Sunday, June 8, 2008

MINYAK OH MINYAK


Lihat lah perbandingan secara Manual,jauh nya beza setiap hari pengunaannya.


MINYAK NAIK 78 SEN FAHAM!

Projek pertama yang saya bekerja setelah pulang dari Britain adalah Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah Darul Aman. Sintok sebenarnya tidak lagi wujud, ianya telah dibakar oleh pengganas komunis. Yang wujud hanyalah pekan Changlun, lebih kurang 10 km dari tapak projek universiti itu.

Ketika itu, Changlun adalah sebuah pekan koboi lebih kurang 25 km dari sempadan Negeri Thai. Ramai penduduk di pekan itu, Melayu atau Cina, boleh berbahasa Thai. Malah saya juga sedikit sebanyak dapat berbahasa Thai ketika di sana.

Mungkin ini adalah peninggalan dari penjajahan Thai yang menguasai negeri-negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Saya difahamkan ramai orang-orang tua di Kedah yang masih ingat akan kekejaman tentera Thai yang menjajah utara Tanah Melayu.Ramai di antara kami yang bekerja di projek tersebut tinggal di Jitra malah ada di Alor Setar kerana jumlah rumah sewa di Changloon adalah amat terhad. Mungkin ada hampir 500 kakitangan syarikat konsultan dan kontraktor untuk projek dengan nilai keseluruhan hampir RM 1 billion itu.

Selalunya setiap pagi kami akan bersarapan pagi di Changlun. Harga makanan di Changlun adalah jauh lebih murah dari di Kuala Lumpur. Bagi kami yang dibayar gaji “standard” Kuala Lumpur beserta dengan eluan tambahan kerana bekerja di tempat “jin bertendang”, kehidupan adalah agak mewah. Kami hanya makan dan terus makan tanpa mengetahui harga sebenar nasi atau kuih yang ditelan.

Satu kebiasaan masyarakat di Changlun, mereka lebih suka bersarapan nasi. Mungkin kerana terpaksa membuat kerja berat di sawah atau ladang.

Tetapi ada satu peristiwa yang membuat saya memikirkan semula tabiat kami “melantak” tanpa berfikir.

Pada satu pagi sedang kami makan, dua orang pasangan suami isteri Cina, separuh umur, dengan baju yang lusuh masuk ke kedai untuk membeli kuih. Mereka telah datang dengan sebuah motosikal buruk dan di belakangnya adalah bekas logam yang selalunya digunakan untuk mengisi susu getah.

Mungkin mereka baru balik dari menoreh atau dari menghantar susu getah yang telah ditoreh.

Pasangan itu berbincang memilih-milih kuih yang hendak dibeli. Kemudian mengira duit syiling yang ada di tangan mereka. Berbincang dan mengira berkali-kali sebelum membeli. Berbanding dengan kami yang akan membeli tanpa mengetahui harga kuih-kuih itu.

Keperitan dan kepayahan hidup jelas terpancar di air muka mereka. Mungkin ada anak-anak yang menunggu di rumah tetapi duit tidak mencukupi untuk membeli untuk semua.

Pelbagai persoalan telah timbul.Mungkin tidak ramai penduduk kota seperti Kuala Lumpur yang pernah menyaksikan peristiwa seperti ini. Jika pernah, mungkin tidak akan memahami keperitan yang dilalui oleh mereka.

Sehubungan itu, apabila minyak naik 78 sen atau 41% dan apabila pemimpin BN menyuruh rakyat menukar cara hidup mereka, adakah mereka benar-benar faham kesempitan hidup yang mencengkam kehidupan para Marhaen?Dengan BMW dan Mercedez yang minyaknya diisi dengan duit rakyat, adakah mereka menyedari bertapa terhimpitnya rakyat yang hanya memandu Kancil atau Proton tetapi terpaksa membeli minyak dengan duit mereka sendiri?

Mereka boleh turun padang meninjau keadaan rakyat yang melarat tetapi di sebelah malam mereka akan tetap kembali ke mahligai masing-masing ,walhal rakyat akan terus kekal di dalam pondok-pondok usang atau kotak-kotak konkrit yang sempit.

Saya amat bimbang sekiranya pemimpin Pakatan akan menjadi seperti mereka. Mereka mesti benar-benar memahami atau lebih baik lagi menjiwai penderitaan yang dilalui oleh rakyat.

Memang benar kerajaan akan dapat menjimatkan berbillion ringgit dengan menaikkan harga minyak tetapi yang mana lebih penting, kebajikan rakyat atau wang berbillion ringgit?

Mentadbir negara bukanlah seperti menguruskan sebuah syarikat. Kejayaan mentadbir negara atau negeri tidak semestinya diukur dengan jumlah baki di dalam bank. Apa guna duit yang banyak tetapi rakyat hidup merempat? Apa guna mempunyai aset yang banyak tetapi rakyat hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang?

Pemimpin mestilah “in touch” dengan rakyat jelata. Memahami mereka yang bergaji rendah. Memahami mereka yang menumpang di tanah-tanah kerajaan untuk tempat berteduh atau mendapatkan sesuap nasi. Memahami mereka yang terpaksa mempunyai dua pekerjaan untuk membesarkan anak-anak. Memahami mereka yang sentiasa dihambat oleh penguatkuasa majlis perbandaran semata-mata untuk menanggung keluarga. Memahami mereka yang terpaksa melutut kepada Along kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

Inilah realiti berkerajaan. Bukan satu kerja yang mudah. Sama ada menjadi Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, Exco malah AJK Masjid atau Surau, terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan. Anda perlu memikirkan segalanaya.




artikl yg baik renugan ..Allah membalas kebaikan bersama.

No comments: