SHAH ALAM - Sebanyak tujuh laporan polis dibuat  Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) berkaitan isu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang didakwa menghina pendakwah terkemuka dari India, Dr Zakir Naik di laman Facebooknya, hari ini.
Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, polis digesa  menjalankan satu siasatan bagi mengenalpasti mengapa pihak berkenaan sanggup menggunakan perkataan biadap terhadap Dr Zakir.
"Betul beliau ada meminta maaf dan itu hak beliau. Tapi sebagai pengajaran janganlah mengelarkan orang dengan sesuka hati.
"Ini perkataan yang mencabar. Saya khuatir selepas ini mereka tidak lagi menghormati undang-undang dan ketua (pentadbiran).
"Kami nak tahu apa keputusan hasil laporan dibuat ini dan ianya perlu disebarkan kepada rakyat," katanya kepada Sinat Harian selepas membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9 di sini, hari ini.
Beliau berkata, Perkasa memandang serius isu ini kerana Islam adalah agama rasmi seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Dr Zakir hadir ke Malaysia untuk memberi ceramah berkaitan Islam dan ada pihak mahu beliau dihantar pulang. Ini amat memalukan dan satu penghinaan kepada orang Islam.
"Tindakan beliau juga didakwa menghina terhadap pengiktirafan Dr Zakir sebagai tokoh Maal Hijrah yang pernah diberikan Yang Dipertuan Agong pada tahun 2013," katanya.
Sementara itu, Ramasamy difahamkan telah memohon maaf kepada semua pihak atas tindakannya itu.
Menerusi kenyataannya tengah hari tadi, beliau mengaku menggelar Dr Zakir dengan panggilan kurang sopan kerana berasakan penceramah itu menghina agama lain.
Beliau, bagaimanapun memohon maaf kepada masyarakat Islam di negara ini dan mengakui kesal kerana mengeluarkan perkataan berkenaan.
Ahli Perkasa mengecam sekeras-kerasnya tindakan dilakukan Ramasamy yang didakwa menghina Dr Zakir.