Saturday, June 14, 2008

BANTAHAN DIHADAPAN ISTANA NEGARA

6 termasuk 3 Ahli Parlimen PKR ditahan di kawasan Istana Negara.


KUALA LUMPUR: Enam termasuk tiga Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) ditahan kerana enggan mematuhi arahan polis yang mengarahkan penyokong-penyokong Hindu Right Action Force (Hindraf) supaya tidak berkumpul di kawasan Istana Negara.

Ahli Parlimen yang terbabit ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), S. Manikavasagam (Kapar) dan Sivarasa Rasiah (Subang).

Tiga lagi yang ditahan ialah N. Surendran (penasihat undang-undang Hindraf), Salmah Ismail (Setiausaha kepada Zuraida) dan Loude Mary (aktvis Hindraf).

Polis telah membebaskan keenam-enam mereka dengan jaminan sendiri kira-kira pukul 12.40 tengah hari selepas keterangan mereka diambil.

Kanak-kanak turut menyertai perhimpunan tersebut sebagai simbolik.

Ketua Polis Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis terpaksa menahan keenam-enam mereka kerana menghalang polis menjalankan tugas yang mengarahkan ‘rombongan’ tiga buah bas yang terdiri daripada dewasa dan kanak-kanak meninggalkan pintu masuk Istana Negara.

“Polis terlebih dahulu berbincang dan mengarahkan penyokong Hindraf yang berkumpul di hadapan Istana Negara agar bersurai. Namun mereka enggan berbuat demikian,” kata beliau pada sidang media di Balai Polis Brickfields hari ini.

Perhimpunan yang melibatkan seramai 15 orang kanak-kanak itu merupakan simbolik untuk menggambarkan bahawa kanak-kanak itu terpaksa menyambut sambutan Hari Bapa tanpa bapa masing-masing yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Kanak-kanak yang hadir membawa ‘teddy bear’ untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ketika kejadian, kira-kira 60 anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempatkan di luar Istana Negara.

Sebelum itu, kesemua kira-kira 70 orang penyokong Hindraf termasuk dewasa dan kanak-kanak berbilang kaum menghampiri kawasan pintu masuk Istana Negara sambil melaungkan ‘Daulat Tuanku’.

Menurut ACP Wan Abdul Bari, beliau difahamkan pihak istana tidak menerima sebarang surat permohonan atau pemberitahuan berhubung hasrat penyokong Hindraf itu untuk menemui Yang di-Pertuan Agong.

“Pihak Istana mengesahkannya. Mereka memaklumkan bahawa tidak menerima sebarang surat permohonan,” katanya.

Bagaimanpun keenam-enam mereka yang ditahan menegaskan bahawa mereka telah mengemukan surat permohonan kepada pihak Istana Negara berhubung perkara ini.



Sebuah parti komponen dijangka keluar BN - Ku Li

MENTAKAB 14 Jun - Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini mendakwa sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) akan meninggalkan parti itu sebelum hujung bulan ini.

Bekas Menteri Kewangan itu bagaimanapun tidak menamakan parti yang dikatakan akan keluar daripada BN itu.

"Saya mendapat berita bahawa satu parti akan keluar daripada BN sebelum hujung bulan ini," dakwanya ketika menghadiri majlis Perhimpunan Cawangan-Cawangan UMNO Pahang di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sabbaruddin Chik.

Sementara itu, beliau secara terbuka menamakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai gandingan paling sesuai baginya untuk bertanding pada pemilihan UMNO Disember ini.

Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding kerusi Presiden UMNO pada pemilihan itu bagaimanapun menjelaskan, keputusan muktamad untuk menentukan siapa regu terbaiknya akan tetap mengambil kira kehendak majoriti ahli parti sendiri.

''Pilihlah sesiapa sahaja untuk jadi timbalan saya tetapi Datuk Seri Najib lebih sesuai kerana beliau pernah bekerja dengan saya sebelum ini," katanya.


Mahkamah putus kerusi DUN Sanglang dikosongkan.

Dilulus terbit pada Wednesday, June 18 @ 11:46:17 MYT.

KANGAR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang yang dimenangi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lalu, dikosongkan selepas mahkamah menerima permohonan petisyen yang dikemukakan bekas calon pilihan raya Pas bagi kerusi berkenaan.

Keputusan itu bermakna pilihan raya kecil perlu diadakan untuk memilih wakil rakyat baru kawasan DUN berkenaan( Ustaz Hashim Jasin - pempetisyen)

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membuat keputusan itu bagaimanapun menolak permohonan bekas calon Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin supaya mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi kawasan berkenaan.

Zainal Adzam berkata, mahkamah tiada hak untuk mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi DUN itu kerana Seksyen 35(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk berbuat demikian sudah dimansuhkan pada 2003.

Mahkamah bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menentukan bila pilihan raya kecil akan diadakan.

Sebelum ini, ADUN Sanglang, Abdullah Hassan, dari BN memohon supaya mahkamah memerintahkan pilihan raya semula bagi menyelesaikan pertikaian itu manakala Hashim pula mahu beliau diisytiharkan menang.

Hashim diwakili peguam Mohamad Ariff Yusof mengemukakan petisyen pilihan raya mencabar keputusan pilihan raya DUN berkenaan yang diadakan pada 8 Mac lalu dengan asas berlaku kesilapan dalam proses pengiraan undi.

Hashim tewas kepada Abdullah dengan perbezaan 149 undi.

Abdullah diwakili peguam K Jegathesan.


No comments: