Friday, April 3, 2009

RESTUILAH APA YANG BARISAN NASIONAL LAKUKAN

"Mohon restu" dari rakyat untuk rakyat merestui segala bentuk penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan agar rakyat tutup sebelah mata apa yang BN telah, sedang dan akan lakukan, dulu, kini dan selamanya.

Slogan 'pohon restu rakyat' sandiwara terdesak BN



Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar menyelar Barisan Nasional dan menyifat slogan yang digunakan untuk menarik sokongan rakyat di Bukit Selambau dan Bukit Gantang sebagai satu lagi sandiwara terdesak BN untuk menipu rakyat.

Beliau mempersoalkan mengapa pada waktu kritikal disaat sokongan rakyat terhadap BN terhakis, baru BN hendak memohon restu rakyat.

"Kenapa semasa menaikkan harga minyak, menaikkan harga barang, naikkan tol dan merampas kerajaan negeri Perak, BN tidak meminta restu rakyat?" soal beliau.

Firdaus yang juga Ketua Penerangan Pilihan Raya bagi jentera PAS percaya rakyat di Bukit Selambau dan Bukit Gantang tidak akan mudah tertipu dengan sandiwara BN.

Katanya, BN seolah-olahnya seperti 'harimau kelaparan yang tersepit' yang akan membaham orang yang melepaskannya.

"Rakyat jangan tertipu lagi, jika mereka tersilap memberikan kemenangan kepada BN, mereka akan terus ditindas," tegasnya.

Firdaus yang juga AJK Dewan Pemuda PAS Pusat turut membidas Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Hussein yang mempergunakan Sekolah Rendah Lubuk Segentah dekat sini untuk kepentingan politik BN.

"Tindakan Naib Presiden Umno ini cukup memalukan, beliau membawa calon BN pergi ke sekolah rendah untuk berkempen.

"Tindakan menggunakan premis kerajaan ini membuktikan BN sedang terdesak kerana menyedari rakyat masih menolak mereka sejak PRU 2008," ujarnya.

Katanya, Hishammuddin dan pemimpin kerajaan lain, kononnya melarang parti-parti politik menggunakan premis kerajaan, sebaliknya mereka yang memperalatkan dan menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan BN.

"Rakyat harus menghentikan double standard ini dengan mengundi calon Pakatan Rakyat," tegasnya.

Mohd Rashidi Hassan/harakahdaily

No comments: