Friday, June 13, 2008

DALAM KENANGAN

Pilot peluk Islam setelah pesawat bawa jenazah ulama dilindungi awan



Friday, June 13 @ 08:23:16 MYT oleh SongkokPutih Oleh husamjr

"Tajuk diatas ialah tajuk sebuah artikel diruangan Pedoman & Iktibar majalah Mastika keluaran Julai 2008 (ms118).


Ia merupakan artikel menarik selain daripada artikel mengenai Tok Guru Nik Abdul Aziz di ms 84.

Meremang bulu roma saya setelah membaca kehebatan ulama tersebut sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam.

Bukan itu sahaja, menurut pilot tersebut, di sepanjang penerbangan tersebut awan memayungi pesawat tersebut sedangkan tempat lain keadaan panas terik.

Kejadian tersebut juga disaksikan oleh krew pernerbangan tersebut.

Melihat kepada kejadian aneh itulah, pilot tersebut mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Subhanallah.

Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau.

Antaranya :
1. Beliau merupakan seorang yang terkenal yang berjuang atas nama Islam.

2 Beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung 6 tahun yang lepas di sebuah Hospital di Kuala Lumpur

3 Jenazah beliau diterbangkan ke sebuah negeri di utara dengan pesawat Hercules TUDM daripada airport Subang.

4 Selain itu jenazah beliau juga diiringi oleh polis.

5 Disemadikan di sebuah madrasah negeri kelahiran beliau sesuai dengan wasiat beliau.

6 Ribuan rakyat hadir dari seluruh pelusuk negara untuk memberi penghormatan terakhir

kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah beliau.

Itulah antara fakta2 yang dinyatakan tentang jenazah ulama tersebut. Saya yakin, berdasarkan fakta2 tersebut, ulama yang dimaksudkan ialah Almarhum Ustaz Fadhil Nor, mantan Presiden PAS.

Almarhum meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di HUKM pada 23 Jun 2002.

Almarhum disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah negeri kelahirannya.

Jenazah Almarhum diterbangkan dengan pesawat Hercules TUDM di Subang dan tiba di airport Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 orang.

Ramainya orang yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum sehinggakan jalan raya sesak teruk lebih 20 km.

Kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km. Subhanallah.

Cerita awan memayungi pesawat yang membawa jenazah Almarhum Ustaz Fadhil Nor ini mungkin baru kita dengar.

Dan ia diceritakan oleh pilot yang membawa kapal terbang tersebut. Inilah bila berjuang dengan keihklasan, balasan yang Allah tunjukkan dengan jelas kepada kita dan ia sebagai pemangkin semangat kita untuk terus memperjuangkan agama Allah.

Kehebatan & keihklasan Almarhum berdakwah dan berjuang untuk agama sehinggakan didalam perjalanan terakhir beliau menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga pilot terbabit dengan izin Allah memeluk Islam.

Sememangnya Almarhum berjuang tanpa mengenal erti penat dan lelah untuk memartabatkan agama Allah di bumi Malaysia ini.

Almarhum disegani teman dan lawan.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum.
Al-Fatihah."

Tahlil Perdana Sempena 6 Tahun Pemergian Ust. Fadzil Noor

Dilulus terbit pada Wednesday, June 18 .

"Satu Majlis Tahlil Perdana bersama YAB Tuan Guru Dato' Nik Abd. Aziz bin Nik Mat dan YAB Ust Azizan Abd. Razak Sempena Memperingati 6 tahun Pemergian Almarhum Ustaz Dato' Hj. Fadzil bin Mohd Noor akan diadakan di Masjid Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah Darul Aman pada 21 Jun 2008.

Majlis akan berlangsung selepas Solat Maghrib.

Pihak Muassasah Darul Ulum membuka peluang kepada para penyumbang yang bermurah hati untuk menyertai majlis tahlil tersebut.

Penyertaan boleh dibuat dengan menyertakan senarai nama arwah untuk tujuan tersebut dan hantarkan kepada Kolej Islam Darul Ulum, KM. 23, Jalan Kuala Nerang, 06300 Pokok Sena, Kedah sebelum @ pada 20 Jun 2008.

Atau hubungi no. telefon berikut : 04-7825754 (pejabat) 017-4800965 (Ust. Ghani) atau fax : 04-7825754. Sumbangan boleh dibuat secara 'bank in' ke dalam akaun Muassasah Darul Ulum (BIMB 2011010033350), atau datang sendiri ke alamat di atas.

Sumbangan dalam bentuk cek mestilah atas nama Muassasah Darul Ulum.

Greenboc
Sejarah hidup ringkas Presiden Pas Presiden

PAS Ustaz Dato Fadzil Noor meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi 23 Jun 2002.

YB Ustaz Dato' Hj Fadzil @ Ali bin Mohd. Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Setar, Kedah.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar sehingga tahun 1949.

Kemudian menyambung pelajaran di peringkat menengah di Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama hingga tahun 1962.

Tahun 1963 beliau telah menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut.

Ustaz Dato' Hj Fadzil Mohd. Noor telah mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963.

Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar, Kedah.

Kemudian setelah berkahwin turut bersama melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar bersama suaminya.

Hasil perkahwinan beliau dikurniakan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna'izzah, Muhamad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas.

Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah bahagian pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.

Beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah.

bagaimanapun, pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM dianggap tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi.

Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali bertugas sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau telah meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam PAS.

Selain aktif dalam politik, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Negeri Kedah.

Beliau pernah menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan memegang jawatan Setiausaha Penerangan Pertubuhan itu tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presiden ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA.

Selain itu beliau juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) tahun 1974.

Beliau melibatkan diri dalam politik PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud.

Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai Exco PAS Kedah.

Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah meyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.

Tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS tahun 1989 sehingga sekarang dengan gelaran Presiden PAS.

Pembabitan awal Ustaz Dato' Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN kawasan tersebut.

Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd. Mokhtar Abdullah dengan majoriti 346 undi.

1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Hj. Ahmad,

1990 mengalahkan calon BN Dato' Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan terbaru pada Pilihan raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.
Hingga jam 10.30 pagi pada 23 Jun 2002, apabila Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Ustaz Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor telah menerajui kepimpinan PAS dan diamanahkan sebagai Presiden parti.

AL-FATIHAH.






No comments: