Tuesday, June 10, 2008

UIAM

Mohd Sidek ganti Sanusi selaku presiden baru UIAM

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dilantik sebagai Presiden kelima Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkuat kuasa 2 Jun lalu.

Beliau menggantikan Tan Sri Sanusi Junid yang tempoh perkhidmatannya dipendekkan dua tahun. Tempoh perkhidmatan Sanusi sepatutnya berakhir pada 2010.

Pengarah Pejabat Perhubungan Awam UIAM, Abdul Rahman Ahmad, berkata pelantikan itu dibuat oleh Ketua Perlembagaan universiti itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Kami menyanjungi sumbangan Tan Sri Sanusi Junid kepada universiti semasa tempoh perkhidmatannya selaku presiden universiti dan masyarakat UIAM mengalu-alukan Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai presiden baru universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata Presiden UIAM berkhidmat selaku Pengerusi Lembaga Pengelola yang bermesyuarat sekali dalam setahun dan pengerusi Majlis universiti yang bermesyuarat sekali setiap empat bulan.

Bekas Menteri Besar Kedah itu menjadi Presiden UIAM sejak Februari 2000. Menurut Perlembagaan UIAM, pelantikan Presiden universiti itu adalah di bawah bidang kuasa Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Ketua Perlembagaan boleh melantik mana-mana individu sebagai Presiden UIAM yang menjadi kuasa prerogatif baginda.

Walaupun tempoh perkhidmatan Sanusi berakhir pada tahun 2010, namun menurut Perlembagaan UIAM, kedudukan beliau selaku Presiden tidak semestinya tidak boleh diganti biarpun tempoh perkhidmatannya belum berakhir.

Sebelum ini, spekulasi timbul mengenai kedudukan Sanusi selaku Presiden UIAM berikutan tindakannya keluar Umno mengikut jejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

No comments: