Thursday, October 23, 2008

Kedah Gemilang yang Malang

"TokBatin Oleh ibnubakrin"

“ GLC ( Goverment Link Company) tak sepatutnya rugi..” itu antara petikan daripada ucapan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berikutan kekecewaan beliau terhadap prestasi GLC negeri Kedah yang terbongkar selepas Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran kerajaan negeri.

Kerajaan negeri yang mempunyai hampir 300 syarikat samada yang masih beroperasi ( hanya sebahagian kecil sahaja) atau sudah tidak beroperasi dan sebahagiannya diujudkan hanya bertujuan dijadikan sebagai ‘vehical’ untuk memindahkan wang kerajaan dengan cara yang salah atau lebih tepat lagi, ‘penipuan terancang’ kerajaan UMNO/BN.

Kerajaan UMNO/BN yang sebelum ini mendakwa mereka telah mentadbir dengan cekap dan amanah ternyata hanya berbohong terutamanya kepada rakyat negeri Kedah. Selain sebahagian besarnya mengalami kerugian yang bukan sedikit sehingga membeban kerajaan negeri, urus-tadbir dan pengurusan syarikat-syarikat juga ‘caca merba’ serta sonsang prosedur.

Rata-rata tenaga pengurusan ( berkelayakan dan berpengalaman) yang ditugaskan untuk menerajui pengurusan baru syarikat-syarikat ini, mengeluh panjang dan terkejut besar dengan apa yang mereka temui.Walaupun sebelum ini telah dijangka, namun penemuan sebenar jauh lebih mengejutkan.

Ada syarikat yang hanya baru ditubuhkan selama 2 tahun telah menanggung hutang hampir RM 2 juta sedangkan baki wang didalam simpanan semasa hanya RM 1 ribu sahaja disamping tanggungan operasi syarikat mencecah RM 30 ribu sebulan.

Syarikat-syarikat ini juga dibebani dengan sebahagian besar tenaga – tenaga kerja yang tidak cekap dan tidak berkelayakan tetapi bergaji tinggi. Bidang tugas mereka lebih kepada sebagai orang suruhan bukannya pekerja sebenar yang berupaya menjana produktiviti, jauh sekali menyumbang kepada keuntungan syarikat. Tidak hairan mengapa kerugian dialami berterusan.

Berbagai bentuk penyelewengan, salah urus dan pecah amanah dapat dikesan hanya menunggu masa untuk didedahkan dan diambil tindakan setelah penyiasatan dan bukti – bukti kukuh diperolehi. Semua ini bukan rahsia lagi dikalangan rakyat Kedah khasnya.

Ada beberapa syarikat lebih layak sebagai ‘ pejabat kebajikan’ apabila rekod menunjukkan sumbangan yang di keluarkan melebihi keuntungan yang di perolehi. Yang lebih menyedihkan terdapat syarikat yang memohon sumbangan pihak-pihak tertentu kemudian nya menyalahguna sumbangan tersebut untuk tujuan lain.

Terbaru, terdapat ura-ura yang menunjukkan usaha-usaha yang bersifat khianat sedang dirancang untuk membolehkan kerajaan persekutuan mengambil-alih hak milik Kulim High Tech Park ( KHTP ) selain menyekat atau menyulitkan pelabur-pelabur luar negara untuk melabur di KHTP.

Sekira ianya benar, seluruh rakyat Kedah perlu bangun untuk membela hak mereka yang dicabuli pengkhianat- pengkhianat Agama, Bangsa dan Negara ini.


Laporan Buletin Utama TV3
dibidas Helmi Khalid Thu Oct 23, 08

Kenyataan Akhbar Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah pada 23 Oktober 2008.

Kepada: Semua Ketua Biro Media cetak/eletronik Assalamualaikum / Salam Sejahtera

KENYATAAN AKHBAR

Saya amat bersimpati dengan siaran TV3 melalui Buletin Utama bertarikh 22 Oktober mengenai berita banjir di Kedah kerana pemberitanya gagal mendapatkan sumber yang tepat untuk dijadikan bahan berita.

Jika berita yang tidak tepat disiarkan, maka berita itu adalah sesuatu yang boleh digolongkan sebagai:

1. Berita berniat jahat untuk memburukkan imej Kerajaan Negeri Kedah

2. Berita yang berunsur memburukkan tokoh atau individu tertentu.

3. Atau ia hanyalah imiginasi atau angan-angan pemberita tersebut.

Kerajaan Negeri melalui Pejabat YAB Menteri Besar sejak 21 Oktober telah memulakan lawatan serta menyampaikan sumbangan di Kuala Nerang dan Dun Anak Bukit khususnya.

Pada 22 Oktober, Setiausaha Politik YAB Menteri Besar, Encik Mohd. Sanusi Md. Nor telah melawat serta menyampaikan sumbangan seperti beras, gula, minyak masak, lampin pakai buang bayi, tuala wanita, biskut dan beberapa keperluan lain di empat penempatan mangsa banjir di Dun Anak Bukit, sebuah di Bukit Pinang dan tiga penempatan di Dun Guar Chempedak.

Selain itu, lawatan dan sumbangan juga dibuat oleh Exco Kebajikan dan Wanita Kerajaan Negeri Kedah, Ustazah Siti Aishah Ghazali di Parlimen Padang Terap dan Pokok Sena.

Exco Kesihatan, Penerangan dan NGO, Dr, Ismail Salleh mengadakan lawatan dan sumbangan di sekitar Alor Mengkudu dan Adun Kubang Rotan, Encik Mohd. Nasir Mustafa atas sifat beliau selaku Setiausaha PAS Kawasan Kuala Kedah sentiasa memantau perkembangan banjir di Dun Anak Bukit termasuk menyampaikan sumbangan berbentuk makanan.

Agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Penghulu dan Majlis Ketua Kampung (MKK) juga telah mengadakan mesyuarat dan tindakan susulan bagi memastikan proses menyalurkan bantuan dan pertolongan berjalan dengan lancar. Ini tidak termasuk bantuan kecemasan dan laporan semasa oleh pihak MADA, tentera, polis, JPAM dan beberapa agensi lain yang terlibat.

TV3 juga highlightkan bahawa belum ada sumbangan kewangan diberikan setakat ini, bagi saya pemberita berkenaan amat tidak faham mengenai prosedur sesebuah kerajaan baik Pusat mahupun negeri dalam konteks menyalurkan bantuan kewangan.

Adalah amat mustahil selepas baru dua hari dilanda banjir kerajaan akan terus mengeluarkan sumbangan berbentuk kewangan memandangkan kerajaan terpaksa melalui beberapa proses yang melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, MKK, Penghulu dan sebagainya.

Sedangkan mangsa Tsunami yang berlaku pada Disember 2004 lalu pun sehingga kini masih ada yang belum mendapat pampasan sewajarnya, bagiamanapun jangka waktu empat tahun itu adalah terlalu lama.

Petikan ayat sebahagian besar Exco Kerajaan Negeri sedang berada di luar Negara ketika ini juga mendedahkan berita tersebut hanya sebuah ilusi pemberitanya.

Hanya dua anggota Exco yang berada di luar Negara dalam satu misi menarik pelabur ke Kedah, lawatan kerja mereka bermula sejak 19 Oktober lalu, sementara banjir melanda kawasan mereka pada 21 Oktober.

Misi bantuan dan lawatan akan diteruskan sehinggalah semua mangsa banjir dapat pulang ke rumah masing-masing.

Sekian, terima kasih Yang Benar

(MOHD. HELMI BIN MOHD. KHALID)
Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kedah


7 Bulan PR Kedah
Dilulus terbit pada Monday, October 27 @ 22:19:01 MYT oleh TokPenghulu Oleh proklamator

"Tiba-tiba sahaja datang ilham untuk berbicara tentang Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah (KPRK).

Barangkali ada sesuatu yang mendesak-desak dari dalam diri.

Mungkin ada sesuatu yang terkilan atau tidak puas hati atau rasa sedikit kecewa.

KPRK ditunjangi oleh PAS, dengan diterajui oleh Ustaz Azizan Ab Razak merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah.

Ini bermakna apabila kita berbicara tentang KPRK, tentulah secara tidak langsung kita menilai tentang keupayaan PAS mengemudi Kedah.

Kedah adalah salah satu negeri yang jatuh ke tangan PR pada PRU12 selain Kelantan.

Kalau diteliti dan dibandingkan, saya rasa, Kedahlah merupakan kerajaan yang dikuasai oleh PR yang paling perlahan momentum perjalanan kerajaannya jika dibandingkan dengan momentum yang berlaku di Perak, Pulau Pinang, dan Selangor.

Saya mengecualikan Kelantan kerana Kelantan telah berjaya mengekalkan status quonya.

Kelihatannya KPRK tidak bergerak langsung,sekurang-kurangnya pada pandangan rakyat Kedah.

Kalau kita tanya rakyat bawahan atau golongan menengah tentang hala tuju atau dasar pemerintahan KPRK, saya yakin, rakyat terbanyak akan menggelengkan kepala.

Untk berlaku adil, saya cuba menyenaraikan pengumuman-pengumuman yang diwar-warkan oleh KPRK.

Pertama, pemindahan tapak Kompleks Penapisan Minyak yang pada awalnya (semasa BN) terletak di Yan ke beberapa tempat yang tidak melibatkan pengambilan tanah rakyat (kampung dan sawah padi).

Rakyat diberitahu yang banyak syarikat sewasta yang berminat.

Tindakan ini adalah tindakan terpuji, namun kini senyap dan sunyi.

Kedua, penurunan kadar cukai tanah sekurang-kurangnya 30%. Cukai ini telah dinaikkan semasa BN memerintah.

Rakyat menyambut gembira tindakan ini.

Ketiga, penebangan balak di kawasan hutan simpan.

Pada awalnya, tindakan atau syor ini mendapat kritikan hebat, namun dapat ditangkis oleh kerajaan negeri.

Penebangan balak ini hanya dikhaskan kepada balak-balak yang telah berusia.

Dengan penebangan ini, memberi ruang kepada hutan berkembang kembali.

Hal ini bermaksud memberi ruang untuk hutan ini pulih dan lebih sihat.

Namun rakyat masih kabur sejauh mana syor ini telah dilaksanakan.

Keempat, yang terkini, ialah menaikkan kuota pemilikan rumah oleh bumiputra kepada 50%.

Tahniah sepattutnya diberi kepada KPRK.

KPRK harus dapat mencari satu mekanisme untuk merealisasikan kuota ini benar-benar terlaksana dan bagaimana untuk melaksanakan.

Saya juga mendengar khabar, KPRK telah dalam proses melantik wakil-wakil komuniti sebagai mata dan telinga kerajaan dan pada masa sama sebagai jambatan antara rakyat dan kerajaan.

Namun persoalannya, adakah semua wakil komuniti telah menerima watikah pelantikan, dan mereka telah diberi taklimat yang cukup tentang mekanisme tugas mereka.

Adakah wakil-wakil komuniti ini telah memulakan gerak kerja masing-masing?

Selain tindakan-tindakan di atas, KPRK seolah-olah sedang memasuki fasa “khalwat” atau “bertapa”.

KPRK harus sedar bahawa inilah kali pertama PAS mendapat peluang memerintah Kedah.

Rakyat pelbagai kaum dan golongan sanggup mengambil risiko dalam usaha membentuk kerajaan baru ini.

Mereka juga sedar bahawa mereka akan menempuh kesukaran dalam pelbagai aspek kehidupan khasnya tentang pembangunan prasarana atau mengekalkan tahap “kebolehgunaan” prasarana.

Mengekalkan “kebolehgunaan” prasarana ini memerlukan perbelanjaan yang besar, dan di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat.

Begitu juga soal pelaburan, rakyat Kedah juga sedar, apabila mereka memilih PR, bermakna mereka memilih untuk hidup susah kerana peruntukan pembangunan untuk Kedah akan dikurangkan oleh Kerajaan Pusat.

Namun begitu, sebagai sebuah kerajaan, KPRK ini mahu tidak mahu terpaksa mencari jalan, walau apa cara sekali pun untuk mengurangkan keperitan rakyat.

Mereka harus menggembleng sumber-sumber kerajaan negeri dengan semaksimum mungkin.

Saya rasa dan yakin bahawa rakyat tidak menuntut banyak kerana mereka faham akan kemampuan kerajaan negeri.

Walaupun begitu, soal-soal yang menyentuh secara langsung hidup mereka perlu diberi keutamaan.

Contoh yang paling mudah ialah kemudahan prasarana yang dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

Perkara-perkara tersebut ialah perkara-perkara dalam kuasa PBT.

Saya ingin fokuskan kepada kemudahan-kemudahan yang terdapat dalam taman-taman perumahan.

Sebagai contoh Alor Star.

Saya dapat merasakan wujudnya protes warga Alor Star secara senyap akan kegagalan KPRK untuk memastikan tahap kemudahan-kemudahan ini berada dalam keadaan baik.

Soal longkang, pemungutan sampah, dan jalan-jalan di taman yang rosak teruk.

Kita mempersoalkan adakah exco ini yang berkuasa ke atas PBT benar-benar serius untuk menangani hal ini atau mereka masih lagi berada dalam “bulan madu” – tidak puas lagi merasai kehangatan keempukan kerusi exco sehingga mereka enggan turun padang.

Mereka harus bertindak sekurang-kurangnya mereka turun padang untuk menjelaskan keadaan sebenar atau menjelaskan apakah tindakan lanjut yang telah mereka aturkan.

Exco ini atau KPRK harus ingat mereka telah menguasai kerajaan selama tujuah bulan.

Rakyat memerhati dan menilai mereka.

Suara-suara tidak puas hati telah mula kedengaran! Keadaan ini tidak timbul sekiranya mereka sanggup turun padang dan sentiasa memberi penjelasan kepada rakyat apa yang sedang berlaku.

Akhir-akhir ini, Kompleks PAS Kedah agak sepi.

Jarang diadakan ceramah-ceramah semasa.

Ini menyebabkan wujud jurang maklumat antara rakyat dengan kerajaan Negeri. Kesimpulannya, amat dirasakan sekali bahawa KPRK begitu perlahan perjalanan kerajaannya.

Rakyat masih menunggu dan menunggu. Usah biarkan mereka terlalu menunggu!Simpang 4, AS.

Untuk bacaan lanjut, sila kunjungi, http://helangjagat.blogspot.com"

No comments: