Wednesday, December 23, 2009

Di petik dari sumber





MAS Cadang Terbitan Hak Untuk Raih RM2.67 Bln

PETALING JAYA, 22 Dis (Bernama) -- Malaysia Airlines System Bhd (MAS) merancang untuk memperoleh RM2.67 bilion bagi membiayai program kumpulan pesawat yang diperbaharui dan modal kerja, kata pengarah urusan/ketua pegawai eksekutifnya Tengku Datuk Azmil Zahruddin Selasa.


Beliau berkata syarikat penerbangan itu bercadang untuk menawarkan 1.671 bilion saham baru untuk meraih dana tersebut.


"Ini merupakan masa yang sesuai untuk mendapatkan dana memandangkan kami akan dapat memanfaatkan sentimen pasaran modal yang bertambah baik," kata beliau kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Airbus bagi tempahan sehingga 25 pesawat A330-300, di sini Selasa.


Azmil berkata terbitan hak akan ditawarkan kepada pemegang saham pada dasar setiap satu saham yang dipegang pada tarikh yang akan diumumkan kelak.


Pada RM1.60 setiap satu, beliau berkata terbitan hak itu ditetapkan harga pada kira-kira 32.1 peratus diskaun kepada harga tanpa hak secara teori kira-kira RM2.36 berdasarkan kepada harga pasaran purata wajaran jumlah dagangan lima hari dan termasuk 21 Dis, 2009.


Cadangan terbitan hak dan pemerolehan pesawat itu dijangka selesai pada suku pertama 2010, katanya.


Azmil berkata terbitan hak itu akan meningkatkan kecairan MAS dan fleksibiliti kewangan.


Beliau berkata ia juga berkeyakinan dengan struktur modal kumpulan dengan mengukuhkan dengan ketara lembaran imbangannya dan mengurangkan paras gearan masa depan.


Azmil berkata Khazanah Nasional Bhd dan Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) yang secara kolektifnya memiliki kira-kira 69.33 peratus pegangan dalam MAS telah mengambil langkah untuk menguasai hak mereka sepenuhnya.


Khazanah menguasai 17.33 peratus kepentingan ekuiti dalam MAS manakala PMB mempunyai 52 peratus pegangan.


Khazanah juga melaksanakan langkah tambahan untuk melanggan terbitan hak yang berlebihan di mana jumlah gabungan langganannya dan PMB terbitan hak akan mewakili kira-kira 71 peratus jumlah terbitan hak.


Baki bahagian itu akan ditaja jamin oleh penaja jamin yang akan ditentukan tidak lama lagi, katanya.


Seiring dengan rancangannya untuk memiliki sekurang-kurannya satu pertiga daripada kumpulan pesawat terasnya, Azmil berkata Malaysia Airlines juga bercadang untuk memperoleh enam pesawat A380 dan empat pesawat Boeing daripada PMB pada RM3.19 bilion.


Beliau berkata cadangan pemerolehan dijangka menambah kira-kira RM648 juta kepada keuntungan dan kerugian MAS selepas ditolak kos pembiayaan dan pemilikan bagi tempoh tiga tahun mulai 2010 hingga 2012 terutamanya daripada pemilikan pesawat bagi mengelak pemajakan.


Malaysia Airlines akan membayar tunai kepada PMB sebanyak RM1.54 bilion bagi novasi pembelian pesawat A380 daripada PMB kepada MAS.


Beliau berkata MAS dijangka menerima satu pesawat A380 setiap bulan bermula Ogos 2011 dan penghantaran dijangka selesai pada Januari 2012.


"Kami merancang untuk menggunakan pesawat A380 bagi laluan berkepadatan tinggi seperti London dan Sydney. Di lapangan terbang utama seperti Heathrow di mana kami berdepan dengan sekatan slot, pesawat A380 akan membolehkan kami membawa sehingga 35 peratus lagi penumpang," katanya.






-- BERNAMA

No comments: