Saturday, June 7, 2008

KESAN KENAIKAN HARGA MINYAK

Pengusaha lori wilayah utara naik sewa 50 peratus

ALOR STAR 6 Jun - Kenaikan harga petrol dan diesel berkuat kuasa semalam memaksa Persatuan Pengusaha Pengangkutan Lori Wilayah Utara (PPPLWU) menaikkan kadar sewa lori kargo am sebanyak 50 peratus bagi menampung operasi mereka.

Presidennya, Datuk Yusoff Ismail berkata, kadar 50 peratus itu adalah bagi pengangkutan jarak dekat manakala perkhidmatan mengangkut barang jarak jauh menggunakan lori kontena pula, kadarnya dinaikkan sebanyak 40 peratus.

Kenaikan kadar sewa itu, katanya, berkuat kuasa serta merta bagi membolehkan kira-kira 1,000 ahli persatuan meneruskan operasi mereka selepas harga diesel dinaikkan RM1 kepada RM2.58 seliter.

"Persatuan menyedari bebanan pengguna dalam hal ini tetapi kenaikan sewa lori tidak dapat dielak kerana para pengusaha akan mengalami kerugian jika mengambil sewa pada kadar lama," katanya di sini hari ini.

Yusoff berkata, tidak mustahil industri pengangkutan barangan menggunakan lori perdagangan akan lumpuh jika para pengusaha kenderaan berkenaan tidak menaikkan kadar sewa.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedia menimbangkan untuk menurunkan kadar sewa lori pada bila-bila masa jika kerajaan memberi subsidi minyak menerusi penggunaan kad fleet seperti yang dinikmati oleh kenderaan pengangkutan awam ketika ini.

Dalam pada itu, Yusoff yang juga Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake) berkata, harga barangan keperluan di negeri ini dijangka akan naik dalam tempoh terdekat akibat kesan kenaikan harga petrol dan diesel.

Ini kerana, katanya, memang menjadi kelaziman harga barangan tersebut akan naik setiap kali berlaku kenaikan harga bahan api yang menjadi 'nadi' kepada pergerakan kenderaan untuk berurus niaga.

"Saya percaya apabila stok barang yang ada dalam simpanan peniaga sekarang habis dijual dan barangan baru sampai, harganya akan bertambah mahal. Tetapi inilah kesan kenaikan harga minyak yang terlalu tinggi.

"Sepatutnya perkara pertama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah mengawal harga minyak seperti yang dinikmati rakyat sebelum ini," ujarnya.

Justeru beliau menggesa kerajaan mengkaji semula kenaikan bahan api tersebut supaya pengguna terutama yang berpendapatan rendah tidak terus dihimpit dengan keputusan berkenaan.

No comments: