Wednesday, June 11, 2008

TAMBANG TEKSI

Minta penumpang bayar lebih
Oleh ZAID MOHD. NOORzaid.


ALOR STAR - Segelintir pemandu teksi di Kedah didakwa meminta simpati penumpang membayar lebih daripada harga tambang biasa sejak kenaikkan harga petrol dan diesel pada minggu lalu.

Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Kedah Utara (Pertek), Rosli Abdul Rahman berkata, pemandu teksi berbuat demikian bagi menampung kos operasi yang semakin meningkat.

Menurutnya, mereka tidak berani menaikkan harga tambang sesuka hati kerana bimbang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun beliau mendakwa, mereka tidak memaksa penumpang memberi bayaran tambang tambahan sebaliknya terserah kepada keikhlasan penumpang.

"Pemandu teksi yang menggunakan petrol agak tertekan sekarang kerana mereka tidak mendapat subsidi berbanding pemandu teksi diesel," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Rosli berkata, ahli Pertek menjalankan operasi mereka sehingga ke Bukit Kayu Hitam dan Kangar, Perlis dan perjalanan ke destinasi tersebut agak jauh serta penggunaan petrol yang agak banyak tetapi bayaran tambang teksi pula rendah.

Dalam pada itu, beliau merayu kerajaan supaya turut memberi subsidi kepada pemandu teksi yang menggunakan petrol seperti yang dinikmati oleh pemandu teksi diesel.

No comments: