Tuesday, June 10, 2008

PRESIDEN UIA - TAN SRI SANUSI JUNID

'PM pengaruhi pemecatan saya'
Abdul Rahim Sabri Jun 10, 08 9:16pm



Tan Sri Sanusi Junid menuduh perdana menteri mempengaruhi Sultan Pahang agar memecat beliau sebagai presiden Universiti Islam Aantarabangsa (UIA).

Beliau berkata Sultan Pahang sebagai ketua perlembagaan universiti itu "hanya boleh memberhentikannya atas nasihat" Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Memandangkan hubungan yang cukup baik antara saya dengan ketua perlembagaan UIA, sudah tentu tindakan (pemecatan saya) ini tidak dibuat atas kehendak DYMM Tuanku sendiri," katanya hari ini.

"Tempoh perkhidmatan saya masih ada dua tahun lagi, tiada kesalahan (saya) yang dinyatakan, bererti penamatan tempoh khidmat saya daripada jawatan presiden UIA, dengan serta-merta ini, adalah satu pemecatan disebabkan desakan beberapa pihak yang berkepentingan.

"Tambahnya, bahagian IV perkara 20 (iii) perlembagaan universiti itu menunjukkan pemecatannya akibat nasihat atau desakan perdana menteri.

Dalam kenyataannya, Sanusi berkata beliau dipecat dalam satu surat bertarikh 2 Jun tetapi surat tersebut diserahkan kepadanya semalam.

"Surat pemecatan saya ... tanpa menunjukkan sebarang sebab oleh sesiapa pun, secara lisan atau tulisan," katanya.

Beliau menambah, dakwaannya itu diperkuatkan lagi oleh kenyataan menteri pendidikan tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada minggu lalu bahawa tiada pihak yang mendesak bekas menteri besar itu berhenti dan kuasa menamatkan khidmatnya hanya ada pada ketua perlembagaan UIA.

Sanusi berkata, kenyataan Mohamed Khaled pada 7 Jun dan hari ini "menunjukkan beliau (menteri) tidak dirundingi dahulu sebelum surat (pemecatan) dikeluarkan.

"Bekas menteri pertanian itu menambah, sidang media dan kenyataan akhbarnya pada 5 Jun lalu bukanlah untuk "membuat sensasi untuk menarik perhatian orang.

"Sanusi juga mendakwa laporan sebuah akhbar hari ini yang menyebut beliau sebagai berkata "tiada siapa yang boleh memecatnya (Sanusi) sehingga tempoh perkhidmatannya tamat pada 2010" sebagai fitnah.

Beliau juga berkata, bahawa beliau tidak bersalah kerana tidak pernah menggunakan jawatan tersebut untuk kepentingan peribadi.

Jawatannya di UIA mula diperkatakan orang selepas beliau mengumumkan keluar daripada Umno bersama Tun Dr Mahathir Mohamad pada 19 Mei lalu.

Sehari selepas tindakannya, beliau tidak menghadiri majlis perasmian sambutan ulang tahun ke-25 UIA oleh perdana menteri dan sikapnya itu dipersoalkan beberapa pihak.

Minggu lalu, Sanusi menjelaskan ketidakhadirannya itu "telah mendapat restu ketua perlembagaan untuk mengelak daripada membuat ucapan memuji-muji Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi pengasas UIA.

"Menurut akhbar, ketua setiausaha negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah dilantik menggantikan Sanusi berkuatkuasa tarikh pemecatannya.

KSN dilaporkan telah menerima watikah pelantikan yang ditandatangani oleh Sultan Ahmad Shah.Salinan watikah telah dihantar oleh rektor UIA profesor Datuk Dr Syed Arabi Idid kepada ketua setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Zulkefli A Hassan.




Sanusi: Reezal 'batu api' pecat saya
Muda Mohd Noor Jun 16, 08 3:28pm

Tan Sri Sanusi Junid mendakwa setiausaha politik menteri kewangan sebagai dalang yang mencadangkan beliau dipecat daripada presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) awal bulan ini.

Bagaimanapun, bekas menteri besar Kedah itu, enggan menyebut nama setiausaha politik terbabit dengan alasan tidak mengetahui namanya.

"Saya tidak tahu... tetapi setiausaha politik menteri kewangan hanya seorang sahaja," katanya ketika diminta memperincikan kenyataan medianya minggu lalu.

"Saya sebenarnya dipecat melalui saluran setiausaha politik menteri kewangan, yang kebetulan salah seorang ahli majlis UIA yang telah saya cadangkan kepada DYMM ketua perlembagaan UIA untuk menjadi wakil alumni di dalam majlis UIA," kata Sanusi minggu lalu.

Difahamkan, Datuk Reezal Merican Naina Merican memenuhi ciri yang digambarkan oleh bekas presiden universiti itu.

Sanusi mendakwa , ahli majlis tersebut "bukan sahaja tidak rajin menghadiri mesyuarat majlis kerana terlalu sibuk, malah telah menggunakan kedudukannya untuk mengutamakan kepentingan orang tertentu."

"Dalam hal pemecatan saya, ahli majlis ini telah menjadi batu api dan seterusnya rajin menghubungi wartawan untuk mendapat kepastian yang segera daripada saya mengenai urusan pemecatan walaupun sebelum saya menerima dan memahami kandungan isi suratnya," katanya.

"Adakah wakil alumni di dalam majlis sudah berubah daripada menjadi jambatan antara UIA dan perdana menteri kepada menjadi punca kekeliruan yang menggembar-gemburkan perkara pemecatan ini melalui wakil media sebelum surat pemecatan diumumkan oleh UIA?

"Adakah seorang setiausaha politik menteri kewangan yang duduk di dalam majlis UIA mempunyai kuasa dan mengetahui lebih dalam hal ini daripada anggota kabinet?"







No comments: