Monday, August 4, 2008

PAS -DI PERMATANG PAUH

KUALA LUMPUR 1 Ogos (Hrkh) - PAS akan menggerakkan jentera parti itu di seluruh negara bagi membantu Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memenangi semula kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah dikosongkan oleh penyandangnya, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeAdilan, kelmarin.

Demikian dijelaskan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar ketika mengulas pilihan raya kecil yang bakal diadakan di Permatang Pauh dalam masa terdekat ini.

“Saya percaya,pengundi Permatang Pauh tidak ada masalah dengan Anwar yang sinonim dengan kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi oleh Harakahdaily.

Mahfuz memberi jaminan, sekalipun pilihan raya kecil itu diadakan pada bulan Ramadhan, PAS akan tetap menurunkan jentera pilihan rayanya bagi mempastikan calon BN yang bertanding, tumpas ditangan Anwar.


Malah tegas beliau, jika pilihan raya itu diadakan pada bulan Ramadhan ini, ia pasti akan meningkatkan semangat petugas-petugas PAS kerana Ramadhan adalah bulan penuh dengan pujian bagi melipat ganda usaha dan menambahkan pahala.

“Itu juga satu motivasi untuk kita bekerja dengan lebih kuat bagi mempastikan kemenangan,” katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap pilihan raya tersebut akan berjalan dengan baik dan lancar, tanpa sebarang provokasi dan insiden yang tidak diingini berlaku.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga, tegasnya perlu berlaku adil dan telus dalam menangani sebarang isu yang boleh menghalang Anwar dari bertanding.

Beliau turut memuji pengorbanan Wan Azizah yang bersedia mengosongkan kerusi Permatang Pauh bagi memberi laluan Pakatan Rakyat berkuasa memerintah selepas ini, dengan kemenangan yang bakal dijana oleh Anwar di kawasan tersebut.- tmj _ Roy Rasul

No comments: