Saturday, August 9, 2008

UMNO JOHOR DAN CABARAN


------------------------------------------------------------------------------------
Dilulus terbit pada Friday, August 08 @ 12:48:13 MYT oleh SongkokPutih

Oleh khairulfaizi

"Apabila kita bercakap tentang UMNO, sudah tentu kita tidak dapat lari daripada mengaitkannya dengan negeri Johor Darul Takzim. Johor terkenal dengan gelaran Kubu Kuat UMNO di Dunia kerana sejarah dan kejayaannya di dalam mengharungi badai politik tanahair. Agak susah sebelum ini untuk bertemu dengan rakyat Johor yang tidak daripada keturunan UMNO. Malah bila bertemu dengan orang Johor sudah terbayang pada pandangan kita bahawa orang itu adalah daripada kalangan UMNO. Mudah bicara, UMNO dan orang Johor bagaikan irama dan lagu.

UMNO ‘lahir’ di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946 setelah Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) mengadakan persetujuan dan Perlembagaan UMNO telah diterima dan diluluskan oleh para peserta. UMNO pun lahirlah secara rasmi. Begitu hebatnya UMNO di Johor. Sehinggakan generasi lama menganggap bahawa meninggalkan UMNO adalah seperti meninggalkan masyarakat. Jika seseorang itu menyertai parti lain terutamanya PAS maka dianggap pula sebagai ‘penderhaka’ kepada negara dan masyarakat. Berbeza dengan PAS di Johor.

PAS hanya mula bertapak di Johor secara rasminya pada tahun 19 Mac 1954 dengan penubuhan cawangan pertamanya di Johor Bahru setelah tiga tahun PAS ditubuhkan di peringkat kebangsaan. Haji Ariffin Alias dipilih menjadi Yang Dipertua, Sdr Othman Abdullah dilantik menjadi Setiausaha manakala Penyimpan Wang diamanahkan kepada Sdr Yusuf Abdul Rahim. Seramai lapan orang Ahli Jawatankuasa telah dilantik bagi menerajui PAS cawangan. Masyarakat Bugis di Benut pula telah mengambil langkah seterusnya dengan menubuhkan cawangan kedua PAS Johor pada 6 Mei 1954.

Walaupun usia PAS cawangan ini masih mentah, namun ia berjaya mengumpulkan suara dan pandangan yang lebih progresif. Dalam mesyuaratnya pada 30 Julai 1954, satu keputusan muktamad telah dipersetujui untuk membawa egala cadangan dan usul ke Muktamar Agung PAS di Krian Perak. Antara usul yang dipersetujui ialah meminta PAS Pusat mengadakan pendidikan politik Islam kepada ahli-ahli di semua cawangan PAS dalam negara ini. Juga meminta PAS Pusat mengadakan disiplin parti untuk mengawasi ahli-ahli PAS supaya bersedia menyerahkan tenaga mereka kepada PAS dan mendesak PAS Pusat agar menerbitkan majalah `Al-Islam’. Menurut Haji Mohd Said, keahlian PAS cawangan Benut pada waktu ini ialah kira-kira 750 orang.

Dalam suasana PAS ketika itu lemah dan dianggap bukan ancaman besar kepada UMNO, PAS bukan sahaja tidak mampu untuk menandingi kekuatan UMNO malah tidak berupaya untuk meletakkan calon dalam Pilihanraya Umum Persekutuan yang diadakan pada tahun 1955. Kegagalan ini disebabkan masalah kewangan yang begitu runcing. Walaupun hasrat untuk menyertai pilihanraya telah berputik sejak penubuhan cawangan PAS Johor Bahru lagi, namun cita-cita itu terpakasa dibatalkan memandangkan kos perbelanjaan menyertai pilihanraya agak tinggi.

PAS Johor hanya berjaya meletakkan calon di dalam pilihanraya Umum Persekutuan 1959, iaitu seramai tiga orang calonnya bertanding di peringkat parlimen Pontian Utara, Muar Selatan dan Segamat Utara. Seramai sembilan lagi calonnya diletakkan diperingkat Dewan Undangan Negeri Pontian Dalam, Benut, Rengit, Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Parit Bakar, serom dan Jorak. Dalam pilihanraya ini, PAS gagal mendapatkan sebarang kerusi di Johor. Inilah pengalaman yang sering dialami oleh PAS di Johor.

Pada keseluruhannya, undi yang diperolehi oleh PAS bagi tiga kawasan parlumen yang ditandingi ialah 4992 daripada jumlah keseluruhan iaitu 216 027 undi. Bagi sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi, PAS berjaya memungut undi sebanyak 5471 daripada undi keseluruh yang berjumlah 214 496. inilah ukuran sokongan masyarakat terhadap PAS pada masa itu. Peratusan undi yang diterima oleh PAS begit kecil sekali iaitu diperingkat Peringkat Parlimen sebanyak 2.3% manakala di peringkt DUN 2.6%.

Apabila PAS semakin berkembang, maka tekanan mula dikenakan terhadap PAS dan ahlinya di Johor. Siri-siri kecaman, pemboikotan, gangguan fizikal dan mental serta lemparan tuduhan tidak berasas ditujukan kepada PAS. Sebagai contohnya, ayahanda Haji Sakib Abd Manan, Yang Di Pertua PAS Kawasan Sri Gading pernah dihalau daripada kampung kerana menubuhkan PAS di Kampung Parit Sonto pada satu ketika dahulu.

Terlalu banyak pengalaman PAS di Johor yang terlalu panjang untuk dibicarakan di sini tetapi apa yang pasti, PAS Johor telah bergerak kehadapan untuk memastikan citi-cita untuk mendaulatkan Islam akan terus dipergiatkan. Pilihanraya umum ke 11 telah memulakan episod luka UMNO dan BN di Johor selepas PAS telah memenangi satu kerusi DUN iaitu DUN Senggarang. Walaupun Dr Mohd Ramli in Mohd Kari menang secara teknikal tetapi ia sudah cukup meruntuhkan keegoaan pemimpin UMNO Johor yang menyebut bahawa sampai Kiamat pun PAS tidak akan memenangi satu kerusi di Johor.

Allah ‘mengajar’ pemimpin UMNO dengan PAS menang di DUN Senggarang. Kali ini, telah berjaya memenangi enam kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen di Johor, satu rekod terburuk UMNO/BN Johor. Janji Datuk Ghani Othman bahawa pembangkang sifar akan menjadi kayu pengukur kejayaan BN di Johor tetapi tujuh kerusi telah terlepas kepada Pakatan Rakyat (PR). Suara penuh kebongkakkan sudah mula kendur daripada para pemimpin UMNO Johor. Sudah agak kurang sehingga hampir-hampir hilang suara-suara yang berkata Johor adalah kubu kuat UMNO dalam dunia. Yang ada ketika ini adalah suara ketidakpuasan hati ahli UMNO terhadap kepimpinan yang ada. Ketika ini, terdapat banyak bahagian UMNO di Johor yang sedang berkocak dengan pergaduhan dan pertelingkahan dalam merebut jawatan di peringkat cawangan dan bahagian. Laporan awal memperlihatkan bagaimana Parlimen Kota Tinggi, Pengerang, Pulai, Muar, Kluang, Sri Gading sedang menghadapi satu pertembungan yang cukup hebat apabila mesyuarat di peringkat cawangan telah mula pertempuran yang sangat dahsyat. Kota Tinggi, polis menerima lima laporan mengenai kejadian pergaduhan dalam mesyuarat agung beberapa cawangan Umno dalam Bahagian Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Osman Mohd Sebot yang mengesahkan tentang kejadian pergaduhan itu hari ini berkata, polis menyiasat satu daripada laporan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang juga Ketua Umno Bahagian itu dilaporkan oleh akhbar hari ini sebagai berkata, penjalanan mesyuarat cawangan kali ini adalah yang terburuk dan dibayangi dengan unsur-unsur "kemaruk kuasa." Setakat ini, Syed Hamid, yang telah mendapat 10 pencalonan, dijangka menghadapi saingan sengit dalam pemilihan kali ini daripada bekas naib ketua bahagian itu Daing A.Malik Daing A.Rahman yang telah mendapat 15 pencalonan setakat ini.

Di Pengerang, Setiausaha UMNO bahagian berkenaan, Nizam Ali dan Bendahari, Kadir Yunus telah dipecat oleh Ketua UMNO Bahagian Pengerang pada Jumaat yang lalu kerana telah tidak dipercayai lagi. Datuk Harun Abdullah telah mengambil tindakan tersebut apabila beliau tidak berjaya mendapatkan dua puluh peratus pencalonan daripada cawangan UMNO di Pengerang. Datuk Seri Azalina Othman Said memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pengerang tanpa bertanding apabila 27 daripada 32 cawangan di bahagian tersebut sehingga hari ini mencalonkannya untuk jawatan tersebut.

Di Parlimen Pulai, Ketua Bahagian sekarang iaitu YB Datuk Nur Jazlan bin Tan Sri Mohamed mendapat pencalonan yang sama dengan Timbalan Ketua Bahagian iaitu YB Dato' Osman bin Sapian dengan dua puluh pencalonan. Mengikut maklumat di sana, pertembungan tersebut cukup hebat sehingga dapat dirasai oleh penduduk yang berada di sana walaupun mereka bukannya ahli UMNO.

Selain daripada isu pertembungan dalam pemilihan kepimpinan parti dipringkat cawangan dan bahagian, pencalonan untuk jawatan Presiden UMNO juga cukup menarik di Johor apabila terdapat pencalonan di Johor yang menolak Pak Lah dan mencalonkan individu seperti Muhyiddin Yassin, Ku Li dan Najib Razak sebagai Presiden UMNO.

Diantaranya, Muhyidin Yassin mendapat pencalonan daripada cawangan UMNO Cawangan Stulang Laut, UMNO Cawangan Permas Jaya, Cawangan Desa Jaya, Bahagian Johor Bahru

Cawangan Danasari Pt Sulong dan cawangan Parit Simis Darat(Parit Sulong) mencalonkan Najib Razak sebagai Presiden.

Cawangan Maharani, Bandar A, Bandar, Parit Perupuk Laut, Sungai Balang, Kampung Indah Parit Bugis, Seri Kemang, Sungai Kelat, Sungai Pulai, Seri Rahmat, Seri Pantai dan Paya Lebar kesemuanya di Bahagian Muar mencalonkan Ku Li. Ku Li juga dilaporkan berkemungkinan besar mendapat pencalonan daripada peringkat

Bahagian Muar dan Johor Bahru untuk jawatan Presiden. Perkembangan ini sudah tentu membayangkan kepada kita bahawa ahli UMNO Johor telah mula berani membuat perubahan di atas kelemahan yang telah dilakukan oleh pemimpin mereka selama ini.

Apa yang pasti, perkembangan ini akan menguatkan lagi azam kepimpinan PAS Johor untuk terus bekerja bagi memenangi hati ahli UMNO untuk ‘berpindah kapal dan nakhoda’ kepada PAS.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Taman Sri Kluang
08.08.08, 11.49 pagi
http://www.minda-kembara.com/"

No comments: