Wednesday, May 6, 2015



Dr Wan Azizah berjaya kekalkan kerusi Permatang Pauh

                                                                                  

Ahli Parlimen Pematang Pauh yang baru.
Dr Wan Azizah Wan Ismail berjaya mempertahankan kerusi P 44 Permatang Pauh dengan meraih majoriti 8,841. Beliau mendapat 30,316 undi manakala tiga lawannya, dari BN mendapat 21,475 undi manakala calon Bebas 367 undi dan PRM hanya 101 undi. Kedua-dua calon Bebas dan PRM hilang wang pertaruhan.

Kejayaan Wan Azizah meraih majoriti 9,542 dikira mengejutkan kerana rata-rata pemerhati menjangkakan hampir separuh majoriti diraih suaminya dulu akan susut. Dalam pilhan raya umum ke-13 Anwar menang di kerusi itu dengan majoriti 11,721 undi.

Saya sendiri meletakkan sempadan bahaya untuk PKR dalam pilihan raya ini, ialah majoriti dibawah 5,000.


Kemenangan Presiden PKR itu juga menyelamatkan hubungan komponen parti dalam Pakatan Rakyat. Sebelum ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membayangkan kalau Wan Azizah kalah, ia menyebakan Pakatan Rakyat akan berakhir.

Kemenangan bergaya Wan Azizah itu ternyata pengundi Permatang Pauh menolak serta tidak mempedulikan hasutan sesetengah pihak yang mendesak agar tidak mengundi beliau. Alasan digunakan Wan Azizah perlu ditolak kerana parti itu dikatakan menolak hukum Hudud yang diperjuangkan Pas.

Dr Wan Azizah diberi kucupan tahniah.
Kejayaan PKR itu juga menjelaskan yang parti itu mampu untuk berdiri sendiri bagi menghadapi BN untuk dimasa-masa akan datang. Pilihan raya kecil itu memberi gambaran bahawa perjuangan Refomrasi yang digerakkan oleh Anwar masih relevan. Mana-mana pemimpin Pas yang cuba memperlekehkan PKR harus membuat perhitungan semula.

Dalam pada itu PKR mampu untuk muncul sebagai sebuah parti alternatif baru kepada generasi yang celik realiti politik Malaysia. Kemenangan itu adalah terjemahan kepada "kegelingahan" PKR.
Sejarah
[Peluang yang Jarang Diperolehi]
Perkongsian : Syed Ahmad Fadhli
Tengah hari tadi,ketika sedang membaca surat khabar tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam..
Oh, rupanya Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang datang ke Pejabat di Tingkat 14 Parlimen ini.
Seperti biasa, Tuan Guru akan hadir samada berseorangan atau ditemani oleh pembantu peribadi beliau.
Peluang dapat bersembang dengan beliau jarang diperolehi. Bersembang dengan orang berilmu, tidak cukup sekadar menadah telinga sahaja, lantas pen dan kertas dicapai agar catatan dapat dibuat. Itupun tidak sempat untuk dicatat semua fakta, hujjah, dan cerita yang beliau kongsikan.
Perbualan dimulakan dengan Tuan Guru menerangkan serba ringkas berkenaan Private Member's Bill berkenaan Akta 356 Mahkamah Syariah yang ingin beliau bentangkan. Ia boleh dibentangkan sekiranya ada Menteri yang menyokong usul tersebut untuk dibacakan di dalam Dewan.
Rang Undang-Undang Persendirian itu menyentuh mengenai peluasan kuasa Mahkamah Syariah agar hukuman yang boleh dijatuhkan lebih berat dan secara tidak langsung Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dapat dilaksanakan.
Tidak kesemua hukuman di dalam Hudud itu dapat dilaksanakan secara sekaligus, tetapi sekurang-kurangnya kita laksana apa yang termampu dan secara berperingkat.
Hukuman di dalam Undang-Undang Islam bunyinya menggerunkan., ia untuk mendidik bukan menyeksakan. Contohnya, ada bezanya kaedah sebatan di dalam Islam berbanding undang-undang sivil sekarang.
Seterusnya, Tuan Guru mengulas berkenaan pelaksanaan Cukai GST.
Tuan Guru memetik teori berkenaan ekonomi di dalam Kitab Muqaddimah tulisan Ibnu Khaldun. Kerajaan di dalam Islam tidak boleh sewenang-wenangnya mengutip cukai daripada rakyat.
Masalah berlaku apabila kerajaan bersifat boros berbelanja, kebocoran wang negara menyebabkan pendapatan negara tidak cukup. Di dalam Islam, adanya pelbagai jenis Zakat yang dikenakan kepada ummat Islam tidak boleh dihapuskan,adapun cukai yang perlu dibayar oleh semua orang termasuk yang bukan Islam itu boleh dihapuskan apabila pendapatan negara sudah mencukupi.
Tuan Guru menceritakan pengalaman beliau ketika menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Terengganu dahulu. Wang Royalti minyak yang diperolehi adalah sebanyak RM 400 Juta. Antara langkah awal dibuat oleh beliau ialah menghapuskan Tol dan Cukai Pintu yang meringankan bebanan rakyat. Walaupun kerajaan kehilangan hasil tetapi pendapatan negeri meningkat apabila jumlah kutipan zakat meningkat berkali ganda.
Pada asalnya, apabila harga minyak dunia naik ketika itu jumlah royalti minyak yang dijangka diperolehi mencecah RM 1 Billion. Tuan Guru berkata kerajaan negeri sudah pun membuat pelan perancangan untuk membina lebuhraya yang mana bezanya dengan kerajaan Pusat, kadar tolnya semakin lama semakin naik tetapi yang kerajaan Terengganu ingin buat ialah kadar tolnya semakin rendah dan dihapuskan terus.
Namun, Kerajaan Pusat pimpinan UMNO bertindak merampas royalti minyak itu dan tidak lagi dibayar kepada kerajaan negeri pimpinan PAS.
Lalu, Tuan Guru mengarahkan cukai industri dinaikkan untuk menampung kembali kehilangan hasil negeri. Tauke-tauke perniagaan tidak marah kerana kata mereka jikalau pemerintahan sebelum ini lagi banyak perlu dibayar sebab rasuah, tetapi PAS memerintah tiada rasuah.
Kemudian, saya bertanya pula soalan kepada Tuan Guru berkenaan konflik di Yaman kerana politik antarabangsa adalah minat dan kepakaran beliau.
Tuan Guru menerangkan panjang lebar berkenaan sejarah Yaman dahulu yang mana adanya Yaman Utara (merdeka dan dikuasai oleh Syiah Zaidiyyah) dan Yaman Selatan (Jajahan British). Apabila penjajah keluar, Yaman Selatan digantikan oleh pemerintah yang berfahaman komunisme. Pihak kuasa besar berusaha memastikan bukan gerakan Islam yang mentadbir negara tersebut sehinggalah sekarang.
Tuan Guru bertanya kepada saya, "kamu ada baca berita mengenai PM Israel Benjamin Netanyahu yang datang berucap di Amerika, dan 'mengamuk' serta marah kepada Presiden Obama kerana membiarkan sahaja pengaruh Iran yang makin melebar di Yaman apabila puak Houthi merampas kuasa di sana...?"
Israel berasa begitu terancam maka Amerika pun bertindak lalu diarahkan Arab Saudi berpakat dengan negara Arab yang lain untuk menyerang Yaman.
Tuan Guru menerangkan peta kedudukan Yaman yang agar strategik, dan boleh mengancam Israel jika Iran semakin berpengaruh di Yaman.
Tuan Guru bertanya lagi, "mengapa pula mereka ini tidak berpakat untuk mempertahankan Gaza ketika Israel menyerang dahulu.?"
Apa yang berlaku ini adalah percaturan Barat yang ingin melemahkan lagi ummat Islam.
Tuan Guru mengatakan pentingnya untuk melihat strategi dan bacaan politik itu dengan betul agar tidak tersilap langkah.
Sememangnya Syiah itu berfahaman salah tetapi tidaklah pula membenarkan kita untuk berpakat dengan kuasa besar seperti Amerika itu sehingga hancur musnah tanah air ummat Islam.
Seperti contoh, Malaysia mesti menguatkan ikatan perhubungan sesama OIC dan ASEAN terlebih dahulu.
Kita bermusuhan pun mesti ada adab dan sempadan.
Kita orang Melayu usahlah mengikut perangai orang Arab di sana yang bermusuhan sehingga saling membunuh.
Pihak kuasa besar tidak pernah duduk diam dan mereka sentiasa bertindak memastikan Islam tidak boleh memerintah.
Tuan Guru melahirkan kesedihan melihat konflik ummat Islam yang berlaku di Syria, Iraq dan Yaman. Jikalau kita tidak sedar, kita akan terus menjadi buah catur Barat yang melagakan sesama kita.
Akhir sekali, Tuan Guru mengulas mengenai kumpulan ISIS. Berlaku masalah apabila rakyat kita juga ada yang terikut dengan fahaman ekstrem itu.
Mereka mengisytiharkan penubuhan negara sedangkan di mana tapaknya..?
Ibarat membina sebuah rumah, mestilah kita menyiapkan tanah dan lantai sebagai tapak yang kukuh kemudian barulah dipasakkan tiang dan dinding untuk menahan atap di atas. Apa yang berlaku, mereka membina rumah ini dengan meletakkan atap terlebih dahulu maka musnahlah ia, Islam pula yang terpalit imej buruk akibat perbuatan kumpulan ini.
Peluang bersembang dengan Tuan Guru selama hampir sejam ini terasa begitu bermanfaat kerana bait kata yang dilafazkan penuh dengan dalil nas, hikmah dan pengalaman beliau yang tidak ternilai harganya.
Rakan pejabat saya menghulurkan air untuk melegakan tekak beliau setelah melayan karenah kami yang bertanya ini.
Namun, beliau dengan sopan menolak kerana berpuasa pada hari ini..
Tuan Guru memaklumkan beliau perlu bergerak ke Pejabat Agung PAS pula untuk menghadiri Mesyuarat Khas di sana pula.
Begitulah rutin pemimpin besar, jadual penuh dengan tugasan buat kepentingan ummat.
Mungkin pada pandangan sebahagian kita, Tuan Guru agak 'garang', serius dan susah didekati tetapi sebenarnya beliau seorang yang begitu merendah diri, mesra dan pandai juga membuat lawak jenaka.
Semoga Tuan Guru Presiden terus dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk terus memimpin dan mentarbiyyah kami semua

No comments: