Saturday, June 14, 2008

IMPAK SOSIAL KENAIKAN BAHAN API




Oleh NORHAFIZAH ABD RANI - kosmo

Bagaimanakah tekanan kos sara hidup mempunyai hubung kait dengan peningkatan kadar jenayah?

KENAIKAN harga minyak di pasaran antarabangsa menimbulkan fenomena yang membimbangkan di seluruh dunia. Malaysia tidak terkecuali daripada menerima implikasi luar biasa yang tidak pernah diduga selama ini.

Bagaimanapun, dengan pengumuman kerajaan untuk menaikkan bahan api petrol sebanyak 78 sen kepada 2.70 sen manakala harga diesel melonjak RM1 kepada RM2.58, semua topik perbincangan ramai kala ini lebih terarah kepada tekanan ekonomi.

Masyarakat hanya memandang sudut ekonomi sehingga ramai yang melupakan seketika impak sosial dan pembangunan masyarakat di negara ini.

Menurut Pensyarah Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia merangkap Pengarah Pusat Kokurikulum di Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran, fenomena kenaikan harga minyak ini merupakan senario luar biasa bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Ia memberi impak dan peranan dalam pelbagai keadaan.

"Masyarakat seharusnya lebih bersedia dari segi mental dan fizikal dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku termasuk kenaikan harga kerana ini semua telah dijangkakan," katanya.

Namun, cuba melihat dari sisi lain yang jarang diperkatakan ramai. Akui Mohammad Shatar, antara kesan sosial yang mungkin bakal didepani masyarakat tidak lama lagi ialah peningkatan kadar jenayah.

Sememangnya jenayah saban hari berlaku tetapi kadar jenayah dijangka meningkat berikutan kos sara hidup dan perbelanjaan yang tinggi memaksa individu cenderung melakukan jenayah seperti ragut, mencuri, menculik serta pelbagai lagi bagi memenuhi kehendak dan keperluan diri.

Teori Masalah Sosial yang diutarakan oleh Mohamad Shatar menegaskan, seseorang sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapatkan sesuatu yang diingini.

Katanya, jenayah hari ini bukan hanya melibatkan golongan yang tidak berkemampuan kerana dengan desakan hidup yang semakin menghimpit golongan berpendapatan sederhana juga mungkin terarah untuk terlibat sama.

Seperti yang diperkatakan oleh ramai pakar ekonomi, peningkatan harga bahan api dan kos hidup sekarang bukan hanya dirasai oleh golongan miskin, tetapi golongan berpendapat sederhana di bandar antara yang menerima tamparan hebat ini.

Lantaran itu, jika sebelum ini kita hanya melihat kejadian ragut hanya melibatkan golongan miskin atau mat rempit, tidak mustahil akibat desakan kewangan golongan berpendapatan sederhana mungkin turut terjebak sama.

Melihatkan isu yang melanda pada waktu ini sesiapa sahaja boleh melakukan perkara diluar fikiran andainya terdesak.

"Kesan lain yang dapat dilihat ialah kepincangan aspek sosial di kalangan masyarakat.

Masyarakat Malaysia sudah dimanjakan dengan subsidi.

Elemen memberontak dan tertekan akan menguasai individu kerana tidak dapat menerima hakikat yang berlaku terutama sekali bagi mereka yang berpendapatan rendah," ujar beliau.

Tegasnya lagi, masyarakat hari ini perlu bersedia dan keluar daripada zon selesa yang selama ini diberi oleh kerajaan.

Menurut Mohammad Shatar, untuk jangka masa yang panjang, apa yang berlaku di negara-negara maju, akan turut melanda masyarakat kita.

Obsesi kepada kerjaya, berlumba-lumba mencari kekayaan dan masyarakat yang lebih materialistik dan penting diri adalah antara situasi yang menyelinap dalam struktur sosial.

Dalam konteks keluarga pula, perhubungan dalam keluarga sama ada suami isteri, ibu bapa dan anak akan menjadi semakin longgar.
I

bu bapa yang mengejar kekayaan akan mengabaikan tanggungjawab kepada anak-anak kerana sibuk mencari wang.

Kesan yang paling besar kepada anak-anak yang memerlukan perhatian daripada mereka tentunya berisiko terlibat dengan pelbagai masalah sosial.

Jadi usaha kerajaan Malaysia bagi melahirkan modal insan dan mencapai tahap negara maju menjelang 2020 mungkin tergugat sekiranya impak-impak kenaikan minyak dan kos hidup ini ke atas sosial dan pembangunan masyarakat tidak diberi perhatian sewajarnya.






No comments: