Saturday, August 8, 2015


Selamatkan Malaysia!
1. PAS Pahang memandang serius terhadap isu-isu semasa yang terpapar dengan jelas apa berlaku dalam negara ketika ini. Negara kita sekarang ini ‘terkenal’ di peringkat antarabangsa dengan Isu penjualan hartanah MARA di Australia dan Isu wang sebanyak RM 2.6 billion yang berada dalam akaun Perdana Menteri lewat isu 1MDB.
2. Isu penyelewengan, penipuan, rasuah dan salah laku pentadbir awam yang berlaku adalah jenayah kolar putih yang tidak dapat dimaafkan, tambahan pula dilakukan oleh mereka yang mempunyai kuasa besar dalam negara ini. Ibarat serigala berbulu biri-biri, tampak putih tapi bernanah di dalam. Rasuah yang membarah ini bukanlah sekadar persepsi semata-mata tetapi merupakan fakta yang benar. Ini diakui sendiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sutinah Sutan pada tahun 2011 menyatakan Malaysia kerugian kira-kira RM10 bilion (Sepuluh Ribu Juta Ringgit Malaysia) akibat gelaja rasuah dalam tempoh setahun pada 2010.
3. Tindakan Polis menahan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan Pegawai SPRM yang terlibat dalam mengendalikan kes 1MDB adalah sesuatu yang amat memalukan. Tambahan pula operasi itu dilakukan pada pukul 1 pagi dan dalam keadaan ketua pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sedang bercuti. Tindakan ini jelas akan memberi tekanan kepada mereka dan secara tidak langsung akan melibatkan ahli keluarga mereka. Adakah ini mengikut Prosedur Pengendalian Berpiawaian (SOP) dari Polis dan menjaga hak dan kebajikan pegawai kerajaan yang bertugas?
4. Kredibiliti Datuk Seri Najib tercalar apabila beliau sendiri yang dalam beberapa rakaman ucapan sebelum PRU 13 sendiri menyatakan bahawa wang sumbangan kepada kempen dan pergerakan parti politik sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun parti dan bukan akaun peribadi. Namun, rakyat terus dibohong dan satu persatu kata nista Perdana Menteri ini telah ditelanjangkan sedikit demi sedikit dengan kewujudan derma sebanyak RM 2.6 billion di dalam akaun peribadi beliau. Nilai wang RM 2.6 billion ini meledak dalam keadaan isu laporan RM42 juta yang telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri, sehingga kini masih belum terjawab.
5. Datuk Seri Najib sehingga kini masih belum memfailkan sebarang saman kepada laporan WSJ berkenaan wang yang masuk ke akaun peribadi beliau dan perkara ini hanya membuat seluruh rakyat menganggap laporan WSJ adalah benar dan beliau hanya memasang wayang kepada media perdana.
6. Di sebalik semua skandal rasuah dan penipuan politik yang berlaku semuanya akan memberi kesan lansung yang berat kepada rakyat. Penjenamaan semua Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah serta kewujudan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Pelan Integriti Nasional (PIN) tidak terpakai dan seolah di hina apabila melibatkan skandal pemimpin tertinggi negara.
7. Hal ehwal ekonomi dan politik dalam negara bukanlah perkara yang remeh patut dipandang oleh pemimpin negara dengan hanya mementingkan memenuh tembolok perut sendiri akan tetapi membiarkan rakyat berada pada kedaifan yang amat perit agar rakyat terus setia memilih yang ada. Saya percaya, keyakinan rakyat kepada kepemimpinan perdana menteri yang ada sekarang sudah berada pada tahap yang sangat rendah dan menunggu rebah.
8. Bidalan melayu ada menyebut, ‘elok kain eloklah coraknya, elok pemimpin eloklah negerinya.’
Ustaz Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS
Negeri Pahang
6 Ogos 2015

No comments: