Wednesday, June 25, 2008

HARAPKAN PAGAK.

Beras hancur ditambah bernilai RM1 juta dirampas

KUALA LUMPUR: Dua kilang padi milik Padiberas Nasional Bhd (Bernas) diserbu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana didakwa mengubah gred beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) membabitkan stok bernilai hampir RM1 juta.

Dalam operasi dijalankan pasukan penguat kuasa Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras kementerian itu, kira-kira 540 tan beras dirampas di dua kilang milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbabit yang juga pengimport tunggal beras di negara ini.

Operasi di Tanjung Karang, Selangor, semalam merampas kira-kira 470 tan beras, manakala 70 tan lagi dirampas dalam pemeriksaan di kilang Bernas di Anak Bukit, Kedah, Ahad lalu.

Katanya, bekalan beras itu dirampas selepas pemeriksaan mendapati bungkusan ST15 yang sepatutnya diisi dengan 15 peratus kandungan beras hancur, sebaliknya mengandungi sehingga 20 peratus beras terbabit.

"Bungkusan yang diubah gred sebenarnya itu bagaimanapun dijual mengikut harga beras ST15 peratus iaitu RM1.80 sekilogram.

"Pemeriksaan juga dilakukan untuk mengetahui mengapa Bernas menyimpan stok beras dalam jumlah yang besar di kilang berkenaan sejak kira-kira dua minggu lalu, sedangkan pengguna sering mengadu bekalan beras ST15 kurang di pasaran," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed memaklumkan tindakan Bernas yang gagal memastikan 200,000 tan beras yang diimport dari Thailand bagi menambah stok penimbal tiba di negara ini mengikut jadual.

Daripada jumlah bekalan yang dipesan hanya 80,000 tan akan tiba akhir bulan ini, manakala 120,000 tan lagi pada Ogos ini.

Ketika ini, Bernas mempunyai stok simpanan beras 180,000 tan, meningkat sekali ganda berbanding 92,000 tan sebelum ini.

Pada Disember 2007 dan awal tahun ini, GLC terbabit didapati melanggar Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 dengan membawa masuk 35,000 tan beras wangi dari Thailand bernilai lebih RM80 juta juga tanpa permit import (AP) diluluskan.

Beras itu terkandas di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor dan dalam kapal di Pelabuhan Kota Kinabalu, Sabah serta Pelabuhan Klang, Selangor membabitkan 16,000 tan beras untuk kuota import 2007, manakala baki 19,000 tan lagi untuk kuota tahun ini yang ditempah lebih awal.

Sebelum itu, kejadian sama dikesan pada Disember 2004, apabila Bernas dikesan membawa masuk 12,500 tan beras dari Vietnam tanpa AP hingga menyebabkan lambakan beras bernilai RM40 juta itu ditahan di gudang beberapa pelabuhan negara.

Mengenai operasi di Tanjung Karang, sumber itu berkata, pihak bertanggungjawab sedang menyiapkan laporan kes untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Bernas kerana mengubah gred beras yang melanggar Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) 1992.

No comments: