KUALA LUMPUR - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa mengambil tindakan undang-undang ke atas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy kerana penghinaannya terhadap ulama merupakan satu jenayah.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, panggilan syaitan kepada pendakwah, Dr Zakir Naik itu perlu disiasat di bawah Akta Hasutan.
"Itu adalah satu kesalahan jenayah kerana menghasut orang untuk menguggat keselamatan. Itu satu jenayah, pihak polis kena siasat.
[ARTIKEL BERKAITAN: NGO‎ desak Ramasamy disiasat]
"Dia boleh disiasat di bawah Akta Hasutan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Khidmat Nasihat Guaman Percuma Parlimen Pandan, di Pandan Indah, di sini, hari ini.
Beliau mengulas desakan Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Dakwah Pulau Pinang pada Rabu lalu yang menggesa kerajaan negeri dan DAP mengambil tindakan terhadap Ramasamy.
Pengerusinya, Mohd Yusni Ghazali berkata, kedua-dua pihak itu bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap Adun Perai itu sebagai pengajaran semua pihak agar tidak mengulangi perbuatan itu.
Mengulas lanjut, Musa juga berkata, tindakan tegas wajar diambil kerana ia boleh membahayakan nyawanya sendiri, akibat perbuatannya itu telah menimbulkan kemarahan golongan ekstremis.
"Mana boleh dia panggil ulama syaitan. Itu menghasut orang supaya membenci ulama tersebut. Kerana dalam agama lain pun ada orang ekstremis. Itu membahayakan nyawa dia," ujarnya.
Musa berkata lagi, tindakan Ramasamy itu hampir sama dengan tindakan penulis buku dari Iran, Salman Rushdi yang memanggil Nabi Muhammad SAW sebagai syaitan.
"Sampai orang nak bunuh dia, tapi negara-negara Barat melindungi dia. Dia kata, apa yang diterima Nabi Muhammad SAW adalah wahyu syaitan, bukan daripada ALLAH, walhal dia orang Islam.
"Apabila seseorang menyentuh perkara yang boleh membangkitkan kemarahan orang lain, ini satu perkara salah di sisi undang-undang," jelasnya.
Musa menegaskan, persefahaman antara agama di negara ini perlu dipupuk melalui siri ceramah dan penerangan mengenai perbezaan agama.
"Kita perlu terbuka. Tajuk ceramah Zakir sebelum ini iaitu Persamaan Hindu dan Islam merupakan perbandingan agama, saya rasa perkara itu bagus.
"Saya semasa sekolah dulu pun, ada kelas Bible dan kelas Islam. Saya masuk kelas Bible sebab nak tahu apa itu Injil. Tak bermakna saya belajar Bible saya masuk Kristian. Kerana saya nak tahu apa perbezaannya," katanya.
Musa menambah, dengan mempelajari dan memahami banyak agama, ia akan menguatkan akidah dan menghormati agama lain di negara ini
"Kalau kita tahu perbezannya, akidah kita akan lebih kuat kerana kita tahu mana yang betul, mana yang tak betul.
"Perbezaan ini akan mendatangkan masalah kepada negara, saya rasa tidak. Kita akan lebih menghormati agama itu tadi kerana kita tahu (agama lain)," jelasnya.
Dalam pada itu, Musa turut mengingatkan pihak polis supaya tidak berat sebelah dalam menguatkuasakan undang-undang di negara ini bagi mengelakkan rakyat hilang kepercayaan.
"Polis tak boleh tunjuk berat sebelah, kerana dia adalah penguatkuasa undang-undang, dia menjaga semua kaum dan rakyat dalam negara ini.
"Kalau dia bertindak berat sebelah pihak, nanti orang tak percaya kepada polis. Kena adil, kena telus, tidak menunjukkan bahawa mereka menyokong mana-mana pihak," katanya lagi.