Wednesday, April 29, 2009

PERAKITE: sidang DUN 7 Mei akan serlahkan kuasa speaker

PERAKITE: sidang DUN 7 Mei akan serlahkan kuasa speaker
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Posted by: pinkturtle2 | Mei 5, 2009

Sivakumar Bakal Gagalkan Perancangan Umno-BN
Sidang 7 Mei: Sivakumar Bakal Gagalkan Perancangan Umno-BN


Sidang Dewan Undangan Negeri Perak 7 Mei ini bukanlah persidangan biasa dalam mana-mana sidang DUN di negara ini.

Sidang DUN 7 Mei dianggap pertembungan nilai-nilai yang bertunjangkan keadilan dan kedaulatan undang-undang dengan undang-undang rimba dan kerakusan kuasa, seperti mana juga pertembungan haq dan bathil dalam ajaran agama sejagat.

Oleh itu sidang hari Khamis ini menjadi bukan sahaja perhatian rakyat Perak khususnya dan rakyat Malaysia amnya malah menjadi fokus masyarakat dunia.

Sidang 7 Mei akan memperlihatkan kepada seluruh makhluk alam ini sama ada rakyat yang terus menerus ditindas dan dinafikan hak mereka oleh satu sistem kerajaan yang membelakangi segala yang betul, teratur dan lurus akan mencapai kemenangan hitam mereka sekali lagi atau apakah kuasa rakyat yang dalam sejarah dunia mampu menghadapi apa saja kuasa bakal mengalahkankan kuasa jahat yang selama ini membelenggu mereka.

Apa yang bakal terjadi di dalam ruang DUN 7 Mei hanya berdasarkan spekulasi semata-mata tetapi jika diteliti Perintah-Perintah Tetap DUN dan Perlembagaan Perak beberapa kemungkinan bakal berlaku pada hari Khamis kelak.

Percubaan pertama Umno dan Barisan Nasional yang diketuai oleh Menteri Besar yang masih dipertikaikan status halal haramnya, Zambry Abd Kadir ialah menyingkirkan Speaker, V. Sivakumar.

Dalam DUN Speaker berkuasa sepenuhnya dan kuasa beliau tidak boleh dicabar hatta dalam mahkamah sekali pun.

Jika ada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri BN cuba membuat kacau dan menganggu gugat sidang, mereka boleh digantung oleh Sivakumar atau diarahkan keluar Dewan.

Jika empat ADUN BN digantung Pakatan Rakyat akan memperolehi majoriti mudah dan undi tidak percaya terhadap Zambry boleh diadakan.

Sekiranya ini berlaku Speaker kemudiannya akan memaklumkan kepada Sultan Perak bahawa Zambry tidak lagi menikmati sokongan majoriti ahli-ahli Dewan.

Pada peringkat Sultan Azlan mempunyai dua opsyen; pertama baginda akan perkenankan supaya DUN dibubarkan dan pilihan kedua baginda akan mengganti Zambry.

Di bawah undang-undang tubuh negeri Perak, Sultan tidak mempunyai kuasa untuk memecat Menteri Besar atau meminta beliau meletak jawatan. Jika ini terjadi maka Perak akan mempunyai dua Menteri Besar tanpa kedudukan yang sah di sisi undang-undang.

Kemungkinan Sultan Azlan berbuat demikian hampir mustahil kerana baginda adalah pakar perundangan dan arif mengetahui selok belok perundangan negeri dan negara. Pilihan yang paling afdal bagi baginda ialah memperkenankan pembubaran DUN dan inilah logik yang paling diterima akal dan direstui rakyat.

Walau bagaimanapun situasi ideal ini hanya akan berlaku sekiranya persidangan DUN tersebut adalah adil dan saksama.

Dalam hubungan ini peranan yang dimainkan oleh Setiausaha DUN adalah penting.

Langkah pertama BN ialah memperakui perlantikan Setiausaha yang pro-BN. ADUN-ADUN BN akan berlakon untuk menonjolkan imej Speaker sebagai seorang yang menderhaka terhadap Sultan dan atas alasan itu beliau boleh disingkir melalui peruntukan Artikel 31 (1) perlembagaan negeri.

Sebaliknya jika Sivakumar gagal hadir pada hari sidang bermula maka Artikel 36 (A) boleh digunapakai untuk melantik seorang Speaker baru. BN sudah pun mengumumkan bekas ADUN Sungkai yang juga seorang peguam, R. Ganesan sebagai calon Speaker. Artikel 36 menggariskan prosedur perlantikan Speaker yang bukan daripada kalangan ADUN.

Dalam apa hal pun Pakatan Rakyat tidak akan berdiam diri dan mempunyai strateginya sendiri sebagaimana juga Zambry.

Seperti juga dalam permainan daun pakau, pemain akan menyimpan daun kemenangan sampai kepenghujung permainan dan akan menggunakannya pada saat-saat terakhir.

Persoalannya apakah senjata sulit yang disimpan oleh kedua-dua belah pihak. Sekiranya mahu menang dalam pertarungan dalam DUN 7 Mei nanti Pakatan Rakyat perlu melancarkan ofensif sekiranya mahu terus menguasai Dewan. Senjata terkuat

Pakatan Rakyat terletak dalam Perintah-Perintah Tetap yang menjadi tunggak kuasa Speaker.

BN selagi boleh tidak mahu berhadapan dengan rakyat melalui pilihan raya negeri kerana mereka tahu akan kalah teruk, lebih teruk daripada Pilihan raya Umum 2008.

Rakyat pula menolak mereka dan meneruskan ciri penolakan Umno dan BN seperti yang dilihat dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang bulan lalu.

BN akan cuba sedaya upaya mereka untuk terus berkuasa walaupun tanpa mandat rakyat. Pakatan Rakyat pula perlu mencari pendekatan terbaik dan sistematik supaya DUN dapat dibubarkan dan dikembalikan memerintah Perak dengan majoriti jauh lebih besar dan mantap.

http://www.tvantara.com

Dikirim dalam News & Politics
« kesian nasib yang menimpa Perdana Menteri yang satu ini
Respon

1.

assalamualaiku …. aku ni bukan apa kesian kat insan hina…. ya lah dia tak de masa…… kalau diiukut semua entri dia nak masukkan TESIS PENGAJIAN ISLAM DIA NI … tak pula dia fikir tesis dia ni boleh dimasukkan 1 atau 2 entri je. orang nak masuk komenpun tergaggu ngan tesis dia ni. kita nak komen saja bukan nak tesis yang kalau dibuat buku beratnya 5 kati he he he

Masih ada lagi yang nak membetulkan “benang yang dah reput”. Saya sudah berkali-kali mengemukakan dalil dari alQuran dan Hadis serta bukti-bukti ilmiah. Ternyata “golongan” ini tidak boleh menerima kenyataan dan tidak menerima kebenaran yang dibawa. Walaubagaimanapun saya bersetuju kerana dia sendiri sudah mengaku sebagai seorang yang “tidak berilmu” dan hanya “jumud” terhadap pandangan “golongannya sendiri”. Spesis seperti ini memang wujud semenjak zaman dahulu lagi kerana anak cucu Adam dijadikan dengan berbagai-bagai jenis tanah. Demikian juga pemikiran, perangai, perspeksi, warna kulit dll yang berbeza-beza. Yang membezakan di antara kesemua itu hanyalah Ilmu dan hidayah kebenaran yang diberikan oleh Allah. Sungguhpun dijelaskan berkali-kali, berpuluh-puluh kali, beratus kali, beribu kali dan sehingga tidak terhitungpun begitulah yang dinamakan Manusia. Saya percaya hanya dirinya sendirilah yang mengetahuinya kerana dia tidak boleh menipu dirinya sendiri.

Pembangkang Kerajaan, Parti Pembangkang dan ‘bughah’ Menurut Fiqh Islam

Pembahasan tentang pembangkang kerajaan (government opposition) dan parti pembangkang (opposition party) yang berkembang di dunia Islam, khususnya yang mengamalkan sistem demokrasi, menarik untuk dibahas secara mendalam, sama ada berkenaan dengan sejarah kemunculannya, tamadun dan way of life yang melahirkannya serta pandangan Islam terhadapnya, termasuk apa dan bagaimana bughah (pembangkang) menurut fiqih Islam ?

Untuk membahas permasalahan di atas, adalah perlu menyenaraikannya dalam bentuk pertanyaan-pertanyaan sebagai berikut :

1. Sejak bila muncul istilah pembangkang kerajaan (government opposition) dan parti pembangkang (opposition party) dengan konsep opposition (oposisi) yang sah dalam dunia Islam?

2. Bagaimanakah kedudukan dan fungsi parti berkuasa (government party) dan parti pembangkang (opposition party) dalam sistem demokrasi, serta perbezaan antara parti-parti tersebut dengan parti Islam dalam sistem Khilafah Islam, dari segi kedudukan dan fungsi masing-masing?

3. Apakah dan siapakah pembangkang dalam sistem Khilafah Islam?

4. Adakah wujud pembangkang yang dianggap sah oleh sistem Khilafah Islam?

Sejarah Pembangkang (opposition) di Negara Islam

Istilah pembangkang kerajaan (government opposition) dan parti pembangkang (opposition party) yang berlaku mengikut sistem demokrasi ketika ini sesungguhnya berkembang seiring dengan masuknya sistem demokrasi Barat dalam dunia Islam. Dan betul-betul mengakar di tengah kaum muslimin menjelang dan setelah runtuhnya sistem Khilafah Islam, pada tanggal 3 Mac 1924.

Konsep pembangkang (opposition) ini sebenarnya bukanlah merupakan konsep demokrasi yang tulen yang berasal dari kapitalisma, namun merupakan penyesuaian dengan sistem sosialisma. Ini bukannya kali pertama kapitalisma mengambil penyesuaian dengan sosialisma, sebab dalam beberapa hal kapitalisma juga melakukan hal yang sama. Konsep keadilan sosial (al-‘adalah al-ijtima’iyah) adalah konsep kapitalis yang diubahsuai dengan konsep equality (persamaan) sosialisma, sebagaimana yang ketika ini berkembang dalam dunia Islam. Seperti yang menjadi asas kelima Pancasila, yang menjadi asas negara Indonesia.

Mengapa konsep opposition ini bukan tulen dari kapitalisma? Kerana asas pemikiran yang menjadi dasar lahirnya konsep tersebut adalah mewujudkan balance (keseimbangan) dan kemajuan melalui persaingan. Dimana konsep ini diasas berdasarkan konsep dialektika materialisme (perubahan kebendaan), iaitu thesis-antithesis-sinthesis. Thesis adalah keadaan asal, sebelum ada perubahan. Antithesis adalah keadaan lain yang dibentuk untuk mengubah keadaan asal, sehinggalah terjadi perubahan. Dan sinthesis adalah keadaan perubahan yang diingini. Inilah inti dari pandangan sosialisma yang dibangun berdasarkan konsep dialektika materialisme. Keadaan asal, iaitu keadaan yang ketika ini dibentuk oleh kerajaan adalah thesis. Agar keadaan tersebut berubah menjadi lebih baik, maka dibentuklah opposition, dan opposition ini disebut antithesis. Sama ada opposition tersebut dibentuk untuk mewujudkan balance ataupun perubahan yang lebih baik.

Konsep opposition ini memang sah dalam sistem demokrasi, kerana konsep ini dipandang dapat mewujudkan balance dan kemajuan. Konsep ini kemudian dilaksanakan dengan kebebasan berbicara (freedom of speech) yang tidak diasaskan berdasarkan suatu kaedah apapun, melainkan kebebasan berbicara itu sendiri. Segala apapun yang tidak sesuai dengan garis panduan kerajaan dianggap sebagai pembangkangan, meskipun yang disampaikan itu benar menurut hukum Islam, kerana dipandang membahayakan kerajaan. Dan begitu pula sebaliknya. Sedangkan yang menjadi kaedah freedom of speech adalah asas manfaat. Iaitu, selama mana yang disampaikan itu menguntungkan kerajaan, kedudukan ketua kerajaan dan sebagainya, maka meskipun ianya bertentangan dengan garis pandu kerajaan, freedom of speech tersebut dibolehkan. Jadi asas freedom of speech adalah manfaat, bukannya halal-haram yang dibenarkan oleh syari’at Islam.

Sedangkan freedom of speech dalam sistem demokrasi muncul setelah suara rakyat disekat, tidak boleh disalurkan meskipun untuk menuntut hak-hak mereka, sedangkan hak-hak mereka diambil dengan cara paksa oleh para pemimpin mereka yang berkuasa dan diktator, iaitu gereja. Akhirnya lahirlah gelombang besar itu menuntut perubahan, kebebasan dan persamaan yang dikenali dengan slogan: liberty, equality dan fraternity. Gelombang besar yang kemudian melahirkan tuntutan tersebut. Ia berlaku dalam abad ke17-18 Masehi, iaitu semasa terjadinya Renaissance.

Inilah gambaran ringkas tentang sejarah pembangkang, parti pembangkang dan freedom of speech yang berkembang di Barat. Sedangkan perkembangan konsep tersebut dalam dunia Islam, bermula sejak kemunduran Khilafah Ustmaniyah. Pada tahun 1816 di perpustakaan-perpustakaan Mesir sudah dijumpai pemikiran Voltaire, Rostow dan Montesque (yang dikenali dengan konsep trias politica-nya). Bahkan lebih parah lagi setelah pelajar-pelajar Islam dihantar ke Eropah, seperti Rufa’ah At-Thahthawi (1826-1831) dan Khairuddin At-Tunisi (1852-1856) ke Paris. Pada tahun 1869, Al-Majallah Al-Adliyah diterbitkan oleh Sultan Abdul Aziz yang dilaksanakan di mahkamah civil/awam, hingga pemahaman kaum muslimin tentang Islam, akidah dan syari’atnya menjadi jauh dari Islam (Ittijahatu At-Tafsir Fi Al-Ashri Ar-Rahin, Dr. Abdul Majid Al-Muhtasib, hal. 1-4). Seiring dengan itulah, muncul tuntutan freedom of speech, demokrasi, pembangkang, parti pembangkang dan idea-idea kufur yang lain dalam dunia Islam, sehingga berjaya menjatuhkan Khilafah Islam.

Parti Berkuasa, Parti Pembangkang versus Parti Islam

Kedudukan parti yang berkuasa (parti kerajaan) dengan parti pembangkang ditentukan melalui pilihan raya. Iaitu, mana-mana di antara parti tersebut yang memenangi undi majoriti dalam pilihan raya, maka itulah parti yang berkuasa yang boleh memerintah kerajaan, sehinggalah setelah itu disebut sebagai parti kerajaan. Sedangkan parti pembangkang adalah parti yang kalah undiannya di dalam pilihan raya. Kadang-kadang parti tersebut mendokong garis panduan kerajaan yang dibuat oleh parti yang berkuasa dan kadang-kadang tidak bersetuju dengan garis panduan tersebut. Biasanya setiap parti masing-masing, sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang mempunyai program tersendiri, untuk mencari dokongan daripada masyarakat dalam memenangi undi.

Biasanya parti berkuasa (parti kerajaan) akan bergabung dengan komponen yang lain agar boleh memenangi undi majoriti dalam pilihan raya, tanpa mempertimbangkan faktor keislaman, non-Islam, etnik dan sebagainya. Begitu pula parti pembangkang juga melakukan cara yang sama. Kerana, masing-masing sama-sama bertujuan untuk memenangi undi dalam pilihan raya. Dimana asas yang diikuti/rujuk adalah manfaat, bukan yang lain. Walaupun untuk memperolehi manfaat itu, masing-masing terpaksa menghalalkan segala cara. Setelah parti-parti tersebut melakukan undi pilihan dalam pilihan raya, maka hasil pilihan itulah yang akan menjadikan wakil-wakil parti tersebut mendapat tempat di dalam parlimen. Dimana jumlah kerusi parti dalam parlimen tersebut ditetapkan mengikut perolehan hasil undi tersebut. Siapa yang mendapat kerusi majoriti, maka ianya yang hampir pasti dapat menentukan garis panduan negara. Sehingga bagi mereka, pilihan raya menjadi penting untuk menentukan garis panduan (dasar) negara. Sedangkan dengan freedom of speech yang dianuti oleh negara pengikut sistem demokrasi, parti pembangkang akan sentiasa menentang hal-ehwal kerajaan untuk mendapatkan simpati rakyat agar boleh memenangi undi pilihan tanpa mempertimbangkan halal-haram. Inilah fakta tentang parti pembangkang dan parti berkuasa dalam sistem demokrasi.

Sedangkan parti Islam jelas berlainan. Pertama, mengenai dalil kewajipan mendirikan parti Islam adalah surah Ali Imran: 104, iaitu: “Hendaknya ada di antara kalian ‘umat’ yang menyeru pada Islam, melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar. Dan mereka inilah orang-orang yang beruntung.” Kata: “Hendaknya ada di antara kamu ‘umat’.” yang dalam bahasa asalnya: “Waltakun Minkum Ummatun.” adalah fi’il mudhari’ yang disertai dengan huruf: “Lam Li Al-Amri” (Lam yang berfungsi perintah). Disamping itu terdapat indikasi (qarinah) yang melarang untuk meninggalkan perintah tersebut, bahkan pelakunya diancam dengan siksa neraka (Q.s. Ali Imran: 105). Ini menunjukkan bahawa perintah tersebut adalah perintah yang tegas (thalaban jaziman) yang bermakna wajib. Akan tetapi wajibnya merupakan wajib kifayah, iaitu kewajipan yang hanya boleh dilakukan oleh orang-orang yang memenuhi syarat untuk melaksanakan kewajipan tersebut. Surah Ali Imran: 104 ini tidak boleh diertikan dengan maksud yang lain, sebab tajuk utama pembahasan ayat tersebut adalah kewajipan membentuk jama’ah, parti atau kelompok, dan bukan perintah agar ada di antara umat Islam sebuah umat. Kerana, surah Ali Imran: 110 menjelaskan bahawa umat Islam ini merupakan umat terbaik. Dari sini muncul pertanyaan, mengapa Allah masih memerintahkan agar membentuk umat, padahal umat Islam sudah merupakan umat terbaik? Tentu yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang berlainan diantara ‘umat’, dalam surah Ali Imran 110 dengan dengan ‘umat’ di dalam ayat 104. Dimana kalimat ‘umat’ di dalam ayat 104 ini adalah merujuk pada jemaah, parti ataupun kelompok.

Kedua, asas dan aktiviti parti tersebut haruslah didasarkan pada Islam dan tidak boleh menyimpang daripada Islam. Ini didasarkan pada sifat parti yang diperintahkan dalam surat Ali Imran: 104, iaitu: Menyeru kepada Islam, sama ada mengajak orang kafir masuk Islam ataupun mengajak orang Islam memulai kembali kehidupan Islam dengan menerapkan Islam secara kaffah (menyeluruh). Dimana untuk menerapkan Islam dan mengajak orang kafir masuk Islam secara efektif dan tepat adalah melalui negara. Sifat kedua: Menyeru pada kema’rufan dan mencegah daripada kemungkaran, sama ada menyeru pada rakyat biasa mahupun kerajaan, termasuk mencegah kemungkaran rakyat biasa ataupun kerajaan. Sebab, tidak mungkin parti tersebut menyeru pada Islam, menyerukan kema’rufan dan mencegah kemungkaran, sedangkan asas dan aktivitinya tidak bersumber daripada Islam, yang bererti bertentangan dengan sifat yang diperintahkan itu sendiri. Ini mustahil.

Inilah dasar yang menjadi asas kewajipan mendirikan parti Islam. Kerana itulah, maka seluruh aktiviti termasuk pendirian politiknya tidak boleh bertentangan dengan Islam, dan sentiasa akan diikat dengan halal-haram menurut syari’at Islam. Dalam menyuarakan pandangannya, ia tidak akan mengikut freedom of speech yang tidak diasas berdasarkan kaedah hukum Islam. Sebaliknya semua pandangan, pendapat dan pendirian politiknya akan sentiasa berasaskan hukum Islam.

Parti Islam akan menyuarakan pandangan dan pendirian politiknya sebagai satu kewajipan yang dilakukannya kepada kerajaan, jika kerajaan membuat dasar negara yang bertentangan dengan hukum Islam. Kerana memperbetulkan penguasa (muhasabah li al-hukkam) adalah fardhu kifayah yang harus dibawa/dipegang oleh parti Islam dan kaum muslimin., berdasarkan sabda Nabi :

“Penghulu para syahid adalah Hamzah bin Abdil Muthallib, serta orang yang berdiri di hadapan penguasa yang zalim, lalu menasihatinya kemudian ia membunuhnya.” (H.r. Al-Hakim dari Jabir). Juga sabda Nabi: “(Sebaik-baik jihad) menyatakan kalimat yang haq di hadapan penguasa yang zalim.” (H.r. Ahmad dan Ibnu Majah dari Abi Umamah Al-Bahili).

Sedangkan memberi usulan dan pandangan (syura dan masyura) adalah hak, bukan merupakan kewajipan yang dapat dilaksanakan dan tidak. Begitu pula bagi pihak kerajaan, boleh mengambil usulan parti atau menolaknya. Firman Allah: “Dan bermesyuaratlah kamu dengan mereka dalam urusan itu.” (Q.s. Ali Imran: 159) hanya dikhususkan untuk orang Islam, bukan untuk yang lain. Disamping itu parti tidak semestinya menjadi anggota Majlis Umat, sebagaimana dalam sistem demokrasi. Dan, Majlis Umat pun bukanlah sebagai lembaga legislatif yang berfungsi membuat Undang-undang (Kanun) dan Pelembagaan (Dustur). Kerana ini hanyalah hak ketua negara (Khalifah) sama ada diambil melalui ijtihad-nya sendiri ataupun mengambil ijtihad orang lain.

Seorang ketua negara, juga tidak ada kaitannya dengan parti politik setelah diangkat menjadi ketua negara, meskipun sebelumnya dia merupakan anggota atau ketua parti politik Islam tertentu. Sehingga, semua parti politik Islam, sama ada parti yang sebelumnya merupakan parti ketua kerajaan ataupun bukan, akan mengambil pendirian politik yang sama terhadap kerajaan. Sebaliknya, ketua negara tidak akan mempunyai pendirian politik yang tidak adil terhadap parti-parti politik Islam yang sebelumnya bukan menjadi wadahnya. Dengan begitu Islam tidak mengenal parti kerajaan dan parti pembangkang. Sebab, kedudukan parti dalam Islam sama, dimana masing-masing tidak terkait dengan negara. Negara juga tidak boleh membubarkan parti tersebut, kecuali jika ia menyimpang dari Islam dan syari’atnya. Begitu juga, untuk mendirikannya tidak memerlukan izin khusus dari kerajaan, sebab parti tersebut berdiri untuk melaksanakan kewajipan. Dan untuk melaksanakan kewajipan tidak memerlukan izin sesiapapun, kecuali izin Allah (iaitu mengikut Pelembagaan ataupun Dustur hukum Allah).

Dalam Khilafah Islam, semua parti adalah sama, iaitu sama-sama Islam, tidak ada parti yang lain, sama ada yang didirikan berdasarkan asas perkauman, seperti Melayu, Cina, India, Arab atau yang lain. Orang non-Islam tidak mempunyai hak untuk membentuk parti politik. Mereka juga tidak berhak untuk memberikan pandangan dan usulan kepada kerajaan sebagai bahagian dari syura. Kerana, syura hanya merupakan hak orang-orang Islam (Q.s. Ali Imran: 159). Akan tetapi mereka tetap diberi hak untuk menyampaikan pengaduan kepada kerajaan atas kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan kepada mereka. Sabda Nabi: “Sesiapa sahaja yang hartanya aku ambil (secara zalim), ini hartaku silakan ambil, dan sesiapa sahaja yang belakangnya aku sebat(secara zalim), ini belakangku, balaslah. Sebab sesungguhnya aku ingin bertemu Allah, dan tidak ada seorang pun yang menuntut kepadaku kerana kezaliman.” Hadis ini bersifat umum sama ada untuk orang Islam atau non-Islam, masing-masing berhak menuntut balas kepada Nabi saw. Inilah hak politik orang kafir dalam Khilafah Islam. Sedangkan dalam hal yang lain, (kecuali akidah, ibadah, pakaian, makanan serta pernikahan) adalah sama dengan orang Islam. Mereka mempunyai hak politik yang sama.

Apakah dan Siapakah Pembangkang Dalam Negara (Khilafah) Islam ?

Dalam negara Islam, iaitu Khilafah Islam, orang atau kelompok yang disebut sebagai pembangkang hanya ada satu istilah, iaitu bughah. Lalu siapa yang disebut bughah menurut konsep fiqih Islam? bughah adalah sejumlah orang yang mempunyai ciri-ciri, antara lain:

(1) Membangkang pada negara Islam seperti tidak bersedia menunaikan hak, mentaati Pelembagaan (Dustur) atau melakukan aktiviti untuk menentang ketua negara;

(2) Adanya kekuatan yang boleh dimanfaatkan oleh bughah untuk mengambil kekuasaan;

(3) Memisahkan diri dari negara Islam, seperti revolusi bersenjata, gerakan pemisah, terorisma untuk mencapai tujuan politik.

(At-Tasyri’ Al-Jina’i Fi Al-Madzahib Al-Khamsah, I/148-150; Al-Jihad Wa Al-Qital Fi As-Siyasah As-Syar’iyah, Dr. Muhammad Khair Haekal, I/63-64; Al-Um, As-Syafi’I, IV/216; Al-Mughni, Ibnu Qudamah, X/52; Al-Muhallah, Ibnu Hazm, XI/97-98).

Dr. Muhammad Khair Haekal menjelaskan, bahawa masalah bughah ini berasal dari ayat: “Jika ada dua kelompok orang beriman saling berperang, maka damaikanlah di antara mereka. Jika salah satu kelompok tersebut membangkang (melakukan perlawanan) terhadap yang lain, maka perangilah yang lain yang membangkang sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah.” (Q.s. Al-Hujurat: 9). Beliau menegaskan, bahawa bughah di sini mempunyai makna mutlaq yang tidak disertai taqyid (ketentuan ataupun syarat) apapun. Sehingga, aktiviti yang dilakukan oleh kelompok dimana pelakunya disebut bughah tidak disertai syarat apapun, iaitu kelompok yang melakukan pembangkangan untuk kepentingan dunia (Al-Jihad Wa Al-Qital Fi As-Siyasah As-Syar’iyah, I/64).

Orang Islam yang mempunyai pandangan berdasarkan ijtihad yang dilakukannya, yang berbeza dengan tabanni Pelembagaan (Dustur) hukum Islam yang diambil khalifah yang terdapat dalam Undang-undang (Kanun) dan Pelembagaan (Dustur) negara, tidak dapat disebut sebagai bughah, selama ia tetap melaksanakan tabanni khalifah, meskipun dalam kajian dan pengajarannya ia mengambil ijtihad-nya sendiri. Kecuali, jika orang tersebut melakukan ijtihad dengan dalil-dalil yang tidak dibenarkan oleh syara’, atau melakukan ijtihad yang sememangnya tidak boleh dilakukan, sebab sudah ada penjelasan nas. Contohnya, jika ada seorang ulama’ membolehkan tempat pelacuran dengan menggunakan kaedah: Akhaffu Ad-Dhararaini (Matlamat menghalalkan di antara dua keharaman, kerana mempertimbangkan lebih ringan bahayanya daripada yang lain). Sementara sudah ada nas yang dengan tegas melarang zina. Maka, ijtihad ulama’ tersebut dianggap menyimpang. Kerana kewajipan untuk mentaati Undang-undang (Kanun) dan Pelembagaan (Dustur) itu terbatas dalam masalah pelaksanaan (tanfidz) sahaja, tidak lebih. Dimana dalam masalah pengajaran (ta’lim) dan kajian (ta’allum) ia diperbolehkan mengambil pandangan yang lain. Ini didasarkan pada kaedah: “Perintah imam harus dilaksanakan, secara zahir dan batin.” Juga kaedah: “Perintah imam boleh menghilangkan perbezaan (di kalangan masyarakat).” Kaedah ini digali dari ijma’ sahabat yang masing-masing hanya menuntut amal, bukan yang lain.

Orang yang mengambil alih kekuasaan, kerana ketua negara Islam telah meninggalkan syari’at Islam, dan secara nyata terbukti telah kafir (kufran bawwahan), setelah kekufurannya ditetapkan oleh mahkamah madzalim juga tidak dapat disebut sebagai bughah. Ini didasarkan kepada hadis Nabi:

“Apakah kami diperbolehkan untuk memerangi mereka, Ya Rasulullah?” Jawab Nabi: “Jangan, biarkan mereka selama mereka masih menjalankan puasa dan shalat.” (H.r. At-Thabrani dalam Al-Kabir juga Ibnu Hajar Al-Haitsami dalam Majma’u Az-Zawaid, V/224). Puasa dan shalat di dalam hadis tersebut merupakan kiasan kepada penerapan syari’at Islam oleh ketua negara. Dalam riwayat lain: “Dan agar kami tidak mengambil alih urusan (pemerintahan) itu dari ahlinya, kecuali (kata baginda): ‘Jika kalian menemukan kekufuran yang nyata, dimana kalian mempunyai bukti yang jelas di sisi Allah.” (H.r. Bukhari, hadis nombor 7055 dan Muslim, hadis nombor 1709).

Bahkan sebahagian ulama’ menyatakan wajib untuk mengganti penguasa yang menyimpang daripada syari’at ketika ia mengambil syari’at kufur sebagai syariat dengan kekuatan. Ini adalah pandangan Aisyah, Thalhah, Zubeir bin Al-Awwam serta sahabat-sahabat yang mengikutinya, Mu’awiyah dan sahabat-sahabat yang sependapat dengannya, juga merupakan pandangan Al-Hussein bin Ali, Abdullah bin Zubeir serta sahabat dan tabi’in yang mengikutinya (Al-Muhalla, Ibnu Hazm, juz IX hal. 362). Namun ini hanya berlaku pada saat negara tersebut adalah negara Islam, iaitu Khilafah Islam Ar-Rasyidah ‘ala Minhaji An-Nubuwwah, bukan pada masa ketika ini. Meskipun ketika ini merupakan masa fitnah dan kekufuran. Sebab konteks nas-nas di atas hanya ditujukan kepada khalifah (ketua negara) yang ada dalam Khilafah Islam.

Oleh kerana itu, orang yang melakukan social control terhadap penyelewengan yang dilakukan oleh ketua negara atau pengerusi kerajaan tidak dapat dipandang sebagai pembangkang (bughah). Juga orang yang mengambil alih kekuasaan dari tangan khalifah kerana ianya telah nyata-nyata kufur, tidak dapat disebut bughah. Begitu pula orang yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam masalah hukum syara’ dengan Pelembagaan (Dustur) negara, menyampaikan dan mempelajari hukum syara’ yang tidak sama, juga tidak dapat disebut bughah. Selain, hal-hal di atas, sekiranya pembangkangan itu dilakukan tanpa kebenaran dari hukum syara’, maka itulah yang menurut fiqih Islam disebut pembangkang (bughah).

Tidak Ada Pembangkang Kerajaan Yang Sah

Dengan batasan dan pengertian bughah di dalam fiqih Islam di atas, maka Islam tidak memberikan kebenaran bagi aktiviti mahupun pelaku pembangkangan (al-bughyi). Dan tidak ada pembangkang negara yang sah dalam Islam. Demikian pula, Islam tidak akan memberikan tempat bagi terjadinya aktiviti dan pelaku pembangkangan dalam pengertian dan batasan-batasan syara’. Islam juga tidak akan membuka pintu bagi berkembangnya konsep pembangkang (opposition) dan parti pembangkang (opposition party), sebab ini merupakan produk tamadun dan way of life Barat yang kufur. Islam bahkan mengharamkannya, sebagaimana yang termaktub dalam makna keumuman ayat: “Sesiapa sahaja yang mengambil selain agama Islam sebagai agama (sebagai tuntunan ibadah dan ideologi), maka ianya tidak pernah diterima. Dan di akhirat, ianya termasuk kelompok orang-orang yang merugi.” (Q.s. Ali Imran: 85), juga keumuman makna hadis: “Sesiapa sahaja yang menciptakan perkara baru dalam urusan (agama dan ideologi)-ku ini, iaitu perkara yang tidak berasas darinya (bid’ah), maka ianya harus ditolak.” dalam riwayat lain: “Sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan, yang tidak sesuai dengan ketentuanku (bid’ah), maka ianya wajib ditolak.” (H.r. Bukhari dalam Fathu Al-Bari, VI/230; Muslim dalam Syarah Shahih Muslim, Imam Nawawi, XII/16; Ahmad dalam Musnad, Vi/146, 180, 240, 156 dan 270; Abu Daud dalam Sunan Abu Daud, V/12, semuanya bersumber dari Aisyah ra.).

Mengingat konsep ini merupakan konsep demokrasi kufur, maka orang Islam tidak diperbolehkan untuk mengambil, menyerukan dan menerapkannya dalam kehidupan mereka, termasuklah mempergunakannya dalam usaha memperjuangkan hak dan kewajipan mereka. Sebab, kaedah syara’ menyatakan: Al-Ashlu Fi Al-Af’ali At-Taqayyudu bi Al-Ahkami As-Syar’i (Hukum asal perbuatan manusia haruslah terikat dengan hukum syara’), sedangkan hukum amalan tersebut telah jelas haram. Disamping ada kaedah: Al-Ghayatu La Tubarriru Al-Wasilah (Tujuan tidak boleh menghalalkan segala cara).

Inilah ketentuan hukum Islam. Hukum Islam telah mengajarkan bagaimana untuk membentuk parti politik yang berasaskan Islam dan aktiviti yang sentiasa diatur berdasarkan hukum Islam. Parti politik ini mempunyai fungsi dan peranan untuk mendidik umat Islam agar mempunyai pemikiran politik yang agung. Iaitu melaksanakan seluruh syari’at Islam sama ada berkenaan dengan individu, masyarakat mahupun negara, melalui Khilafah Islam. Dan di sinilah peranan politik umat Islam sebelum berdirinya Khilafah Islam. Sedangkan pasca (selepas) berdirinya Khilafah Islam, parti tersebut bersama umat Islam sentiasa melakukan social control pada kerajaan dengan prinsip amar ma’ruf nahi mungkar, bahkan wajib mengambil alih kekuasaan jika Khilafah telah jelas menyimpang dari ketentuan syari’at Islam yang diterapkannya. Jadi, bukan dengan membentuk parti pembangkang atau kelompok pembangkang kerajaan, ataupun dengan bekerjasama dengan orang-orang non-Islam dengan matlamat menghalalkan segala cara untuk tujuan mencapai keredhaan Allah, iaitu tegaknya hukum Islam. Ini adalah mustahil

No comments: