Wednesday, April 22, 2009

Mahathir nasihat Najib bersihkan nama


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membersihkan namanya di mata rakyat Malaysia berhubung gerakan bersepadu media barat memburukkan imejnya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Dalam blognya, Dr Mahathir menulis bahawa Najib perlu menerima hakikat yang serangan media asing terhadap peribadinya akan berterusan dan mengingatkan beliau perkara yang penting ialah ”apakah pandangan rakyat” Malaysia terhadap kempen itu.

Beliau berkata, agak sukar baginya menerima hakikat bahawa kegiatan media barat untuk memburukkan-burukkan Najib itu satu kebetulan kerana ia dilakukan secara beramai-ramai dan serentak.

”Dari Perancis ke Britain hingga ke Australia, laporan-laporan yang disiarkan adalah seiras dan membawa mesej yang sama – Perdana Menteri baru Malaysia adalah seorang yang rasuah dan terbabit dalam satu kes pembunuhan,” kata Dr Mahathir.

Malah dalam hubungan ini, beliau mendedahkan seorang penulis Australia sanggup menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara ”pariah” .

Beliau berkata laporan-laporannya media barat itu mendakwa Najib juga dikatakan akan membawa balik ideologi pemerintahan yang digelar sebagai ”Mahathirisme”

”Melalui slogan Mahathirisme media barat cuba hendak mengatakan bahawa saya sebagai Perdana Menteri keempat adalah seorang diktator yang memenjarakan orang tanpa sebab, menyalahgunakan badan kehakiman dan memanipulasi akhbar di Malaysia,” kata beliau.

Dr Mahathir menyatakan bahawa sebagai orang yang dibabitkan, beliau menyerahkan kepada rakyat Malaysia untuk membuat kesimpulan mereka sendiri dan mentakrifkan maksud ”Mahathirisme”.

Beliau menegaskan isu ini adalah antara perkara utama yang Najib perlu beri perhatian.

Dr Mahathir juga menulis bahawa media barat mempunyai agenda mereka sendiri dan rakan-rakan mereka di Malaysia menyalurkan maklumat anti-Najib kerana khuatir Najib akan menamatkan kawalan mereka ke atas media.

”Najib akan terus dimomokkan oleh media barat tapi apa yang penting ialah apakah pandangan rakyat Malaysia. Hanya di mata merekalah Najib perlu membersihkan namanya,” tegas Dr Mahathir.

-nikhassanazmi.blogspot.com

Komen Mohd Sabu

Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu membangkitkan pertanyaan “Awat yang Dr Mahathir dok kalut sangat suruh Najib bersihkan nama dia? Yang kita tau, Najib liat sungguh nak buat lagu tu. Dah kawan tu tak nak, awat yang Dr Mahathir dok suruh jugak-jugak?

“Ca hang perati sikit. Mula-mula Dr Mahathir kata kabinet Najib ada orang yang perangai keji. Lepas tu Najib kata dia nak buat jugak WPI (Wilayah Pembangunan Iskandar) yang Dr Mahathir tak suka. Ni dah Dr Mahathir kata Najib kena bersihkan nama pulak”. -PenarikBeca

Penghakiman kes Speaker Dun Perak, mahkamah salah masuk?

Tarmizi Mohd Jam

KUALA LUMPUR, 20 April : - Dalam membuat keputusan yang menghukumkan Speaker V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa menggantung Dato Dr Zambry Abdul Kadir, Mahkamah Persekutuan mengambil sikap yang berbeza dengan keputusan mahkamah sebelum ini yang mengambil kira kedudukan Perkara 72(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kata Prof. Dr Abdul Aziz Bari ketika ditanya mengenai permohonan 10 perintah yang belum kesemuanya dikeluarkan. Perkara 72(1), kata Aziz, jelas memberi imuniti kepada prosiding dewan.

"Oleh kerana Tan Sri Alauddin Sheriff masih belum memberikan penghakiman bertulis, sebenarnya kita masih kabur. Tetapi ini mungkin dibangkitkan oleh peguam Sivakumar dalam prosiding di mahkamah berkenaan," katanya lagi.

Apa pun, kata pakar perlembagaan itu, keputusan mahkamah dalam kes-kes terdahulu seperti Lim Cho Hock (1979), Tun Datu Haji Mustapha (1986) dan Haji Salleh bin Jafarudin (1986) menjunjung peruntukan dan semangat Perkara 72(1) yang tidak membenarkan mahkamah menyentuh perjalanan dewan.

"Ini menyebabkan ramai yang terpinga-pinga dengan keputusan mahkamah berkenaan, sebab itu jelas menyalahi sesuatu yang telah termaktub dan diamalkan," kata beliau.

Aziz juga menimbulkan persoalan tentang kedudukan perintah-perintah yang dipohon itu di sisi undang-undang. Katanya mahkamah tidak boleh mempersoalkan kewajaran tindakan badan perundangan.

"Sebab itu mahkamah enggan membincangkan soal apakah sesuatu undang-undang itu adil atau sebaliknya", tambahnya.

Beliau berkata mahkamah, dalam melakukan semakan kehakiman, selalunya menangani soal bidang kuasa.

"Selagi sesuatu undang-undang itu masih di dalam bidang kuasa dewan berkenaan maka mahkamah akan melaksanakan undang-undang itu biar bagaimana tidak adil sekalipun", katanya.

Perintah-perintah seperti injuksi dan seumpamanya selalunya dikeluarkan ke atas badan-badan atau agensi yang diwujudkan oleh badan perundangan, baik parlimen maupun DUN.

"Jadi saya berasa musykil bagaimana peguam berkenaan boleh memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah ke atas speaker yang merupakan sebahagian daripada dewan", tambah Aziz.

Beliau berkata perintah juga boleh dikeluarkan ke atas menteri tetapi tidak ke atas kabinet yang merupakan badan eksekutif.

"Jadi keputusan Mahkamah Persekutuan di Perak ini amat ganjil kerana ia tidak selaras dengan peruntukan perlembagaan dan amalan yang telah berjalan selama ini".

Aziz juga menimbulkan sikap salah seorang hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin yang bersetuju dengan Tan Sri Alauddin Sheriff. Kata Aziz ini tidak konsisten kerana di dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (2006) Zulkefli tidak memberi perhatian kepada soal prosedur yang dibangkitkan oleh Anwar dalam pemecatannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

"Dalam kes saman Anwar ke atas Mahathir itu Zulkefli merujuk kepada kuasa mutlak Perdana Menteri. Sepatutnya dalam kes Sivakumar ini Zulkefli harus mengambil pendekatan yang sama dan menentang keputusan Alauddin dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang lain," katanya.

Aziz berkata kes-kes perlembagaan perlu ditangani dengan prioriti yang betul; soal prosedur harus tidak menjadi halangan kepada isu pokok.

"Prosedur dan isu teknikal bertujuan membantu dan meregulisasi bukan menafikan hak," tegasnya lagi.- TMJ/Harakahdaily.

No comments: