Wednesday, December 16, 2009

Di petik dari sumber








Pemaju jawab tuduhan Pemuda PAS

Salhan K Ahmad
Dis 15, 09
3:28pm

Tapak masjid di kawasan perumahan mewah Desa Sri Hartamas, telah ditenderkan untuk pembinaan bangunan komersil, selepas Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendapati kawasan itu tidak mempunyai ahli kariah yang mencukupi untuk didirikan masjid di situ.

mosque project seri hartamasPerkara itu dijelaskan oleh ketua pegawai eksekutif Glomac Bhd, Datuk Fateh Iskandar Mohamed Mansor - salah sebuah daripada dua syarikat yang memajukan tanah tersebut.

Fateh Iskandar memberitahu Malaysiakini bahawa tender membina bangunan komersil itu dikeluarkan oleh MAIWP tiga tahun lalu dan ianya turut dimuatkan dalam akhbar.

"MAIWP mendapati tapak untuk masjid itu berada dalam lingkungan kurang dua kilometer daripada Masjid Wilayah Persekutuan yang berhampiran," katanya ketika diminta mengulas bantahan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berhubung penukaran status tanah tersebut.

Dewan itu menuntut MAIWP memberi penjelasan mengapa projek pembangunan dijalankan di atas tanah yang asalnya diperuntukkan untuk pembinaan masjid di Desa Sri Hartamas.

Mereka juga merasa pelik bagaimana sebuah tapak masjid boleh ditukar statusnya kepada tapak perniagaan, walhal sekeliling kawasan itu sudah mempunyai pusat perniagaan yang mencukupi dari keperluan.

wisma glomac mosque 151209Mengulas lanjut Fateh Iskandar yang juga bendahari Umno Selangor berkata, tender itu dimenangi sebuah anak syarikat Peremba Jaya Holdings Sdn Bhd, selepas 17 syarikat bersaing untuk memajukan tanah tersebut.

"Tetapi mereka ada masalah aliran tunai, kemudian mereka (MAIWP) minta kami tolong. Lepas itu barulah kami buat usahasama dengan mereka.

"Tanah itu sekarang berstatus milikan bebas. MAIWP terima wang tunai (daripada transaksi itu) tapi masih menjadi pemilik bangunan tersebut," kata Fateh Iskandar.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan jumlah sebenar yang terlibat, hasil daripada proses tender untuk membangunkan tanah di kawasan perumahan tersebut.

"Itu saya kena periksa semula," katanya lagi yang turut menjelaskan bahawa tanah itu kemudiannya telah diwartakan semula menjadi kawasan komersil.

"Ini mememakan masa hingga dua tahun lalu kerana perlu melalui proses pengesahan dari banyak peringkat hingga kepada Yang di-Pertuan Agong sebab ianya tanah untuk masjid," katanya lagi.

wisma glomac mosque 151209MAIWP pula dalam pada itu berkata mereka akan menunggu sehingga mendapat aduan rasmi dariapada PAS, sebelum memberi respons rasmi.

"Saya perlu tengok rekod dahulu," kata ketua pegawai eksekutif MAIWP, Anan C Mohamad ketika diminta bantahan dewan Pemuda itu semalam yang turut meminta penjelasan dari MAIWP mengenainya.

Hari ini, pergerakan itu pula mengumumkan akan menghantar satu memorandum kepada MAIWP berkenaan perkara tersebut esok

"Saya telah pun beri penjelasan kepada (menteri di jabatan perdana menteri) Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom," katanya lagi.

Ditanya lagi sekiranya makluman kepada Jamil itu sama dengan jawapan menteri wilayah persekutuan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Dewan Rakyat, Anan berkata: "Ya, mungkin mereka ada berbincang". .
 Pemuda PAS bantah tukar status tanah masjid
Dis 14, 09 3:25pm


Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mesti menjelaskan kontroversi projek pembangunan di atas tanah yang asalnya diperuntukkan untuk pembinaan sebuah masjid di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, kata seorang pemimpin Pemuda PAS.

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berasa pelik. Bagaimana sebuah tapak masjid boleh ditukar statusnya kepada tapak 'perniagaan (bangunan)' walhal sekeliling kawasan itu sudah mempunyai pusat perniagaan yang mencukupi dari keperluan," kata timbalan ketuanya Herman Samsudeen.

"Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menggesa agar pengarah MAIWP dan pihak-pihak berkaitan menjelaskan kepada rakyat punca sebenar perubahan tapak masjid dan mahu ia dikekalkan atau digantikan dengan tanah lain kerana kita harus sedar tanah milik umat Islam sama ada Melayu atau bukan Melayu semakin berkurangan di Wilayah Persekutuan."

Beliau juga mempertikaikan pembabitan dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan pemimpin kanan Umno Wilayah Persekutuan dan juga Selangor.

"Pastinya rakyat akan tertanya-tanya, kenapa pemimpin Umno seperti menteri Wilayah Persekutuan, setiausaha politik perdana menteri dan bendahari Umno yang kononnya memperjuangkan kepentingan Melayu dan institusi umat Islam sanggup menggadaikan tanah itu," katanya.

Pemuda PAS itu juga menolak alasan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, dalam jawapan parlimennya, bahawa kawasan itu akan menghadapi masalah kesesakan lalu lintas jika masjid dibuat di atas tanah berkenaan.

Herman berkata, kerajaan boleh mewujudkan tempat letak kereta bertingkat di bawah masjid itu, seperti projek Glomac Galeria, setinggi empat tingkat yang sedang dibuat di atas tanah itu bagi mengelakkan masalah parkir dan lalu lintas.

"Masalah Jalan 19/70A yang lebarnya hanya 50 kaki sahaja juga tidak masuk akal untuk dijadikan alasan kerana saiz itu sudah memadai bagi sebuah masjid berbanding dengan Galeria yang juga menjadi pusat aktiviti masyarakat termasuk beli-belah yang sememangnya lebih sibuk dari aktiviti masjid," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, tapak masjid berhampiran bangunan perniagaan sedia ada dan persimpangan lebuh raya SPRINT juga bukan alasan kerana sudah banyak masjid yang didirikan berhampiran tempat sedemikian seperti masjid di Seksyen 15 Subang Jaya yang berhadapan dengan Subang Parade dan Carrefour serta Masjid Jamek Kuala Lumpur.

Herman berkata Pemuda PAS Wilayah Persekutuan akan berbincang dengan beberapa pihak sebelum memikirkan jika wujud ruang bagi menghentikan projek tersebut melalui tindakan undang-undang.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada MAIWP dan Umno.

No comments: