Saturday, August 8, 2015



Pegawai SPRM dipindah, tindakan ‘tunjuk kuasa’, kata pemimpin Umno


Dilulus untuk paparan oleh penjualcendol

Berita
Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah membidas pemindahan dua pegawai utama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri, menyifatkannya satu tindakan "tunjuk kuasa terang-terangan". 


Terdahulu hari ini, Pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob dipindahkan kerana "isu disiplin" berkuat kuasa serta merta.


"Ini ialah tindakan menunjuk kuasa secara terang-terangan dan menunjukkan yang ada orang yang tidak berpuas hati dengan usaha SPRM mencari kebenaran," kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider hari ini mengulas perkara itu.


Pemindahan mereka dibuat tidak lama selepas tujuh pegawai SPRM disoal siasat, pejabatnya diserbu dua kali dan dua daripada pegawainya ditahan semalaman oleh polis dalam tempoh seminggu.

SPRM sedang meneliti SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat yang sebelum ini dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ketika ini di bawah Kementerian Kewangan.

Pihak polis mendakwa wujud kebocoran dalam siasatan 1MDB dan mengkhususkan siasatan mereka ke atas SPRM.


"Ini akan menguatkan persepsi yang terdapat satu halangan yang jelas bagi SPRM dalam menjalankan tugas mereka," kata Saifuddin.

Bos operasi khas SPRM dikeluarkan serta-merta

Dilulus untuk paparan oleh penjualcendol

Berita
Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin dipindahkan keluar daripada bahagian yang mengendalikan kes berprofil tinggi itu.


Difahamkan pegawai kanan yang lantang menentang “gangguan” polis terhadap suruhanjaya itu dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).


Ketika dihubungi Malaysiakini, Bahri enggan mengulas perkara itu.

“Saya tak hendak komen banyak, nanti (dipindahkan) entah ke mana pula,” katanya.

Perpindahan keluar Bahri dilihat bakal menimbulkan tanggapan ia dibuat susulan kenyataan lantangnya yang tidak senang dengan langkah polis.

Bahri pada Rabu lalu bersumpah dengan nama Allah untuk memburu dalang-dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu sampai ke lubang cacing.

Beliau juga mengingatkan 'dalang-dalang' itu bahawa kuasa yang mereka ada tidak sebesar mana.

“Kamu ada kuasa sedikit saja tapi saya ada Allah," katanya yang baru selesai menunaikan solat hajat ketika dihubungi Malaysiakini.

Bahri mengulas siasatan terbaru polis terhadap dua lagi pegawai SPRM, termasuk pegawai yang menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Polis menyiasat dakwaan kebocoran draf kertas pendakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan kes derman RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya.

Setakat laporan ini ditulis, masih tiada pengumuman rasmi dibuat berhubung pertukaran itu.

Lambaian perpisahan Bahri

Sementara itu, suasana di ibu pejabat SPRM di Putrajaya muram apabila Bahri melangkah keluar daripada bangunan itu.

Lengkap berdasi hitam, beliau kelihatan berjalan pantas memasuki sebuah Proton Inspira dan
tidak bercakap dengan orang ramai.

Beliau bagaimanapun kemudian membuka cermin tingkap dan melambai sambil tersenyum kepada kakitangannya di kawasan itu.


Kereta merah itu pun menuju keluar daripada kawasan D6 Parcel D Putrajaya itu.

No comments: