Saturday, June 18, 2011

Akibat karikatur : Kelantan haramkan Utusan Malaysia






KOTA BAHARU - Kerajaan Kelantan hari ini mengharamkan akhbar Utusan Malaysia daripada membuat liputan acara yang melibatkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta.


Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadzli Shaari berkata, keputusan itu dibuat berikutan penyiaran karikatur yang disifatkan menghina agama Islam berhubung isu rogol dan zina, yang disiarkan dalam akhbar berkenaan.


Katanya, surat rasmi oleh Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Urusetia DUN akan dikeluarkan dalam masa terdekat mengenai perkara itu.


"Tindakan itu akan berterusan sehinggalah pihak akhbar berkenaan memohon maaf secara rasmi atau menarik balik penyiaran karikatur berhubung isu itu," katanya ketika dihubungi Bernama.


Semalam, Pas melancarkan kempen 'Boikot Utusan Malaysia' kerana mendakwa akhbar itu menghina agama Islam menerusi karikatur yang disiarkan pada Rabu lepas.

No comments: