat.


“Buat masa ini, enakmen jenayah syariah hanya mengguna pakai hukuman tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan di mana hukuman itu lebih rendah berbanding mahkamah majistret.

“Tiada apa-apa di dalam RUU Persendirian tersebut menyatakan tentang kesalahan hudud qisas mahupun taazir. Pihak yang mendakwa RUU tersebut berkaitan hudud mungkin terkeliru atau mahu mengelirukan orang ramai,” katanya ketika dihubungi sinar Online.

Selain daripada itu, Zainul memaklumkan bahawa RUU Persendirian Seksyen 2 yang diterangkan tersebut jelas memaklumkan bahawa ia hanya terpakai buat orang Islam sahaja dan tidak melibatkan golongan bukan Islam.

Zainul berkata, beliau merasa pelik mengapa orang bukan Islam dilihat melenting dan membantah undang-undang Islam yang telah diperuntukkan dalam perlembagaan.

“Dalam perlembagaan ada menyatakan bahawa sesuatu agama itu mesti ditadbir urus oleh orang dalam agama itu sendiri.

“Macam mana nak orang Islam dapat bebas mengamalkan agama ini jika orang bukan Islam campur tangan dan ini bertentangan dengan apa yang ada dalam Perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Zainul turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak melihat RUU Persendirian tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia sememangnya telah termaktub di dalamnya.

“Saya selalu dengar RUU ini dikatakan melanggar Perlembagaan tapi di mana yang dilanggar tidak dijelaskan oleh pihak berkenaan.

“Ia dikatakan langgar perlembagaan kerana didakwa ada perbezaan undang-undang orang Islam dan bukan Islam. Namun bagi saya, itu adalah kesamarataan dan satu perkara umum,” katanya.

No comments: